Martin Conolly - Sejarah dan Sumbangannya dalam Aspek Sosial di Daerah Tambunan Dari Tahun 1927 Hingga Tahun 1965

    Author: Unknown Genre: »
    Rating

    PENGENALAN
    Dalam kajian sejarah 940/4, Sijil Peperiksaan Tertinggi Malaysia 2013/2014, tajuk yang dipilih untuk pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini adalah Martin Conolly: Sejarah dan sumbangannya terhadap aspek sosial di Daerah Tambunan dari tahun 1927 sehingga tahun 1965. Tajuk ini dipilih kerana ianya sesuai dengan tema bagi Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) Sejarah(940/4). Lokasi kajian iaitu daerah Tambunan dipilih kerana secara mata kasar kita dapat melihat perkembangan agama dan pendidikan yang begitu ketara dalam kalangan penduduknya.Martin Conolly dipilih sebagai tokoh sejarah kerana beliau berperanan dalam perkembangan dari aspek sosial di Tambunan, terutamanya dari segi keagamaan dan pendidikan.Dari segi istilah, sosial merujuk kepada hal-hal yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan.Kemasyarakatan pula terbahagi kepada tiga dan salah satunya ialah diferensiasi sosial yang bermaksud suatu sistem kelas sosial tanpa membezakan tinggi-rendahnya kelas sosial itu sendiri, seperti agama dan pendidikan. Menurut Erasmus dari Rotterdam (1469-1539), fahaman(agama) ini dikaitkan dengan sikap manusia yang benar terhadap Tuhan.Bagi maksud pendidikan pula, Plato berpendapat bahawa pendidikan ialah satu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia, Socrates pula berpendapat bahawa pendidikan berkaitan dengan latihan moral kewarganegaraan yang baik.Oleh yang demikian, agama dan pendidikan adalah penting untuk mengekalkan kesejahteraan serta kemajuan negara di samping mengukuhkan keperibadian seseorang yang mulia.Secara keseluruhannya, kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji sejarah dan sumbangan Rev. Fr. Martin Conolly dalam aspek sosial di daerah Tambunan.
    SEJARAH MARTIN CONOLLY
    Gambar 1: Rev. Fr. Martin Conolly
    Latar Belakang
    Martin Conolly dilahirkan di Stockport Cheshire, England pada tahun 1903.Seperti Fr John Leo Quinn dan Fr Tun Putman, Rev. Fr. Martin Conolly meneruskan pelajaran beliau dalam bidang keagamaan di Mill Hill College, London dengan tujuan untuk menjadi seorang paderi.Faktor yang menyebabkan beliau menjadi seorang paderi bukanlah kerana minat semata-mata.Hal demikian kerana, untuk menjadi mubaligh Kristian,ianya adalah berdasarkan keyakinan seseorang terhadap ‘panggilan’ yang diterima untuk menjadi seorang mubaligh Kristian. Rev. Fr. Martin Conolly menjadi seorang paderi kerana beliau mendapat panggilan  untuk menjadi seorang religius.
    Beliau membuat komitmen dakwah Perpetual beliau di kolej tersebut. Dari sana, beliau banyak mempelajari tentang Agama Kristian. Beliau ditahbiskan menjadi seorang paderi Roman Katolik Jesuit di Mill Hill,pada 18 Julai 1926. Rev Fr. Martin Conolly  hanya mendapat gelaran ‘Rev. Fr.’ selepas beliau bergelar seorang paderi. Pada tahun 1927, Rev. Fr. Martin Conolly telah dihantar ke Apostolic Vicariate of Borneo di British North Borneo.Kerajaan British yang pada ketika itu menjajah North Borneo, telah menghantar beliau ke Daerah Tambunan untuk membantu Fr John Leo Quinn menyebarkan Agama Kristian di Tambunan.Pada waktu itu, Rev. Fr. Martin Conolly baru berumur 24 tahun.
    Banyak perubahan positif yang telah dilakukan oleh Rev. Fr. Martin Conolly terhadap penduduk Daerah Tambunan sepanjang keberadaan beliau di daerah tersebut. Genap 38 tahun  perkhidmatan beliau untuk Tuhan dan umat di Tambunan, beliau balik ke England untuk berehat sementara dan bercadang untuk pergi ke Tambunan semula pada akhir tahun tersebut. Tetapi malangnya, beliau tidak dapat kembali ke Tambunan atas masalah kesihatan.Hal ini dipercayai berpunca daripada hentakan yang beliau alami di kepalanya selepas terjatuh dari basikal semasa berada di Tambunan.
    Tidak lama kemudian, semasa beliau berada di England, beliau telah mengalami koma. Keadaan Rev. Fr. Martin Conolly semakin teruk yang mana beliau koma selama 4 bulan dan  meninggal dunia di Liverpool pada 4 Julai 1965.
    Sejarah Kedatangan Rev. Fr. Martin Conolly ke Tambunan
    Sebelum kedatangan Rev. Fr. Martin Conolly di Daerah Tambunan, sudah terdapat detik permulaan penyebaran agama serta pendidikan di Daerah Tambunan.Pada tahun 26 Ogos 1887, sudah terdapat mubaligh Kristian yang telah sampai ke Daerah Tambunan terlebih dahulu melalui Banjaran Crocker untuk menyebarkan agama Kristian, iaitu Fr. Prenger.Namun, penyebaran agama tersebut tidak dapat berjalan dengan lancar kerana penduduk Tambunan pada ketika itu tidak suka dengan orang putih disebabkan oleh peristiwa di Pensiangan, yang mana penduduk Tambunan yang telah pergi ke Pensiangan dengan pengembara dari Austria, iaitu Mr. Francis Witti, telah dibunuh oleh orang murut di Pensiangan.
    Pada tahun 1917, Fr Watcher, yang pada masa itu merupakan paderi di Paroki Penampang telah datang ke Tambunan sambil meninjau dengan niat.Pada ketika itu, Tambunan adalah sebahagian daripada kawasan Paroki Penampang.Setelah itu, Fr. Watcher telah menghantar Fr Staal dan seterusnya Fr Dynes ke Tambunan pada tahun 1919, ditemani oleh Kategis Louis Majapur yang berasal dari Penampang. Fr Staal telah membina sebuah sekolah mission di Tambunan. Antara pelajar pertama yang bersekolah di sekolah tersebut ialah Datuk Anthony Gibun, En. Stephen Assin Saladan, G.S Sundang dan En. Yonsisoi.Namun, Fr Staal ditolak kerana beliau berbangsa Belanda.Residen dalam Negeri(The Resident of the Interior) memaklumkan kepada Fr. Watcher untuk hanya menempatkan mubaligh Kristian dari British di Tambunan.Fr Dynes, walaupun merupakan seorang paderi dari British, beliau menghadapi masalah berkomunikasi dengan penduduk Tambunan kerana beliau tidak tahu berbahasa Kadazan. Lagipun, Fr Dynes hanya pernah berkhidmat di Sarawak. Kedua-dua paderi tersebut kembali ke Penampang setelah sebulan di Tambunan, meninggalkan Kategis Louis Majapur untuk menjaga sekolah mission yang telah dibina itu.
    Keadaan pada ketika itu menunjukkan tidak terdapat paderi yang tetap di Tambunan.Sehinggalah pada tahun 1925, Fr. John Leo Quinn telah datang ke Tambunan sebagai seorang paderi tetap yang pertama di Tambunan. Beliau merupakan pelopor kepada  permulaanMission Catholic di daerah Tambunan. Fr John Leo Quinn telah membina sebuah sulapsebagai Chapel serta sekolah pertama di Tambunan.Pembinaan sulap tersebut berjaya hasil daripada bantuan penduduk Tambunan yang telah sama-sama menggembleng tenaga dalam membina bangunan tersebut.Pembinaan sulap tersebut juga telah membelanjakan sebanyak 3 gantang beras, 6 ekor ayam dan 1 tajau tapai.Datuk Anthony Gibun dan En.Stephen Assin Saladan adalah penduduk Tambunan yng pertama dibaptis sebagai Kristian.
    H:\School gate\SEJARAH\pbs sej\New folder\SUMBER PRIMER\IMG_20140303_101333.jpg
    Gambar 2: Gambar Chapel serta sekolah mission yang pertama
    Kedatangan Rev. Fr Martin Conolly di daerah Tambunan adalah pada penghujung tahun 1927. Selepas pentahbisan beliau sebagai seorang paderi  diMill Hill College iaitu pada 1927, beliau telah dihantar ke Apostolic Vicariate of Jesselton di British North Borneo. Kedatangan beliau ke Kota Kinabalu adalah dengan bantuan daripada Kerajaan British.Rev. Fr. Martin Conolly tidak pernah sesekali ditugaskan oleh kerajaan British di mana-mana tempat lain di Sabah, melainkan di Daerah Tambunan sahaja.Ini bermakna, setibanya beliau di North Borneo, beliau telah dihantar ke Tambunan untuk membantu Fr. John Leo Quinn dalam merealisasikan misi menyebarkan agama Kristian di sekitar kawasan Daerah Tambunan.
    Seperti cabaran yang dilalui oleh Fr. Prenger untuk sampai ke Tambunan, Rev. Fr. Martin Conolly  juga mengalami cabaran yang sama. Pada masa itu, tidak terdapat jalan raya yang menghubungkan pantai barat dengan Tambunan.Oleh itu, Rev. Fr. Martin Conolly harus meredahi gunung-gunung Banjaran Crocker untuk sampai ke Tambunan.
    Terdapat tiga laluan jalan kaki yang menghubungkan Tambunan dengan pantai barat pada ketika itu.Laluan yang pertama ialah Sunsuron Trek, yang secara kasar kini merupakan jalan raya utama yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Tambunan.Laluan yang kedua pula ialah Tondulu Trek, yang mana laluan ini adalah laluan ke hulu sungai sepanjang Sungai Tondulu.Sehinggalah sampai ke punca air tersebut, mereka harus menyeberangi Banjaran Crocker serta Sungai Ulu Papar.Di sebelah barat pula, mereka harus memanjat rabung dan terdapat banyak lembah yang harus diseberangi.Laluan yang ketiga pula ialah Tikolod Trek, yang mana laluan ini seringkali digunakan oleh penduduk Tambunan.Laluan ini menyerupai laluan Tondulu Trek, tetapi pergi lebih jauh ke selatan.
    Namun, tidak diketahui laluan mana yang digunakan oleh Rev. Fr. Martin Conolly untuk sampai ke Tambunan, yang semestinya, ketiga-tiga laluan tersebut merupakan laluan yang susah dan sangat perlahan. Ianya mengambil masa kira-kira tujuh sehingga lapan malam untuk pergi dan balik ke Tambunan.Kesanggupan Rev. Fr. Martin Conolly untuk meredahi kesusahan tersebut menggambarkan besarnya niat beliau untuk mengembangkan agama Kristian serta pendidikan kepada penduduk asli di Daerah Tambunan.
    PERANAN REV. FR. MARTIN CONOLLY DARI ASPEK SOSIAL
    Latar Belakang Kepercayaan dan Pegangan Masyarakat Kristian Sebelum Kedatangan Rev. Fr. Martin Conolly
    Sebelum kedatangan Rev. Fr. Martin Conolly ke Tambunan, sudah terdapat sebilangan penduduk Tambunan yang memeluk agama Kristian.Hal demikian kerana mereka tertarik dengan agama Kristian lalu memeluk agama tersebut.Walaupun begitu, masih ramai yang mengamalkan kepercayaan animisme.Perkara ini disebabkan oleh ketiadaan paderi yang duduk secara tetap di Daerah Tambunan.Mubaligh Kristian yang ada pada ketika itu hanyalah Kategis Louis Majapur.Beliau ditugaskan untuk menjaga sekolah mission yang dibina oleh dua orang paderi. Kedatangan Fr John Leo Quinn selepas itu telah menunjukkan peningkatan  dalam jumlah penganut agama Kristian. Dua tahun selepas itu, Rev. Fr. Martin Conolly menyertai misi itu dan bersama-sama melaksanakan misi tersebut.


    Peranan Rev. Fr. Martin Conolly dalam Perkembangan Agama Kristian di Daerah Tambunan Sekitar   Tahun 1927 Sehingga Tahun 1965
    Antara usaha yang telah dilakukan oleh Rev. Fr. Martin Conolly dalam mengembangkan agama Kristian di sekitar daerah Tambunan ialah membina gereja, memasuki kawasan terpencil di daerah Tambunan untuk menyebarkan agama Kristian dan mempelajari bahasa Kadazan daripada penduduk tempatan. Namun, usahanya yang paling ketara dalam mengembangkan agama Kristian di Tambunan adalah pembinaan gereja, yang dikenali sebagai Gereja St. Teresa.
    Pembinaan gereja yang lebih baik dan luas telah dilakukan oleh Fr John Leo Quinn bersama-sama dengan Rev. Fr. Martin Conolly selepas pembinaan gereja dan sekolah yang pertama oleh Fr. Leo John Quinn.Tempat  untuk membina Gereja tersebut adalah tapak di mana rumah Pegawai Daerah berada sekarang. Mereka telah membelanjakan wang sebanyak $200.00 untuk membina gereja tersebut. Bahan yang digunakan  dalam mendirikan gereja itu pula adalah kayu kayan. Gereja pertama yang dibina  ini dapat memuatkan seramai 200 orang.
    F:\School gate\SEJARAH\pbs sej\New folder\UPACARA PEMBERKATAN GEREJA ST THERESA\IMG_20140306_094951.jpg
    Gambar 3: Gereja pertama yang dibina bersama Rev. Fr. Martin Conolly


    Pada tahun 1932, iaitu selepas Fr John Leo Quinn membuka Toboh Mission, Rev. Fr. Martin Conolly telah berhasrat untuk membina gereja yang diperbuat daripada bahan yang lebih konkrit. Beliau telah  memulakan  pembinaan   gereja separuh konkrit bersebelahan dengan gereja lama berkenaan.Namun, pembinaan ini tergendala akibat daripada kedatangan tentera Jepun pada tahun 1942.Semasa tahun terakhir Jepun menjajah North Borneo, mereka telah membakar bangunan-bangunan yang menyebabkan hampir tiada yang tinggal untuk North Borneo.
    Pada tahun 1952, Kerajaan British telah mengambil tanah tersebut menyebabkan tapak gereja terpaksa dipindahkan ke tapak gereja sekarang. Seterusnya, Rev. Fr. Martin Conolly hanya memohon 5 ekar  sahaja untuk bangunan gereja St. Theresa.Beliau telah meminta mendiang Chong Kim Min untuk membina gereja tersebut.
    Pembinaan gereja tersebut boleh dikatakan lembab, disebabkan oleh faktor kewangan.Beliau hanya meneruskan pembinaan gereja tersebut apabila terdapat sumber kewangan.Ini menyebabkan pembinaan gereja tersebut terbengkalai sebanyak tiga kali.Walaupun begitu, beliau tidak berputus asa mencari kewangan daripada saudara mara dan kawan-kawan beliau di England dan Amerika.Malah, beliau telah berulang alik sebanyak tiga kali dari England ke North Borneo semata-mata untuk mendapatkan sumber kewangan.Dalam masa itu juga, beliau telah menjadikan rumahnya sebagai sekolah dan gereja sementara menunggu pembinaan gereja tersebut selesai.Akhirnya, pada tahun 1960, gereja tersebut siap dibina dengan harga RM25 000.00.

    Gambar 4: Gereja yang telah dibangunkan oleh Rev. Fr. Martin Conolly pada Tahun 1960
    Latar Belakang Pendidikan Masyarakat Kristian Sebelum Kedatangan Rev. Fr. Martin Conolly
    Semasa peringkat awal pembukaan sekolah di Daerah Tambunan, ianya tidak mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan anak-anakKadazandusun .Hal demikian kerana tidak timbul kesedaran daripada ibu bapa kepentingan untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Satu-satunya pendidikan yang diterapkan dalam kalangan anak-anak kadazandusun ialah sistem kepercayaan, adat resam, pantang larang dan cara menjadi bobolian.Dengan demikian, para mubaligh Kristian berusaha untuk memajukan penduduk Tambunan dengan mendirikan sekolah.Pada peringkat pertama di sekolah yang pertama yang dibina oleh Fr Staal dan Fr Dynes, jumlah pelajarnya adalah kurang.Antara pelajar pertama di sekolah tersebut ialah Datuk Anthony Gibun, En. Stephen Assin Saladan, G.S Sundang dan En. Yonsisoi.Kedatangan Rev. Fr. Martin Conolly ke Tambunan seterusnya telah mengembangkan pendidikan di Tambunan berdasarkan usaha-usahanya terhadap pembangunan pendidikan di Tambunan.
    Peranan Rev. Fr. Martin Conolly dalam Perkembangan Pendidikan di Daerah Tambunan Sekitar   Tahun 1927 Sehingga Tahun 1965
    Pada sekitar tahun 1927 sehingga 1952, sekolah yang awalnya dibina telah dipindahkan dari tapak kompleks sukan kini ke tapak rumah pegawai daerah sekarang oleh Rev. Fr. Martin Conolly.Sekolah yang didirikan oleh Rev. Fr. Martin Conolly itu terdiri daripada sebuah bangunan sahaja, yang menggunakan bahan seperti papan, zink dan bambu.Semasa zaman pemerintahan Jepun, pembelajaran bahasa Inggeris diharamkan.Malah, semua buku yang mempunyai bahasa Inggeris dibuang oleh tentera Jepun.Pada pengakhiran pemerintahan tentera Jepun, mereka telah membakar kebanyakan bangunan yang terdapat di North Borneo, termasuk di Tambunan.Perkara ini menyebabkan beliau membina semula sekolah tersebut. Namun, pada tahun 1951, sekali lagi beliau terpaksa  mencari tapak baru untuk sekolah tersebut, yang mana tapak tersebut ialah kawasan gereja St. Theresa kini. Sementara menunggu pembinaan sekolah tersebut, beliau menggunakan rumahnya sendiri sebagai tempat bilik darjah kepada murid-muridnya yang berjumlah 68 orang.Beliau juga seringkali pergi dan balik dari Sabahke England untuk mendapatkan sumber kewangan bagi pembinaan sekolah tersebut dan telah meletakkan kepercayaannya terhadap En.Samuel Liansim dan Isidore Iking dalam meneruskan pengajaran di St Theresa serta menjaga sekolah tersebut.Pada ketika itu mereka sudah menjadi guru dan bertugas di St. Theresa.
    F:\School gate\SEJARAH\pbs sej\New folder\UPACARA PEMBERKATAN GEREJA ST THERESA\070320142492.jpg
    Gambar 5: Encik Liansim bersama dengan murid St Theresa sebelum bangunan siap dibina
    Sepanjang Rev. Fr. Martin Conolly menjadi pendidik di sekolah yang telah beliau bina sendiri, beliau telah mengajar kemahiran 3M, pendidikan pertanian dan pendidikan agama kepada pelajarnya.Hal ini menyamai misi yang diperintah daripada kerajaan British kepada para mubaligh Kristian dari Mill Hill.Beliau juga merupakan penyelia dan guru besar di sekolah tersebut dari tahun 1927 sehingga tahun 1965. Pendidikan tertinggi di sekolah beliau sebelum sistem vernakular adalah Standard 3, yang mana  pelajar beliau akan dididik selama 3 tahun. Beliau menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Kadazandusun sebagai bahasa pengantar di sekolah tersebut.Yuran bulanan sekolah pula murah, iaitu sebanyak 10 sen.Hal ini bertujuan agar ramai anak-anak Kadazandusun tertarik untuk mendapat pendidikan.Rev Fr. Martin Conolly dibantu oleh 3 orang pembantu, iaitu Datuk Anthony Gibun, Isidore Iking dan En. Samuel Liansim.
    Bangunan sekolah tersebut akhirnya  dapat didirikan pada tahun 1961. Rev. Fr. Martin Conolly sempat berada di sekolah tersebut selama 4 tahun sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1965 di Liverpool, England.
    Sumbangan Rev. Fr Martin Conolly Dalam Aspek Sosial Dari Segi Agama dan Pendidikan
    Hasil daripada usaha Fr. Martin Conolly, jumlah penduduk Tambunan yang telah dibaptis telah menunjukkan peningkatan, yang mana pada tahun 1927, jumlah yang dibaptis ialah 65 orang dan pada tahun 1932, jumlah ini meningkat kepada 330 orang.Malah, selepas Perang Dunia Kedua, pertambahan penganut Kristian semakin meningkat.Kini, jumlah penganut Kristian di Tambunan telah mencecah lebih daripada 8 000 orang.Perkembangan agama Kristian di Tambunan ini juga telah membuka mata penduduk seperti Datuk Anthony Gibun.Pada tahun 1934, Datuk Anthony Gibun telah menjadi guru di sekolah yang dibuka oleh Rev. Fr. Martin Conolly.Beliau juga telah memberikan tanahnya berdekatan dengan Hospital Tambunan kini untuk kegunaan gereja dan membuka tanah beliau di Lotong untuk membina Chapel.Sehubungan itu, Chapel luar bandar juga telah dikembangkan ke tempat-tempat terpencil di Tambunan.Kini, banyak outstasi di bawah naungan gereja St Theresa.Perkara ini dapat dilaksanakan kerana wujudnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Mission Katolik Tambunan.Badan gereja pula telah ditubuhkan, iaitu Majlis Paroki pada tahun 1972 yang bertanggungjawab ke atas perkembangan dan pertadbiran gereja dari segi mental.Badan-badan Majlis Paroki terdiri daripada Legion of Mary, Liga Wanita, Belia Paroki, Core Group dan Kategis.Di bawah badan-badan ini pula, terdapat jawatankuasa-jawatankuasa kecil iaitu katikatikal, kewangan dan harta benda, sosial dan budaya dan liturgi.Melalui badan ini, ramai penduduk Tambunan yang kini telah menjadi mubaligh kristian.
    Secara tidak langsung juga, beliau telah menerapkan nilai murni dalam usaha beliau untuk mengembangkan agama Kristian dan pendidikan di Daerah Tambunan.Antaranya, amalan gotong-royong dalam meratakan tanah sebelum gereja dibina, kejujuran yang mana beliau mematuhi Undang-Undang Tanah dan berdedikasi yang mana beliau sanggup menjadikan rumah beliau sebagai sekolah serta gereja semasa pembinaan sekolah dan gereja.Semua nilai murni ynag diterapkan beliau inilah antara yang menarik perhatian masyarakat Kadazandusun di Tambunan untuk memeluk agama Kristian dan mendaftar di sekolah beliau.
    Pada masa yang sama, pendidkan di sekolah St. Theresa telah bergerak dan bergerak seiring dengan perkembangan agama. Pada tahun 1964, 60% daripada pelajar Darjah Enam Rev. Fr. Martin Conolly telah melepasi peperiksaan kerajaan.Hal ini membuktikan kebanyakan pelajar beliau telah menguasai kemahiran 3M.Seterusnya, terdapat juga pelajar beliau yang kini merupakan mubaligh Kristian.Sehubungan itu, ianya telah membuka minda penduduk betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan. Oleh itu, Fr Vander Ghest telah membina sebuah bangunan baru di tapak yang sama dengan peruntukan kewangan sebanyak   $47 000.00 daripada penduduk tempatan dan mission dan $5 700.00 daripada kerajaan.Bangunan ini mempunyai 8 buah bilik dan 2 stor.Kini, jumlah pelajar Sk. St. Theresa ialah 265 orang dan peratus yang telah melepasi peperiksaan kerajaan (UPSR) untuk tahun 2013 ialah 34.24%.Walaupun peratusnya kurang daripada 60%, namun, kuantiti pelajarnya telah membuktikan peningkatan dalam kesedaran pendidikan dalam kalangan penduduk di daerah Tambunan.
    PENUTUP
    Secara keseluruhannya, semangat Rev. Fr. Martin Conolly dalam mengembangkan agama Kristian serta pendidikan di Tambunan sememangnya amat teguh. Hal ini demikian kerana walaupun beliau bukan seorang tempatan dan datang daripada tempat yang jauh serta lebih moden daripada North Borneo, beliau sangat berkomitmen dalam melakukan pelbagai usaha untuk mengembangkan agama Kristian serta pendidikan di Daerah Tambunan yang merupakan tempat asing daripada tempat asalnya dari aspek budaya, kepercayaan dan bahasa. Kini, semua usahanya telah diteruskan oleh generasi kini yang mana merupakan orang tempatan kita sendiri.Untuk memperingati jasa dan sumbangannya, Tugu Rev. Fr. Martin Conolly telah dibina di hadapan pejabat paroki St Theresa. Namanya juga turut dijadikan sebagai  tanda jalan ke sekolah dan gereja St. Theresa. Malah, SM. St. Martin Tampasak di Tambunan menggunakan nama beliau sebagai nama sekolah tersebut bersempena untuk mengingati beliau sebagai salah satu paderi terawal di Tambunan.Konklusinya, diharapkan agar usaha dan sumbangan Rev. Fr. Martin Conolly terhadap aspek sosial dari segi pendidikan dan agama semakin berkembang di Daerah Tambunan dan bukannya ditelan dek zaman.
    credit





    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam