Laurentius Nayan Ambu : Sejarah dan sumbangannya dalam perkembangan sosial di daerah Tambunan dari tahun 2000 hingga 2013

    Author: Unknown Genre: »
    Rating

    PENGENALAN
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu merupakan Pengarah Hidupan Liar Sabah. Beliau merupakan salah seorang individu yang penting dalam pembangunan sosial di daerah Tambunan. Sumbangan beliau terhadap masyarakat di daerah Tambunan adalah begitu penting kerana ia mampu membangunkan sosial di daerah Tambunan. Beliau juga telah terlibat dalam banyak program dan aktiviti kebajikan dalam membantu masyarakat di daerah Tambunan. Usahanya dalam membantu masyarakat di daerah Tambunan sedikit sebanyak membantu perkembangan sosial di daerah Tambunan di samping membuka mata masyarakat setempat dalam membantu perkembangan sosial di daerah Tambunan.
    Sebelum menjelaskan peranan Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu dan sumbangannya dalam membantu dalam perkembangan sosial di daerah Tambunan, akan disentuh terlebih dahulu sejarah latar belakang beliau, sebagai latar belakang kepada peranan dan sumbangan yang telah beliau lakukan sejak dari tahun 2000 hingga tahun 2013. Supaya perbincangan esei ini lebih terarah kepada sumbangan beliau dalam membantu mengembangkan tahap sosial di daerah Tambunan, maka perbincangan tentang sumbangannya ini hanya ditumpukan di peringkat daerah Tambunan sahaja. Bagi menjelaskan sumbangan-sumbangan beliau, pengkaji telah meneliti pelbagai sumber primer dan sekunder tentangnya bagi memperoleh maklumat yang berkaitan. Berdasarkan maklumat tersebut, jelas bahawa dalam tempoh 13 tahun beliau berkecimpung dalam usaha mengembangkan tahap sosial di daerah Tambunan, beliau sentiasa komited dalam pelaksanaan usahanya. Keperihatinan beliau dalam setiap program yang dilaksanakan dalam tempoh tersebut adalah bertujuan memastikan masyarakat Tambunan yang kurang bernasib baik mendapat perhatian yang sewajarnya.
    SEJARAH LATAR BELAKANG DATUK DR. LAURENTIUS NAYAN AMBU

                                      

    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu

    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu berasal dari Kampung Lubong Tambunan. Beliau lahir pada 29 Disember 1956 di Tambunan, Sabah. Beliau merupakan anak yang terakhir daripada 6 orang adik beradik. Nama ayahnya ialah Ambu bin Aluho manakala ibunya ialah Suntian Bte Adou. Ibubapa beliau dan merupakan bumiputera daripada suku kaum Kadazandusun daripada Kampung Nambayan, Tambunan. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan St. Francis Cabrini Nambayan, Tambunan dari darjah satu hingga darjah enam. Seterusnya, beliau bersekolah di Sekolah Menengah St. Martin Tambunan dari tingkatan satu hingga tingkatan lima pada tahun 1973 hingga 1975. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sabah College, Kota Kinabalu pada tahun 1976 sehingga tahun 1977 pada peringkat tingkatan enam. Pada tahun 1986, beliau melanjutkan pelajaran ke University of Carbondale, Illinois, USA dengan mengambil Bachelor of Science in Zoology dalam pengkhususan dalam pengurusan  hidupan liar. Pada tahun 2003, beliau telah melanjutkan pelajaran di University of Aberystwyth, Wales, UK dengan mengambil Master of Science in Protected Landscape Managementdalam pengkhususan dalam pengurusan kawasan perlindungan. Seterusnya, pada tahun 2009, beliau telah melanjutkan pelajaran di Cambridge Academy of Management (FCAM), United Kingdom dengan mengambil penkhususan dalam Professional Postgraduate Diploma in Edible-Nest Swiftlet Conservation and Management. Pada tahun yang sama, beliau telah mengambil Doctor of philosophy (PhD) in Wildlife Management di Oxford University/ Isles Internationale University/ Commonwealth, United Kingdom. Beliau juga mempunyai Phd dalam Business Administration. Beliau sekarang bekerja sebagai Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah.
    Perkembangan Dalam Membantu Masyarakat Tambunan
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu mula membantu penduduk Tambunan sejak dari bangku sekolah lagi iaitu pada tahun 1973 semasa beliau berada di tingkatan 3, SM St. Martin Tambunan. Beliau membantu penduduk Tambunan melalui Sabah Youth Movement. Beliau gemar mengumpul pemuda-pemudi untuk membuat kerja amal pada ketika itu. Tujuan persatuan ini ditubuhkan ialah untuk mengumpul dana dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti mengatam untuk membiayai aktiviti-aktiviti seperti perayaan Tadau Kaamatan. Beliau juga gemar mencungkil bakat muda-mudi melalui aktiviti sukan dan muzik. Selain itu, beliau pada ketika itu aktif dalam aktiviti kerohanian. Beliau sering mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh gereja seperti caroling dan sebagainya.
    Faktor Yang Mendorong
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu terdorong untuk membantu Penduduk Tambunan kerana faktor agama itu sendiri. Beliau aktif dalam aktiviti gereja. Pada ketika itu, Fr. Hanselman merupakan seorang paderi yang sedang mempunyai misi untuk mengembangkan agama Kristian di daerah Tambunan. Pada ketika itu, beliau melayani dalam gereja sebagai altar boy.Pada ketika itu, beliau sering mengikuti Fr. Henselman (1965-1967) untuk menginjil dan melalui paderi tersebut, beliau terbuka untuk membantu penduduk Tambunan. Di samping itu, kehilangan ibu ketika beliau masih darjah enam dan kehilangan ayah ketika beliau berada di tingkatan tiga telah dijadikannya sebagai motivasi untuk terus berjaya.
    Cabaran Dalam Membantu
    Pada zaman mudanya, Datuk Dr. Laurentius Ambu menghadapi cabaran dalam membantu penduduk Tambunan disebabkan beberapa halangan. Antara halangan itu ialah penangkapan paderi-paderi yang pada ketika itu sedang berusaha mengembangkan agama Kristian. Apabila ramai paderi yang telah ditangkap, aktiviti kerohanian pada masa itu terganggu.
    Cabaran yang dihadapi beliau pada ketika ini pula ialah beliau dianggap sebagai satu ancaman dari segi politik. Menurut beliau, pemimpin-pumimpin yang ada di daerah Tambunan pada ketika ini tidak berasa begitu selesa dengan sumbangan yang telah beliau salurkan kepada penduduk Tambunan. Hal ini menyebabkan beliau terpaksa mengehadkan sumbangan-sumbangan beliau kepada penduduk Tambunan.
    SUMBANGANDATUK DR. LAURENTIUS NAYAN AMBU DALAM MEMBANTU DALAM PERKEMBANGAN SOSIAL DI DAERAH TAMBUNAN DARI TAHUN 2000 HINGGA 2013.
    Pendidikan
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu sememangnya telah banyak memberi sumbangan dari aspek pendidikan. Beliau telah menjadikan empat sekolah rendah di daerah Tambunan sebagai sekolah angkat. Beliau juga telah mengadakan banyak sesi motivasi dan sering dijadikan tetamu kehormat di kebanyakkan sekolah di daerah Tambunan. Beliau turut terlibat dalam aktiviti fundraisingdi sekolah seperti SM. St. Martin.
    Sejajar dengan perubahan masa dan kepekaan terhadap kepentingan pendidikan, masyarakat ini telah banyak melahirkan generasi baru yang berjaya mendapat kelulusan yang cemerlang dalam pelbagai bidang akademik di peringkat universiti dan ketika ini ramai yang telah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di sektor awam dan swasta sebagai doktor, peguam, pentadbir, pendidik, ahli korporat, tokoh politik dan sebagainya.
    Datuk Dr. Laurentius Nayan  Ambu telah banyak membantu penduduk Tambunan dari aspek pendidikan. Pada 9 November 2002, beliau telah memberikan sumbangan berupa hadiah kepada murid-murid yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun 2001 dan merasmikan Hari Anugerah SK. Nambayan Tambunan pada hari yang sama.Seterusnya, beliau telah menjadi tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Kecermelangan di SK Kumawanan, Tambunan pada 2 November 2002. 7 November 2002, beliau telah memberi sumbangan berupa satu set komputer kepada Pusat Sumber Sekolah Daerah Tambunan 2002. Pada 27 April 2002, beliau telah dijadikan tetamu kehormat kepada SK. Nambayan, Tambunan sempena majlis seminar, motivasi dan penyampaian insentif kepada murid-murid cemerlang dalam keputusan UPSR tahun 2001. Beliau juga telah menyumbangkan sumbangan berupa hadiah-hadiah untuk Hari Kecermelangan dan Penyampaian Hadiah di SK. Sunsuron, Tambunan pada 23 Oktober 2002. Selain itu, beliau telah menyumbangkan derma berupa sebuah mesin faks kepada SK. Kiawayan, Tambunan pada 16 Mac 2003. Pada 7 Ogos 2003, beliau turut memberi sumbangan berupa hamper tiket bertuah PIBG SK. Nambayan, Tambunan. Beliau turut memberi sumbangan berupa papan tanda SMK Nambayan, Tambunan pada 1 Mac 2009. Pada 12 Jun 2012, beliau telah memberi derma RM 1000 kepada seorang pelajar, Beverino Albert Tadi ke Jepun.
    SukanC:\Users\Ely\Desktop\kajian sejarah\gambar\elizabeth 7.JPG
    Pertandingan bola sepak sembilan sebelah yang dianjurkan oleh Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu.
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu turut terlibat dalam aktiviti kesukanan di daerah Tambunan. Beliau telah banyak menganjurkan pertandingan seperti bola sepak. Beliau telah menjadi tetamu kehormat dan menyempurnakan Majlis Kejohanan Pesta Sukan dan Kebudayaan pegawai-pegawai perkhidmatan pendidikan peringkat bahagian pendalaman 2002 di Tambunan pada 27 Julai 2002. Pada 2 November 2002, beliau telah memberikan sumbangan berupa hadiah-hadiah dan merasmikan Kejohanan Bola Sepak anjuran KESUMAMajlis Daerah Tambunan. Pada 22 Februari 2003, beliau menjadi tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian Pesta Sukan Rakyat dan lawatan ke Batu Lajau dan Batu Gong, Kampung Solibog, Tambunan. Pada 1 Mei 2012 beliau telah menganjurkan pertandingan bola sepak sembilan sebelah iaitu dalam Pelancaran Team Elit Bola Sepak Piala Dr. Laurentius Nayan Ambu di Pisompuruan Square seperti yang dinyatakan di lampiran A. Pada tahun 2013, beliau telah menganjurkan pertandingan bola sepak sembilan sebelah di Kampung Tombotuon Tambunan.
    Kebudayaan
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu merupakan seorang pejuang Bahasa Kadazandusun. Beliau telah banyak menganjurkan aktiviti-aktiviti kebudayaan terutama pada hari Tadau Kaamatandi Tambunan. Beliau ingin memartabatkan bahasa dusun dalam kalangan penduduk Tambunan yang berbangsa dusun.
    Nyatalah Bahasa bukan sahaja menjadi faktor dalam perkembangan kebudayaan kebangsaan, tetapi juga dalam perkembangan ajaran agama. Dan nyatalah bagi kita yang hidup dalam sebuah negara merdeka sekarang ini perbezaan agama dan keturunan dapat diatasi melalui Bahasa sebagai alat perpaduan kebangsaan.
    Pada 10 Februari 2001, beliau telah memberikan sumbangan berupa tajaan untuk menjayakan Majlis Kaandaman Togotiagak John Gaisah. Beliau turut menyempurnakan perasmian Nogungan Kaamatan Tahun 2002 peringkat daerah Tambunan anjuran UPKO bahagian Tambunan pada 30 April 2000. Pada 2 Mei 2002, beliau telah memberi sumbangan berupa hadiah-hadiah untuk menjayakan pertandingan Sugandoi Kaamatananjuran KDCA peringkat negeri. Beliau turut menyempurnakan perasmian perayaan Pesta Kaamatan tahun 2002 Kampung Pupuluton Tambunan dan Tanaki pada 11 Mei 2002. Beliau juga telah menjadi tetamu kehormat sempena perayaan Pesta Kaamatan St. Theresa Kampung Nambayan, Tambunan pada 21 Mei 2002. Beliau turut memberi sumbangan berupa tajaan hadiah kepada penganjur Gala Nitesempena perayaan Pesta Kaamatan bagi peringkat daerah Tambunan 2002 pada 29 Mei 2002. Pada 30 dan 31 Mei 2002, beliau telah menjadi tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian perayaan Pesta Kaamatan Kampung Lubong dan Monsorulung, Tambunan. Beliau telah menjadi tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian perayaan Pesta Kaamatan Persatuan Ibu Tunggal Peringkat Daerah yang berpusat di Kampung Kiawayan, Tambunan pada 4 Ogos 2002. Pada 2 April 2009, beliau telah memberi sumbangan berupa wang pada Pesta Kaamatan di kampung Moloson, Tambunan.
    Kebajikan
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu memberi sumbangan kepada penduduk kampung.
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu merupakan seorang yang dermawan. Beliau sering memberi derma kepada insan yang daif, warga emas, dan orang yang lebih memerlukan. Beliau terdorong untuk melaksanakan niat tersebut atas dorongan agama dan latar belakang beliau. Beliau mula memberi bantuan kebajikan kepada masyarakat Tambunan pada sekitar tahun 70-an.Selain itu, beliau sering mengadakan lawatan ke hospital dan kempen derma darah.
    Antara sumbangan beliau ialah mengetuai lawatan amal dan sumbangan hadiah sempena perayaan Hari Raya dan Krismas kepada pesakit-pesakit Hospital Tambunan pada 23 Disember 2001 seperti yang dinyatakan dalam lampiran B. Pada 21 Disember 2002, beliau telah melawat dan menghulurkan derma ikhlas kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Maras-Karas, Tambunan. Seterusnya, beliau telah melawat dan menghulurkan derma ikhlas kepada dua mangsa kebakaran di Kampung Sunsuron, Tambunan seperti yang dinyatakan di lampiran C pada 6 Februari 2003. Pada 1 Mei 2003, beliau menjadi tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian sempena penyerahan barang-barang dapur kepada persatuan PEWARNI (Persatuan Wanita) di Kampung Tombotuon, Tambunan. Pada 20 September 2005, beliau telah memberi sumbangan kewangan makan amal kutip derma untuk membiayai pembinaan rumah baru paderi paroki St. Theresa, Tambunan. Beliau juga telah memberi derma ikhlas kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pantai, Tambunan pada 1 Mac 2006. Selain itu, beliau turut memberi derma ikhlas kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas sempena Hari Keluarga Kampung Lubong, Tambunan. Beliau juga telah menyumbangkan sumbangan kewangan sempena Kempen Derma Darah anjuran RELA Tambunan di Hospital Tambunan pada 16 Ogos 2011.
    PENCAPAIAN DAN PERKEMBANGAN LAURENTIUS NAYAN AMBU DALAM BIDANG PERKEMBANGAN SOSIAL DI DAERAH TAMBUNAN.
    Menerima Gelaran “Datuk”
    C:\Users\Ely\Desktop\kajian sejarah\gambar\elizabeth 18.JPG
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu menerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu telah dikurniakan darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk yang disampaikan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena Ulang Tahun Ke-59 Yang Dipertua Negeri Sabah di Istana Negeri pada 6 Oktober 2012.Beliau diberi gelaran tersebut atas sumbangan beliau dalam pekerjaan beliau. Beliau telah menjadi ahli pakar primate, badak, burung layang-layang, buaya, tembadau, gajah Asia dan pakar dalm perlindungan landskap. Beliau juga telah menjadi wakil Malaysia dalam pelbagai pertubuhan seperti International Union for Conservation of Nature (IUCN), World Wildlife Fund (WWF), Southeast Asian Zoos and Aquarium (SEAZA), Convention on Biological Diversity (CBD), World Commision on Protected Areas (WCPA), dan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Flora dan Fauna (CITES).
    PERANCANGAN DAN HARAPAN LAURENTIUS NAYAN AMBU TERHADAP KARIERNYA DALAM MEMBANTU DALAM PERKEMBANGAN SOSIAL DI DAERAH TAMBUNAN.
    Pertanian dan Perlancongan
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu ingin memajukan daerah Tambunan dari aspek pertanian dan perlancongan. Dari segi pertanian, menurut beliau, daerah Tambunan mempunyai keupayaan sebagai daerah pengeluar tanaman seperti halia, padi, getah dan sebagainya.  Sektor ini berdaya maju jika usaha kea rah ini dapat dimajukan secara moden, ialah kearah ‘agro-industry’.  Pada masa ini, Daerah Tambunan adalah pengeluar tanaman halia yang terbesar di negeri Sabah.  Agensi seperti MARDI perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam pemprosesan hiliran.  Walau bagaimanapun, perancangan yang bersepadu dan teratur perlu dirangka.  Demikian juga dengan padi, Daerah Tambunan mempunyai keluasan sawah padi agak luas untuk diterokai.  Agensi seperti BERNAS perlu berperanan yang lebih aktif dalam sektor ini.  Memang diketahui umum bahawa Daerah Tambunan sememangnya mempunyai kawasan yang luas yang ditumbuhi oleh bambu.  Bambu ini mempunyai potensi yang tinggi untuk dijadikan sebagai bahan perabot, hiasan dalam bangunan seperti lantai dan pemprosesan hiliran.  Agensi seperti FRIM mempunyai peranan dalam sektor ini.
    Dari segi pelancongan, daerah Tambunan mempunyai tarikan yang mampu menarik pelancong asing.  Produk pelancongan dipendalaman sememangnya wujud tetapi tidak digunakan sepenuhnya.  Rangkaian tarikan pelancongan yang sedia wujud ialah Pusat Rafflesia, Banjaran Crocker, Air Terjun Mahua, Gunung Trusmadi dan Taman Pertanian di Tenom.Tambunan juga dikenali dengan kebudayaan dan cara kehidupan penduduk yang unik.  Sektor iniperlu dimajukanlebih lanjut dan teliti untuk memaksimakan dan merealisasikan potensi pelancong.
    Sektor Industri ‘Herbal’
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu juga menyatakan bahawa Daerah Tambunan masih mempunyai hutan hujan tropika yang luas.  Telah dikenalpasti bahawa hutan-hutan di Daerah Tambunan mempunyai banyak spesies ‘herb’ yang mempunyai ‘medicinal value’.  Sektor ini berpotensi yang tinggi jika dimajukan dengan bantuan pihak FRIM, MARDEC, IDS dan sebagainya.  Ini mampu dimajukan dengan penubuhan industri kecil dan sederhana dengan cara usahasama.
    Pendidikan
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu mempunyai wawasan tentang tahap pendidikan di daerah Tambunan. Beliau bercadang untuk menerapkan sistem pengkomputeran dalam sesi pembelajaran di sekolah. Beliau menyatakan bahawa setiap sekolah haruslah mempunyai kemudahan internet dan komputer terutamanya di dalam perpustakaan. Beliau juga ingin 60% penduduk Tambunan yang berjaya masuk ke universiti adalah dari kalangan kaum Kadazandusun.
    Kebudayaan
    Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu berhasrat untuk menjadikan Tambunan sebagai satu pusat kebudayaan di samping menjadi pusat pelancongan dan sebagainya. Beliau ingin pusat kebudayaan ini membuat pementasan dalam bahasa dusun melalui pelbagai acara seperti puisi, drama, Battle of the Band, dan Talentime. Beliau ingin memantapkan lagi bahasa dusun ini di dalam diri penduduk Tambunan
    PENUTUP
    Esei ini telah menegaskan bahawa sejak dari awal lagi, Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu telah membantu penduduk di daerah Tambunan. Kemudian dijelaskan lagi sedikit latar-belakang beliau dalam esei ini. Berdasarkan 13 tahun jasanya dalam perkembangan sosial di Tambunan, jelaslah bahawa segala sumbangan beliau ini telah banyak membantu penduduk Tambunan dari aspek seperti pendidikan, kebudayaan, sukan, dan kebajikan. Beliau juga ingin memajukan daerah Tambunan dalam pelbagai aspek di samping membantu mereka yang memerlukan. Beliau juga ingin membuka mata penduduk dan pemimpin tempatan agar berusaha membantu mereka yang memerlukan ini agar tahap kedaifan di daerah Tambunan berkurangan di samping melaksanakan tugas sebagai sebuah masyarakat yang prihatin. Oleh itu, segala sumbangan yang telah dilakukan beliau haruslah dihargai oleh  penduduk Tambunan, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pemimpin kelak.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam