Masyarakat Feudal di England dan Jepun~Nota Sejarah Stpm Penggal 1

    Author: Unknown Genre: »
    Rating

    MASYARAKAT FEUDAL DI ENGLAND DAN JEPUN

    Pengenalan/Definisi Masyarakat Feudal

    ·        masyarakat yang tinggal dalam sesuatu komuniti dan terikat dengan aturan yang ditetapkan oleh kerajaan atau pemerintah ke atas golongan diperintah/bawahan. Kedua-dua golongan ini hidup mengikut susun lapis yang ditetapkan berdasarkan keturunan dan hubungan di antara keduanya berasaskan saling memerlukan antara satu sama lain.
    ·        masyarakat feudal di England memperlihatkan raja mempunyai kuasa mutlak dan berada pada kedudukan teratas, diikuti oleh count (bangsawan), lord (tuan tanah), manor dan serf (petani)
       manakala masyarakat feudal di Jepun meletakkan maharaja pada kedudukan tertinggi dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas ke atas segala aspek dalam pemerintahan termasuklah tanah. Namun demikian, maharaja telah mewakilkan kuasa baginda kepada keluarga syogun dan dibantu oleh daimyo serta samurai.

    Ciri-ciri Masyarakat Feudal di England

    1.     Setiap serf (rakyat bawahan biasanya petani) memberi   sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi  daripada mereka.   Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight (pahlawan), bangsawan (baron,  duke , lord) dan akhir sekali ialah Raja.

    2.     Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan Raja. Punca kekayaan golongan ini ialah tanah yang dianugerahkan oleh Raja.

    3.     Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut.

    4.     Harta feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberikan tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan.

    5.     Dalam aspek ketenteraan, wujud kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief.

    6.     Kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.
                                                        
    Susun lapis masyarakat feudal di England

    1.     Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin dan yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan. Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang memberi kesetiaan kepada raja. Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu lapisan pertama dan kedua.

    2.     Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan lapisan ke dua seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya  atau golongan petani. Setiap bangsawan (Vassal) berkuasa ke atas petani yang menentap difiefnya. Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba.

    3.     Golongan yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain.Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah daripada golongan bangsawan.

    4.     Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada  daripada golongan  bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem feudal. .Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah      barat di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai gereja terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua tanggungjawab

    Ciri-ciri Masyarakat Feudal di Jepun

    1.     Sistem feudal juga dapat dilihat dengan jelas di Jepun, iaitu maharaja yang berada di kemuncak  struktur pemerintahan mempunyai kuasa yang  tidak  terhad ke atas segala aspek di bawah pemerintahannya termasuklah tanah.  Hakikat ini dapat dilihat  pada zaman Kamakura antara abad ke-12 dan 14, di mana keluarga   Minamoto menjadi keluarga yang penting di Jepun.  Keluarga ini mampu    membekalkan keperluan keselamatan yang diperlukan  oleh maharaja dan  mereka turut menguasai tanah dan segala penghasilannya.

    2.     Sebagai ketua kepada keluarga Minamoto, Yoritomo misalnya telah melantik mereka yang setia kepadanya mewarisi jawatan jito atau pengurus  tanah dan bertanggungjawab mengutip cukai. Shugo merupakan pegawai   yang bertanggungjawab memastikan agar semua cukai di bayar walaupun kekerasan terpaksa digunakan. Sistem sebegini terus kekal sehingga zaman Meiji apabila beberapa perubahan besar dilakukan.

    3.     Menurut Abdullah Zakaria Ghazali, dalam usaha  melihat sejarah sistem Feudal di Jepun, maka zaman Kamakura tidak harus ditinggalkan kerana zaman ini merupakan akar kepada keberlangsungan sistem feudal  yang hanya tamat pada pertengahan abad ke-19. Menurutnya lagi, sistem feudal tumbuh subur di Jepun kerana kewujudan estate persendirian yang dikenali sebagai syo atau syoen. Pertumbuhan estet-estet persendirian ini telah dipercepatkan oleh kemerosotan golongan aristokrat dan kebangkitan golongan perwira  (buke).Golongan ini memberi taat setia kepada Kamakura dan hasil   daripada ketaatsetiaan ini  menyebabkan mereka mendominasi jawatan  jito serta shugo. Gabungan organisasi inilah yang menjadi asas kepada  kemunculan sistem feudal di Jepun.

    4.     Sehubungan itu kita dapat melihat sistem feudal di Jepun telah melahirkan dua golongan yang saling bergantung  antara satu sama lain, iaitu golongan birokrasi pemerintahan dan golongan tentera. Golongan birokrasi   pemerintahan  termasuklah tuan-tuan tanah atau daimyo yang bertanggungjawab  menyumbangkan sebahagian daripada hasil tanah kepada maharaja.

    5.     Selain itu perjalanan sistem feudal di Jepun agak unik dan berbeza dengan negara lain. Ini disebabkan wujud keterikatan yang kuat antara golongan daimyo dengan tentera dan petani , manakala maharaja tidak mempunyai  sebarang peranan. Kemunculan golongan tentera khusus (profesional) di Jepun begitu berpengaruh dalam menentukan hala tuju  pemerintahan.   Golongan  daimyo merupakan kelompok yang sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya dikatakan mengalahkan kuasa maharaja.

    6.     Golongan tentera mempunyai   kebolehan yang besar dalam peperangan dan digunakan oleh golongan bangsawan sama ada untuk mempertahankan hak milik mereka    atau menjaga   keselamatan   tuan-tuan mereka.   Kekuatan ketenteraan  ini menjadi tulang belakang kepada kebangkitan daimyo di Jepun sehingga maharaja tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.

     Susun lapis masyarakat feudal di Jepun

    1.     Struktur sistem feudal di Jepun berbentuk piramid yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah adalah Maharaja, Shogun, Daimyo dan Samurai. Golongan diperintah terdiri   daripada  petani, tukang  dan saudagar. Sistem ini dapat dilihat dengan jelas semasa pemerintahan Shogun Tokugawa.

    2.     Dalam hierarki pemerintahan di Jepun Maharaja menduduki lapisan teratas. Namun semasa pemerintahan Shogun Tokugawa Maharaja Jepun tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir. Baginda hanya menjadi lambang perpaduan rakyat. Kuasa pemerintah terletak kepada Shogun Tokugawa.  Shogun menjalankan tugas atas nama maharaja melalui dasar pecah dan  perintah. Hal ini dilakukan supaya kuasa dan kedudukan Shogun  terjamin. Shogun telah membahagikan kawasan pemerintahan berdasarkan  golongan  bangsawan atau Daimyo yang penyokong dan menentangnya. Daimyo yang menyokong Shogun akan diberi tanah manakala bangsawan yang menentangnya ditempatkan di  kawasan yang akan dikawal oleh sekutu Tokugawa.

    3.     Daimyo merupakan golongan bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam pentadbiran Tokugawa. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu daimyo Fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai ialah ahli keluarga Shogun Tokugawa dan telah dikurniakan tanah  yang berhampiran kediaman Shogun. Daimyo Shimpan terdiri   daripada pelbagai cabang keluarga Tokugawa. Mereka diberi tanah tidak jauh   daripada Shogun. Daimyo Tozama terdiri daripada mereka yang   memusuhi Shogun. Mereka telah ditempatkan jauh  daripada Shogun   untuk mengelak ancaman daripada mereka.

    4.     Samurai merupakan kelas panglima. Mereka mempunyai kedudukan istimewa. Mereka berfungsi sebagai penjaga keamanan negara dan Daimyo. Mereka tidak dibenarkan melakukan kerja lain.

    5.     Dalam kalangan rakyat biasa,petani (nomin) menduduki tempat yang tertinggi. Hal ini kerana mereka merupakan pengeluar beras yang menjadi bahan makan rakyat Jepun dan sebagai balasan mereka diberi upah hanya secukup makan sahaja kerana hasil beras untuk negara. Jepun telah menjalankan dasar tutup pintu ini menyebabkan rakyat hanya bergantung kepada beras yang dikeluarkan oleh petani sahaja.

    6.     Kelas tukang-tukang mahir (artisan) berada dibawah petani. Mereka mahir dalam pembuatan pedang dan alat-alat lain yang berguna. Mereka diberi gaji yang baik dan diberi rumah yang baik. Mereka dibenarkan menggunakan pedang.

    7.     Kelas pedagang (chonin) terletak dibawah artisan. Mereka dipandang rendah dan tidak dibenarkan berlaku mobiliti sosial. Namun keadaan aman telah menyebabkan ekonomi berkembang dan para pedagang telah berjaya mengumpul harta yang banyak. Mereka kemudian telah memperbaiki status diri mereka.

    Perbandingan ciri-ciri masyarakat feudal di England dan Jepun
             
    Persamaan:

    1.     Konsep masyarakat feudal yang berasaskan saling memerlukan antara golongan pemerintah dan golongan diperintah dan berbentuk piramid
    2.     Pembentukan masyarakat adalah berdasarkan keturunan dan sistem kelas
    3.     Kurang perubahan status atau mobiliti sosial
    4.     Peperangan adalah fenomena biasa dalam kalangan masyarakat
    5.     Peralatan peperangan adalah bersifat tradisional iaitu menggunakan kuda, pedang dan baju perisai


    Perbezaan:

    1.     Masyarakat feudal di England menekankan hak, undang-undang dan kewajipan manakala di Jepun menekankan aspek moral, kesetiaan dan dipengaruhi oleh etika Confucius
    2.     Pembinaan istana di England menggunakan batu manakala di Jepun menggunakan kayu
    3.     Kuasa pemerintahan dikongsi dalam badan perwakilan di England tetapi di Jepun
    4.     kuasa dan kesetiaan adalah sesuatu yang mutlak
    5.     Di  England, sesiapa boleh memiliki tanah asalkan berjasa kepada pemerintah (Knight)  tetapi di Jepun golongan samurai tidak berhak untuk mempunyai tanah
    6.     Di  England, penyatuan rakyat dijalankan oleh Raja tetapi di Jepun ia dilaksanakan oleh ketua tentera

    Soalan-soalan Perbincangan:

    1. Huraikan konsep dan ciri-ciri feudalisme di England dan Jepun.
    2. Bincangkan susun lapis masyarakat feudal di England dan Jepun
    3. Bandingkan ciri-ciri feudalisme di England dan Jepun


    One Response so far.

    1. NurAlin says:

      Menarik info nya

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam