Sejarah Perkembangan Alat Muzik Tradisional Masyarakat Kadazandusun Di Tambunan 1984-2014

    Author: Unknown Genre: »
    Rating

    PENGENALAN
    Alat muzik tradisional merupakan suatu instrumen yang dibuat sejak lama dahulu atau diubahsuai untuk tujuan menghasilkan muzik. Pada dasarnya, segala sesuatu yang menghasilkan suara, dan dengan cara tertentu boleh diatur oleh pemuzik, boleh disebut sebagai alat muzik. Menurut Koentjaraningrat pada buku "Pengantar Antropologi" (1986: 203-204), alat muzik merupakan sebahagian daripada kesenian. Kesenian merupakan salah satu unsur kebudayaan. Bagi maksud kaum Kadazandusun pula, Kaum Kadazandusun merupakan nama kaum bumiputra asli yang terbesar di Sabah. Kaum ini juga dikenali sebagai "Momogun" atau "Mamasok" yang masing-masingnya bermaksud "orang asal". Alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun merupakan alat muzik yang melambangkan sifat majmuk masyarakat Kadazandusun di Sabah. Oleh yang demikian, alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun amat penting untuk diperluaskan dan dikembangkan agar warisan tradisional masyarakat Kadazandusun dapat diteruskan. Dalam kajian Sejarah 940/4, Sijil Peperiksaan Tertinggi Malaysia 2013/2014, tajuk yang dipilih untuk pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini adalah Thadius Yongut: Peranan dan sumbangannya dalam mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun di daerah Tambunan dari tahun 1984 hingga tahun 2014. Tajuk ini dipilih kerana ianya amat bersesuian dengan keadaan masyarakat pada zaman sekarang yang lebih terdedah kepada alat muzik moden sahaja. Lokasi kajian iaitu Daerah Tambunan dipilih kerana secara mata kasar kita mampu melihat perkembangan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun yang begitu ketara dalam kalangan penduduknya. Thadius Yongut dipilih sebagai tokoh sejarah kerana beliau berperanan dalam perkembangan alat muzik tradisional di Tambunan. Secara keseluruhannya, kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji perkembangan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun di Daerah Tambunan.
    SEJARAH PERKEMBANGAN ALAT MUZIK TRADISIONAL MASYARAKAT KADAZANDUSUN DI TAMBUNAN DARI TAHUN 1984 HINGGA TAHUN 2014.
    Gambar 1: Gambar Encik Thadius Yongut
    Latar belakang Encik Thadius Yongut
    Thadius Yongut dilahirkan di rumah neneknya di Kampung Tikolod, Tambunan pada 8 September 1945. Beliau sejak dilahirkan sehingga hari ini menetap di kampung tersebut. Beliau kini berusia 69 tahun dan mempunyai 10 orang anak.  Hobi beliau adalah membuat dan bermain alat muzik tradisional. Jumlah adik-beradik beliau adalah seramai 2 orang dan beliau merupakan anak yang pertama. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Tikolod sehingga darjah lima. Beliau tidak meneruskan pendidikannya sehingga darjah 6 kerana keadaan keluarganya tidak yang berkemampuan pada masa itu.  Seterusnya, beliau melanjutkan pula pengajiannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Nambayan. Dari kecil lagi, Encik Thadius Yongut lebih cenderung ke arah muzik tradisional, dengan demikian mengabaikan pelajarannya. Sebelum terlibat dalam muzik tradisional, beliau tidak pernah bekerja dengan mana-mana pihak dan sehingga kini beliau hanya bekerja sendiri dengan membuat dan membekal alat-alat muzik tradisional. Jika mendapat tempahan, beliau akan membuat dan membekal alat-alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun seperti Sompoton, Bungkau, Suling, Tongunggak, Kurunggu, Tungkawir, Sundatang, Tongkungon, Tokubung dan Kulintangan.
    E:\SEJ\PBS\Gambar2 kajian\DSC00346.JPG
    Gambar 2 : Alat-alat muzik tradisional yang dibuat oleh Encik Thadius Yongut
    Selain ingin meneruskan warisan tradisional masyarakat Kadazandusun, faktor keminatan Encik Thadius Yongut terhadap muzik tradisional telah mendorong beliau untuk melibatkan diri dalam muzik tradisional. Penglibatan Encik Thadius Yongut dalam pelbagai program yang diadakan telah menjadikan beliau terlibat dalam muzik tradisional ini. Sehingga pada hari ini beliau amat meminati alat muzik tradisional masyarakat kadazan dusun.
    Latar belakang Encik Thadius Yongut dalam muzik tradisional
    Sejak tahun 1984 iaitu ketika Encik Thadius Yongut berumur 39 tahun, sehingga kini beliau sudah terlibat dengan muzik tradisional. Penglibatan awal beliau dalam muzik tradisional telah bermula dari kampung halamannya sendiri iaitu di Kampung Tikolod, Tambunan dan beliau tidak mendapat bimbingan daripada mana-mana pihak pada ketika itu. Selain daripada kampung halamannya sendiri, Encik Thadius Yongut juga telah mengunjungi beberapa tempat untuk melakukan usaha-usaha bagi mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun di Tambunan. Antara tempat yang telah dikunjungi oleh beliau ialah Brunei Darussalam, Singapura, Kuala Lumpur, Melaka dan beberapa tempat di Sabah seperti Kudat, Sandakan, Kota Kinabalu dan Sook.
    Brunei merupakan tempat pertama di mana alat-alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun di Tambunan telah dikembangkan. Encik Thadius Yongut bersama-sama dengan 11 orang rakannya yang juga datang daripada Kampung Tikolod, Tambunan telah dijemput untuk mengadakan satu persembahan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun. Pada waktu itu, umur beliau ialah 41 tahun dan beliau berperanan sebagai ketua dalam kumpulan. Alat muzik tradisional yang di mainkan pada ketika itu ialah Sompoton, Bungkau, Suling dan Tongkungon. Program tersebut telah dianjurkan oleh pihak daripada kelab Kebudayaan di Brunei dan persembahan mereka telah disambut baik oleh warga Brunei yang hadir.
    Di Singapura, Encik  Thadius Yongut telah dijemput untuk membuat demo Sompoton oleh pihak Pelancongan dan Kebudayaan. Kunjungan beliau ke Singapura tidak melibatkan ahli kumpulannya yang lain kerana beliau seorang sahaja yang dijemput pada ketika itu. Hal ini kerana, pada waktu itu pihak Pelancongan dan Kebudayaan hanya ingin mengambil seorang sahaja wakil daripada beberapa kaum yang berbeza seperti kaum Dusun, Cina, India dan banyak lagi. Encik Thadius Yongut merupakan seorang wakil daripada kaum Dusun yang di pilih oleh pihak Pelancongan dan Kebudayaan pada waktu itu. Selain daripada jemputan pihak Pelancongan dan Kebudayaan, beliau juga mendapat jemputan daripada pihak Muzium Sabah untuk membuat persembahan di Singapura. Kedatangan beliau ke Singapura untuk kali kedua telah diikuti oleh rakan-rakannya dari Kampung Tikolod. Beliau  dan ahli kumpulannya yang lain telah mempersembahkan alat muzik tradisional Sompoton dan Tongkungon.
    Di Kuala Lumpur pula, Encik Thadius Yongut telah dijemput untuk membuat demo alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun bersama dengan seorang rakannya. Pada ketika itu, beliau serta seorang rakannya mengikuti rombongan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Alat tradisional yang digunakan untuk membuat demo ialah Sompoton dan Tokubung. Persembahan yang diadakan di sana adalah anjuran daripada kelab kebudayaan dari Nambayan.
    E:\SEJ\PBS\Gambar2 kajian\DSC00399.JPG
    Gambar 3 : Encik Thadius dan rakannya sedang
    melakukan demo alat muzik tradisional
    Seterusnya, Melaka juga merupakan tempat yang pernah dikunjungi oleh Encik Thadius Yongut untuk mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun di Tambunan. Menurut Encik Thadius Yongut, hanya dua orang sahaja yang pergi ke Melaka pada ketika itu iaitu Encik Thadius Yongut sendiri dan seorang lagi adalah daripada pihak Pelancongan dan Kebudayaan iaitu selaku ketua yang telah membawa Encik Thadius untuk pergi ke sana. Encik Thadius dijemput ke sana untuk membuat persembahan alat muzik tradisional Sompoton. Di samping membuat persembahan, beliau juga telah di bawa melawat ke pusat pameran alat muzik tradisional di Melaka. Kunjungan ke Melaka pada waktu itu adalah anjuran daripada pihak Pelancongan dan Kebudayaan.
    Di Sabah iaitu di daerah Kudat, Encik Thadius Yongut yang berumur 57 tahun pada ketika itu juga telah menyertai satu kumpulan untuk membuat persembahan alat muzik tradisional. Kumpulan itu terdiri daripada 20 orang yang datang daripada daerah yang berbeza dan beliau merupakan wakil bagi daerah Tambunan yang dihantar oleh pihak Yayasan Sabah. Beliau berperanan dalam memainkan alat muzik Sompoton pada ketika itu dan seorang lagi rakannya memainkan alat muzik yang bentuknya hampir serupa seperti Sompoton iaitu alat muzik tradisional yang dinamakan Sigi.  
    Di Sandakan pula, beliau pernah mendapat jemputan daripada pihak Muzium Sabah untuk melakukan demo alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun. Alat muzik yang telah dimainkan oleh beliau ialah Kulintangan dan Tokubung. Di samping beliau membuat demo alat muzik tradisional, beliau juga berpeluang untuk mempamerkan dan menjual beberapa alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun yang dibuat olehnya sendiri. Kedatangan beliau ke Sandakan telah ditemani oleh isterinya dan beberapa orang anaknya. Selain jemputan untuk membuat demo, beliau juga pernah dijemput sekali lagi oleh pihak Muzium Sabah untuk membuat persembahan sempena pelancaran teater muzikal Suara Kita, tetapi disebabkan terdapat aral yang melintang iaitu berlaku masalah keluarga pada waktu itu, beliau tidak dapat menerima jemputan tersebut.  
    Di Kota Kinabalu, Encik Thadius Yongut telah dijemput untuk datang ke Universiti Malaysia Sabah(UMS) untuk membuat persembahan. Jemputan untuk membuat persembahan adalah sebanyak satu  kali sahaja dan terdapat enam orang yang terlibat termasuk beliau dan program tersebut adalah anjuran daripada pihak Muzium Sabah. Selain daripada Universiti Malaysia Sabah, beliau juga dijemput untuk datang ke Kadazandusun Cultural Association untuk membuat persembahan pada setiap bulan Mei. Jumlah ahli kumpulan beliau yang dijemput untuk datang ke sana adalah tidak tentu kerana ia sering berubah-ubah menjadi enam hingga dua belas orang.

                                          E:\SEJ\PBS\Gambar2 kajian\DSC00398.JPG

    Gambar 4 : Encik Thadius Yongut bersama rakan-rakannya
    membuat persembahan sempena Hari Kaamatan di KDCA
    Manakala Di Sook pula, Encik Thadius Yongut bersama dengan tiga orang rakannya telah dijemput oleh Komuniti Rukun Tetangga untuk membuat persembahan sempena program Pameran Hasil Kraftangan. Alat muzik tradisional yang dimainkan oleh mereka ialah Kurunggu dan juga Sompoton. Selain dijemput untuk membuat persembahan, beliau juga berpeluang untuk membuat demo alat muzik Tungkawir dan Kulintangan serta menjual alat-alat muzik yang beliau hasilkan sendiri. Program tersebut dianjurkan oleh Komuniti Rukun Tetangga  di peringkat negeri.
    Berkenaan dengan alat muzik tradisional yang digemari atau lebih dikuasai oleh Encik Thadius, Sompoton merupakan alat muzik tradisional yang dipilih oleh beliau. Jika terdapat tempahan daripada mana-mana pihak, alat muzik tradisional itu jugalah yang biasanya mendapat tempahan yang lebih banyak berbanding dengan alat muzik  tradisional yang lain. Beliau juga hanya mengambil masa yang singkat untuk belajar bermain dan membuat alat muzik tersebut berbanding dengan alat muzik tradisional yang lain. Alat muzik tradisional seperti Bungkau dan Tongunggak juga adalah salah satu alat yang digemari olehnya.
    Gambar 3 : Encik Thadius Yongut sedang memainkan
    alat muzik Sompoton
    Faktor-faktor seperti minat terhadap alat-alat muzik tradisional telah mendorong beliau untuk menguasai setiap alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun. Beliau terdedah dengan alat-alat muzik tradisional ini sejak kecil lagi sehinggalah sekarang. Minat yang mendalam terhadap alat muzik tradisional menyebabkan beliau belajar bermain alat muzik sejak beliau berumur 15 tahun lagi. Selain faktor minat yang mendalam, hasrat beliau untuk menguasai alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun adalah disebabkan untuk meneruskan usaha-usaha bagi mengembangkan alat muzik tradisional ini agar tidak pupus begitu sahaja.
    Cabaran-cabaran yang dilalui oleh beliau sepanjang melakukan usaha-usaha bagi mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun ialah beliau sukar untuk mendapatkan sumber-sumber untuk membuat alat muzik. Beliau terpaksa masuk ke dalam hutan untuk mencari sumber-sumber yang diperlukan. Contohnya seperti alat muzik Sompoton, di mana Kurobu yang mempunyai fungsi yang penting dalam memainkan alat muzik tersebut sukar untuk dicari. Selain itu, beliau juga menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri di tempat-tempat baharu terutamanya  jika terdapat jemputan daripada tempat-tempat yang berada di luar negeri Sabah. Bahasa dan bangsa yang berbeza menyukarkan beliau untuk menyesuaikan diri di tempat-tempat baru. Di samping itu, cabaran yang dihadapi oleh beliau sepanjang dalam melakukan usaha untuk mengembangkan alat muzik tradisional ini ialah masalah-masalah yang dihadapai semasa bermain alat muzik tradisional. Semasa membuat persembahan bersama-sama dengan rakannya yang lain, pernah berlaku kerosakan alat muzik yang tidak disengajakan dan masalah-masalah itu telah menyukarkan mereka pada ketika itu.
    Pencapaian Encik Thadius Yongut dalam alat muzik tradisional
    Alat muzik tradisional pertama yang dihasilkan oleh beliau dari tahun 1984 hingga tahun 2014 ialah Sompoton. Semasa beliau berumur 15 tahun, beliau sudah belajar cara bermain alat muzik tersebut dan beliau mula belajar untuk membuat alat muzik tersebut sejak berumur 39 tahun. Tempat bermulanya beliau membuat alat muzik tradisional itu adalah di kampung halamannya sendiri. Sumber-sumber yang digunakan untuk membuat Sompoton ialah Kurobu, Sopinit, Sumbiling(Schizostachyum lima), Polod, dan Tolinting. Bagi mengurangkan kos untuk membuat alat muzik, bahan-bahan pembuatan alat muzik tersebut seperti Kurobu dan Sopinit telah ditanam dan dipelihara oleh beliau sendiri.  Tempoh paling lama untuk menghasilkan alat muzik tersebut ialah selama satu hari dengan syarat bahan-bahan untuk membuat alat muzik tersebut sudah disediakan.
    E:\SEJ\PBS\Gambar2 kajian\DSC00351.JPG
    Gambar 4 : Alat muzik Sompoton yang dibuat
    oleh Encik Thadius Yongut
    Jumlah alat muzik tradisional yang telah dihasilkan oleh Encik Thadius Yongut dari tahun 1984 hingga tahun 2014 ialah sepuluh jenis iaitu Sompoton, Bungkau, Suling, Tongunggak, Kurunggu, Tungkawir, Sundatang, Tongkungon, Tokubung dan Kulintangan. Setiap alat muzik yang telah dibuat oleh beliau mula dibuat di tempat asalnya sendiri iaitu Kampung Tikolod, Tambunan. Waktu pembuatan setiap alat muzik tradisional tersebut adalah tidak tetap. Jika beliau mempunyai masa lapang, beliau akan mengisi masa lapangnya dengan membuat alat muzik tradisional. Beliau juga akan membuat alat-alat muzik tersebut jika mendapat tempahan daripada mana-mana pihak. Alat-alat muzik tersebut dibuat oleh beliau sendiri tetapi jika terlalu banyak tempahan, beliau akan menyerahkan tugas yang selebihnya kepada rakan-rakan beliau iaitu Encik Vitus Mosidin dan juga Encik Juie Maikon yang juga mahir membuat alat muzik tradisional tersebut.
    Pencapaian-pencapaian yang telah diperoleh beliau dalam alat muzik tradisional dari tahun 1984 hingga tahun 2014 ialah beliau mendapat jemputan-jemputan khas untuk ke negeri luar bagi melakukan persembahan dan demo untuk alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun. Jemputan khas ke Brunei adalah pada tahun 1986, ke Singapura adalah pada tahun 1991,   ke Kuala Lumpur pada 1994 dan ke Melaka adalah pada tahun 1999. Pihak-pihak yang telah memberi jemputan kepada beliau ialah Yayasan Sabah, Muzium Sabah, Pelancongan dan Kebudayaan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan juga Kadazandusun Cultural Association. Ekoran daripada jemputan-jemputan untuk membuat persembahan dan juga demo untuk alat muzik tradisional itu, beliau telah mendapat anugerah-anugerah penghargaan yang berbentuk sijil dan juga duit.
    Selain pencapaian beliau seperti menghadiri jemputan-jemputan yang diterima, beliau juga pernah menyertai pertandingan-pertandingan yang diadakan seperti pertandingan bermain alat muzik dan pertandingan membuat alat muzik. Pertandingan bermain alat muzik telah diadakan di Kundasang, Ranau pada tahun 1999 yang telah dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan dari Tambunan. Alat muzik tradisional yang beliau mainkan ialah Suling dan juga  Bungkau. Beliau telah merangkul gelaran sebagai naib johan dalam pertandingan tersebut dan menerima anugerah yang berbentuk duit dan juga sijil. Manakala pertandingan pembuatan alat muzik pula telah diadakan di Tambunan Village Resort Center (TVRC) pada tahun 1998. Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan dan di dalam pertandingan ini, beliau mendapat tempat pertama dan menerima anugerah yang berbentuk wang dan juga sijil.


    PERANAN ENCIK THADIUS YONGUT DALAM MENGEMBANGKAN ALAT MUZIK TRADISIONAL MASYRAKAT KADAZANDUSUN DARI TAHUN 1984 HINGGA TAHUN 2014
    Tenaga pengajar
    Encik Thadius Yongut juga telah banyak melakukan usaha-usaha dalam mengembangkan alat-alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun di Tambunan. Antara peranan beliau dalam mengembangkan alat muzik tradisional ini ialah menjadi tenaga pengajar dalam cara membuat dan juga cara bermain alat muzik tradisional. Beliau sudah memulakan usaha ini sejak tahun 1990 dengan memberi tunjuk ajar kepada golongan muda-mudi di kampung beliau. Dalam proses pengajaran cara pembuatan alat muzik tradisional, terdapat seramai 12 orang anak murid beliau yang manakala 10 orang anak murid dalam proses pengajaran cara bermain alat muzik tradisional. Beliau telah mendidik anak-anak murid beliau dengan baik sehingga menjadi pakar dalam membuat dan memainkan alat muzik tradisional sehingga hari ini.
    Kelab alat muzik tradisional
    Selain berperanan dalam menjadi tenaga pengajar, beliau juga pernah menubuhkan kelab alat muzik tradisional di kampung beliau. Tujuan kelab itu ditubuhkan adalah untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang asas tentang alat muzik, mempunyai kemahiran minimum dalam penghasilan alat muzik, berpotensi dalam aspek kreativiti dan inovasi, dan seterusnya dapat menghargai dan menikmati estetika muzik. Encik Thadius Yongut merupakan pengerusi di dalam kelab tersebut dan beliau di bantu oleh Ahli Jawatankuasa iaitu anak-anak murid beliau sendiri. Kelab tersebut di sambut baik oleh para penduduk kampung dan penglibatan penduduk kampung dalam kelab tersebut adalah cukup memuaskan.
    Promosi alat muzik tradisional
    Seterusnya, usaha yang dilakukan oleh beliau untuk mengembangkan alat muzik tradisional ialah dengan membuat promosi alat muzik. Jika beliau mendapat jemputan oleh mana-mana pihak untuk membuat demo, beliau akan mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan alat-alat muzik yang digunakan pada waktu itu. Setiap alat muzik yang digunakan akan diterangkan oleh beliau tentang cara-cara memainkannya dan juga cara membuat alat muzik tersebut. Di samping membuat promosi dengan memberikan penerangan tentang alat-alat muzik tradisional, beliau juga memberi peluang kepada orang ramai untuk cuba memainkan alat muzik tersebut agar usaha untuk mengembangkan alat muzik lebih berkesan.
    Pameran alat muzik tradisional
    Dalam usaha untuk mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun, Encik Thadius Yongut juga sering membuat pameran alat-alat muzik. Jika perayaan Hari Kaamatan semakin hampir, beliau akan di jemput untuk membuat demo dan juga persembahan. Peluang yang diperoleh itu digunakan oleh beliau dengan sebaik mungkin untuk membuat pameran-pameran alat muzik tradisional yang dihasilkan oleh beliau sendiri. Kadangkala jika musim perayaan tiba tetapi beliau tidak mendapat apa-apa jemputan, beliau akan mencari alternatifnya sendiri dengan datang ke suatu tempat yang menyambut perayaan dan akan mempamerkan alat-alat muzik tradisional yang dibuat oleh beliau.
    Persembahan alat muzik tradisional
    Sehubungan itu, dalam usaha untuk mengembangkan alat muzik tradisional, beliau jugan membuat persembahan alat muzik tradisional di peringkat kampung, daerah, negeri dan juga kebangsaan. Dalam persembahan tersebut, beliau akan menggembleng tenaga bersama-sama dengan anak muridnya untuk mempersembahkan alat-alat muzik tradisional agar usaha  untuk mengembangkan lagi alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun dapat dicapai dengan sempurna. Persembahan di peringkat kampung biasanya akan diadakan pada musim perayaan. Selain daripada musim perayaan, persembahan juga akan diadakan jika terdapat tetamu yang datang daripada luar  untuk di sambut sebagai tanda penghormatan penduduk kampung terhadap tetamu yang datang. Manakala persembahan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan pula akan diadakan jika terdapat jemputan daripada mana-mana pihak.
    Bengkel alat muzik tradisional
    Encik Thadius Yongut ada mendirikan sebuah bengkel di Kampung Tikolod yang terletak di hadapan rumahnya. Bengkel yang didirikan adalah bertujuan untuk memudahkan penduduk di sana bagi  mempelajari tentang alat-alat muzik tradisional. Golongan-golongan yang terlibat di dalam bengkel ini ialah golongan kanak-kanak dan juga golongan dewasa. Beliau mengenakan yuran yang rendah terhadap penduduk kampung bagi menarik minat mereka agar lebih terdorong untuk menyertai bengkel tersebut.
    SUMBANGAN ENCIK THADIUS YONGUT DALAM MENGEMBANGKAN ALAT MUZIK TRADISIONAL DARI TAHUN 1984 HINGGA TAHUN 2014
    Menaikkan nama negeri Sabah
    Encik Thadius Yongut telah banyak memberi sumbangan dalam perkembangan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun dengan mengharumkan nama negeri di persada dunia. Beliau banyak melibatkan diri dalam penganjuran persembahan dan demo alat muzik tradisional di peringkat kebangsaan. Atas kebolehan dan daya usaha gigihnya, beliau berjaya meletakkan Sabah sebagai sebuah negeri yang terkemuka.
    Peningkatan sektor pelancongan
    Usaha Encik Thadius Yongut dalam mengembangkan alat muzik tradisional telah meningkatkan sektor pelancongan di Sabah. Beliau telah memperkenalkan pelbagai jenis alat muzik tradisional termasuk membuat pelbagai jenis alat muzik sehingga ke luar negeri. Hal itu menyebabkan pelancong-pelancong daripada negeri atau negara lain yang ingin melancong akan memilih untuk datang ke Sabah kerana tertarik dengan kepelbagaian yang ada di negeri Sabah.
    Penerimaan orang ramai tentang pengenalan alat muzik tradisional
    Hasil daripada usaha Encik Thadius Yongut dalam mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun, semakin ramai orang yang berminat untuk mempelajari dan menguasai kemahiran-kemahiran dalam membuat dan bermain alat muzik. Perkembangan alat muzik tradisional yang dilakukan oleh beliau mendapat sambutan yang amat baik daripada orang ramai dan hal seperti ini seterusnya menjadikan alat-alat muzik tradisional tidak dilupakan oleh generasi muda pada zaman sekarang dan usaha untuk mengembangkan alat muzik tradisional dapat diteruskan.
    Peningkatan ekonomi
    Usaha Encik Thadius Yongut dalam mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun juga telah menjadikan sektor ekonomi semakin meningkat. Hal ini disebabkan oleh kemasukan mata wang asing daripada negara luar ke negara kita telah meningkatkan pendapatan negera. Kampung halaman beliau juga tidak ketinggalan kerana sektor ekonomi di kampung itu juga mengalami peningkatan ekonomi semasa tetamu luar datang untuk melihat persembahan yang diadakan di kampung tersebut.
    Mengekalkan warisan tradisional KDM dalam bidang muzik
    Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Encik Thadius Yongut dalam mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun telah menyebabkan warisan tradisional Kadazandusun Murut dalam bidang muzik sentiasa berkekalan. Pendedahan tentang alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun terhadap generasi muda zaman sekarang dapat mengajar generasi muda untuk lebih menghargai dan menjaga warisan tradisional  ini agar tidak mengalami kepupusan. Tambahan pula, alat-alat muzik yang lebih digemari oleh generasi muda zaman sekarang ialah alat-alat muzik yang lebih moden.
    PENUTUP
    Secara keseluruhannya, perkembangan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun di Tambunan telah mengalami kemajuan yang amat besar. Atas usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Encik Thadius Yongut untuk mengembangkan alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun seperti penglibatan-penglibatan beliau dalam muzik tradisional dan mengembangkan alat muzik tradisional sehingga ke luar negeri telah  menjadikan alat muzik tradisional ini lebih dikenali ramai. Orang ramai telah memberikan reaksi yang amat positif terhadap alat muzik tradisional dan akhirnya mempunyai kesedaran tentang kepentingan menjaga warisan tradisional untuk kegunaan generasi akan datang daripada pupus ditelan zaman yang semakin menuju ke arah zaman kemodenan yang semakin canggih.   Hasil daripada sumbangan dan kejayaan beliau dalam setiap penglibatan-penglibatan dalam muzik tradisional telah menjadikan daerah Tambunan dan negeri Sabah semakin dikenali sebagai tempat-tempat  yang penuh dengan kepelbagaian tradisi. Pelancong-pelancong daripada luar negeri datang untuk melihat kepelbagaian tersebut dan  hal ini telah meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan di negeri Sabah  dan seterusnya menjadikan warisan tradisional Kadazandusun dapat dikekalkan.
    credit



    One Response so far.

    1. Unknown says:

      Boleh tahu macamana mahu contact mereka ini untuk belajar buat alat muzik?

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam