Justin Lusah - Usaha dan Sumbangannya Dalam Bidang Nyanyiaan Lagu Kadazandusun Di Tambunan 1970-1985

    Author: Unknown Genre: »
    Rating



    PENGENALAN
    Nyanyian merupakan salah satu jenis hiburan yang menggunakan suara sebagai medium utama yang wujud sejak dari dahulu lagi. Menurut Herberth Read (1893-1968), kesenian adalah suatu usaha untuk mencipta bentuk-bentuk yang menyenangkan dan seni itu dijalankan pula daripada estetika. Nyanyian lahir daripada pita suara yang boleh memberi kepuasan kepada pendengar.Setiap seni vokal itu berbeza mengikut masyarakat. Dalam kajian sejarah 940/4, Sijil Peperiksaan Tertinggi Malaysia 2013/2014, tajuk yang dipilih untuk pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini adalah Justin Lusah: Usaha-usaha dan sumbangannya dalam bidang nyanyian Kadazandusun di Tambunan dari tahun 1970 hingga 1985. Tajuk ini dipilih kerana ia merupakan penghormatan kepada beliau yang telah berjasa besar kepada Daerah Tambunan. Lokasi kajian iaitu Daerah Tambunan dipilih kerana Justin Lusah sendiri berasal daripada Daerah Tambunan.Industri nyanyian merupakan industri yang kian meningkat di Daerah Tambunan. Pertandingan nyanyian selalunya akan diadakan pada Pesta Menuai iaitu sugandoi. Secara keseluruhannya, kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji kajian terhadap Justin Lusah untuk memperihalkan sumbangan yang telah diberikan oleh beliau dalam tempoh 15 tahun kepada kemajuan bidang nyanyian di daerah Tambunan dan juga di negeri Sabah.


    SEJARAH LATAR BELAKANG


    Justin Lusah


    Justin Lusah dilahirkan di Kampung Sunsuron, Tambunan iaitu setahun sebelum kemerdekaan Tanah Melayu iaitu pada 14 Julai 1956. Ibunya, Rumi Kombuyug dan bapanya, Lusa Bantasan juga berasal dari Kampung Sunsuron,Tambunan. Ibu dan bapanya pernah menempuh hidup semasa zaman pemerintahan Jepun.
    Beliau merupakan anak pertama dan abang sulung dalam keluarga mereka.Bilangan adik beradik beliau adalah sebanyak enam orang kesemuanya.Beliau merupakan anak pertama diikuti oleh Boudouin Lusah, anak yang kedua.Rupeah Lusah merupakan anak yang ketiga, seterusnya Lazurus Lusah, anak keempat.Anak kelima pula adalah Roslin Lusah dan anak yang bongsu ialah Jelius Lusah.
    Justin Lusah telah berkahwin dengan Rose yang berasal dari Kampung Kabatasan, Pitas, Kota Kinabalu, dan dikurnia 5 orang anak iaitu 4 anak perempuan dan seorang lelaki. Dua orang anak perempuannya kini menetap di Semenanjung, sementara seorang lagi masih bersekolah manakala seorang lagi sudah bekerja.
    Semasa beliau masih kecil, beliau bersekolah di SRK Sunsuron iaitu pada tahun 60-an. Beliau seterusnya menyambung pengajian beliau di Sekolah Menengah Tambunan sekitar tahun 60-an dan sekadar menamat kan pengajian di tingkatan 3. Pengkaji juga difahamkan bahawa Justin Lusah juga pernah mengambil peperiksaan persendirian.Beliau juga tidak menyambung ke mana-mana kolej atau universiti pada masa itu.
    Pengkaji difahamkan bahawa beliau sangat meminati bidang seni suara ini sejak dari kecil lagi dan menyimpan angan-angan untuk menjadi penyanyi terkenal suatu masa nanti.Seterusnya, Justin Lusah mula berkecimpung dan mula dikenali dalam bidang nyanyian ini selepas beliau menghantar beberapa gubahan lagu miliknya ke stesen radio.Selepas itu, beliau telah mula merakam lagu.


    Justin Lusah(berbaju kuning) bersama ibu bapanya serta dua adik-beradiknya


    USAHA-USAHA JUSTIN LUSAH
    Usaha-usaha Beliau
    Justin Lusah mula-mula membuat gubahan lagu ketika beliau dan rakan-rakan beliau menghadiri sebuah keramaian dan minum sehingga mabuk dan di situ la beliau yang ditugaskan untuk menyanyi sambil meminum tapai, mencipta lagu dan mengambil keputusan untuk merakam gubahan lagunya seterusnya menghantarnya ke stesen radio di Kota Kinabalu.
    Beliau mula dikenali apabila lagu-lagu yang beliau hantar ke stesen radio dimainkan di corong-corong radio di seluruh Sabah.Beliau kemudiannya mula berjinak-jinak dalam industri nyanyian dengan mula merakam lagu.Beliau merakam lagu di She Huat Studio yang terletak di Segama bersama-sama dengan John Gaisah pada masa itu.Studio itu dimiliki oleh tauke Master Lee iaitu seorang warga singapura yang menetap di Sabah.
    Beliau telah merakam sebuah album yang bertajuk Jambatan Tamparuli dan lagu Jambatan Tamparuli itu telah menjadi hit dan beliau mulai dikenali. Album Jambatan Tamparuli itu merupakan album yang beliau rakamkan di She Huat Studio bersama-sama dengan ‘Tom Jones Sabah iaitu John Gaisah.
    Lagu-lagu yang terdapat dalam albumnya, antaranya ialah Jambatan Tamparuli, Sumandak Mantad Sunsuron dan Au Zou Mihum Do Suaiseperti yang ditunjukkan di Lampiran D. Selain itu, album yang lain ialah I Love U Darling dan Oi Ko Bujang.Dalam setiap albumnya, Lagu Jambatan Tamparuli sentiasa ada di dalam. Hal ini kerana lagu ini merupakan lagu rakyat Sabah yang akan mengingatkan Jambatan Tamparuli yang berada di negeri Sabah. Kebanyakan lagunya digubah berdasarkan pengalaman hidupnya dan kisah benar yang berlaku ke atas dirinya.
    Seterusnya, lagu beliau juga kadangkala berunsurkan komedi yang mencuit hati.Bahasa yang digunakan sudah semestinya bahasa Dusun. Hal ini suda semestinya akan menjulang bahasa Dusun dan Daerah Tambunan tempat kelahirannya.


    Cara Melaksanakan Usaha Beliau
    Beliau tidak pernah menyertai sebarang pertandingan nyanyian peringkat negeri.Beliau hanya mengikut pertandingan peringkat daerah iaitu pada perayaan pesta menuai, sugandoi. Semasa beliau menjadi terkenal, beliau banyak menerima jemputan contohnya, jemputan rancangan hiburan di RTM.
    Pada tahun 1976, beliau dipelawa oleh RTM Sabah pada tahun 1976 untuk membuat persembahan di RTM Sabah. Beliau juga banyak menerima jemputan untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan di sekitar Kota Kinabalu.Beliau juga kadangkala bermain alat musik seperti saksafon di majlis-majlis perkahwinan.Justin Lusah juga pernah merakamkan lagu bersama-sama dengan Francis Landong seperti yang ditunjukkan di Lampiran C. Beliau jugalah yang memulakan bahasa Dusun dalam lagu yang menggunakan kaset pada masa tersebut.
    Gambar 3.1: Gambar Justin Lusah di sebuah rancangan hiburan di RTM pada tahun 1976.
    SUMBANGAN JUSTIN LUSAH
    Bidang Muzik
    Justin Lusah sememangnya telah memberikan sumbangan yang besar kepada industri nyanyian di Daerah Tambunan.Beliau bersama-sama dengan John Gaisah telah bertungkus-lumus untuk memajukan bidang nyanyian di Daerah Tambunan disamping mencari keuntungan. Beliau telah mengharumkan nama Daerah Tambunan, iaitu tempat kelahirannya dengan gubahan-gubahan lagunya yang merdu dan menggunakan bahasa Dusun sebagai bahasa utama dalam albumnya. Beliau juga telah menggunakan muzik yang berentakkan sumazau yang menjadi gilaan ramai ketika era 70-an dan 80-an. Beliau juga kerap kali membuat persembahan di majlis-majlis besar.
    Bahasa
    Selain itu, beliau jugalah yang melopori industri nyanyian bahasa Dusun di Tambunan dan sekaligus berjaya mengembangkannya hingga ke peringkat kebangsaan iaitu melalui lagu Jambatan Tamparuli.
    Sejak pengelibatan Justin Lusah dalam industri muzik, beliau seratus peratus memasukkan unsur-sunsur bahasa Dusun ke dalam penulisan liriknya.Maka, sejak dari itu, semakin ramai komposer yang mencipta lagu tempatan dan penyanyi tempatan yang menyanyikan bahasa Dusun dalam lagu mereka.Malah, bahasa Kadazandusun iaitu bahasa ibunda KDM mulai berkembang dan semakin terkenal kepada seluruh masyarakat Tambunan mahupun di seluruh negeri Sabah.
    Lagu Dan Lirik
    Seterusnya, beliau juga menyusun lagu dan lirik dengan begitu indah sekali untuk menyatakan fikiran dan perasaan berdasarkan peristiwa yang benar-benar berlaku dalam diri Justin Lusah. Lirik lagunya sangat berkait rapat dengan kehidupan beliau dan begitulah seterusnya cara Justin Lusah mengaplikasikan pengalamannya ke dalam lirik lagu yang diciptanya.Maka sejak dari saat itu, semakin ramai komposer dan penyanyi mencipta lagu berasaskan pengalaman hidup mereka seperti penyanyi Francis Landong, Rider Gutang, dan Jokteo Akang.


    Mengharumkan Nama Tambunan
    Antara sumbangan Justin Lusah yang telah meningkatkan nama Tambunan adalah dengan lagu hasil sentuhan ajaib beliau yang mana lagu ciptaannya sering berkumandang di corong-corong radio melalui lagunya iaitu Jambatan Tamparuli dan masih lagi dinyanyikan di sesuatu majlis perkahwinan ataupun majlis hari jadi oleh masyarakat Kadazandusun sama ada veteran atau remaja di Tambunanhingga kini. Maka dengan itu, namanya sering disebut-sebut oleh masyarakat di Sabah telah menjadikan nama beliau melonjak dengan cepat dan meniti di bibir penggemar-penggemar senisuara sekaligus telah meningkatkan nama Daerah Tambunan.
    KEJAYAAN JUSTIN LUSAH


    Piala yang dimenangi oleh Justin Lusah pada tahun 1982


    Tempat Ketiga Battle Of The Band
    Pada tahun 1982, Justin Lusah telah mengikuti satu pertandingan Battle of The Band yang berlangsung di TVRC Tambunan. Beliau hanya memenangi tempat ketiga, namun berpuas hati dengan pencapaian yang dicapainya.
    Anugerah Pencipta Terbaik Lagu-Lagu Dusun
    Selain itu, beliau juga turut menerima anugerah Pencipta Terbaik Lagu-Lagu Dusun iaitu sekitar tahun 1975-1980.Beliau memenangi anugerah tersebut melalui lagunya iaitu Jambatan Tamparuli.Kemerduan dan kelunakan suara beliau dalam lagu Jambatan Tamparuli telah membolehkan beliau mendapat anugerah tersebut.Lagunya yang berentak sumazau juga antara factor beliau mendapat anugerah tersebut.
    Gelaran Suara Emas
    Seterusnya, Justin Lusah pernah menerima gelaran Suara Merdu iaitu sekitar tahun 70-an hingga 80-an. Pengiktirafan tertinggi yang beliau dapat ialah gelaran Suara Emas oleh RTM Sabah pada tahun 80-an.Beliau mendapat gelaran tersebut kerana kelunakan dan kemerduan suaranya menerusi lagunya iaitu Jambatan Tamparuli.
    Menerima Pingat BK
    Justin Lusah juga pernah menerima BK pingat kebesaran negeri sempena hari jadi TYT seperti yang boleh dilihat di Lampiran B. Beliau menerima pingat tersebut pada tahun 1983 bertempat di Kota Kinabalu.
    PENUTUP
    Secara keseluruhannya, Justin Lusah sememangnya memberi impak yang besar kepada industri nyanyian di Tambunan.Lagunya iaitu Jambatan Tamparuli masih lagi diminati oleh setiap golongan di Sabah. Lagu tersebut juga boleh dikatakan lagu rakyat Sabah kerana setiap kali menyanyikan lagu tersebut akan mengingatkan kita kepada negari Sabah. Melodi dan gubahan lagu tersebut sememangnya unik dan sukar untuk dicari ganti.
    Prospek masa hadapan beliau ada menyatakan bahawa beliau akan terus bergiat aktif dalam industri nyanyian ini bagi memajukan lagi industri seni suara dan mengembalikan kegemilangan era 70-an dan 80-an. Beliau juga berharap agar artis-artis Sabah yang lain menggunakan bahasa Dusun sebagai medium nyanyian mereka.
    Justin Lusah adalah penyanyi Dusun yang berjaya dan disegani di tanah air kita sekitar tahun 70-an dan 80-an melalui lagu Jambatan Tamparuli yang sehingga kini masih didengari di corong-corong radio mahupun televisyen.
    Justeru, harapan daripada pihak Justin Lusah dan seluruh rakyat Sabah agar semua ahli masyarakat Dusun di Tambunan untuk mengekalkan perpaduan demi kekuatan dan kekukuhan bangsa.Diharapkan juga agar para penyanyi Dusun tahu dari mana asal usul mereka.



    One Response so far.

    1. Unknown says:

      assalamualaikum .. boleh saya dapatkan no telefon en. JUSTIN LUSAH :)

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam