Contoh PBS Sejarah - Perkembangan Kaum Dusun Liwan Di Kampung Merampong Keningau

    Author: Unknown Genre: »
    Rating

    PENGENALAN
    Kaum Kadazan-Dusun merupakan kaum bumiputera yang terbesar di negeri sabah. Etnik peribumi ini menetap di pantai barat Sabah dan kawasan pedalaman di sekitarnya termasuklah Kampung Merampong Keningau. Kaum Kadazan-Dusun ini sebenarnya dibentuk oleh dua kaum utama Sabah iaitu ‘Kadazan’ dan ‘Dusun’. Namun disebabkan persamaan bahasa dan budaya, maka istilah baru telah terbentuk untuk menyatukan kedua-dua kaum ini iaitu ‘Kadazan-Dusun. Terdapat pelbagai suku kaum di dalam kaum Kadazan-Dusun dan salah satu suku kaum tersebut ialah kaum Dusun Liwan. Menurut kajian yang dilakukan oleh beberapa pengkaji budaya, masyarakat Kadazan-Dusun mempercayai bahawa nenek moyang mereka berasal dari satu tempat yang bernama Nunuk Ragang yang bermakna “Pohon Ara berwarna merah”. Tempat tersebut terletak di kawasan Daerah Ranau. Apabila berlakunya penghijrahan Kaum Kadazan-Dusun untuk mencari penempatan baru, maka terjadinya pemisahan orang-orang Kadazan-Dusun di mana salah satu penempatan tersebut ialah di Kampung Merampong Keningau.
    Kaum Kadazan Dusun merupakan kaum yang kaya dengan pelbagai budaya dan adat istiadat yang merupakan warisan secara turun-temurun oleh nenek moyang mereka. Kebanyakan daripada amalan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan animism yang jelas terlihat melalui adat resam dan kepercayaan yang diamalkan dalam aspek kelahiran, perkahwinan, kematian, dan sebagainya.  Namun, Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong mengalami beberapa perkembangan dalam aspek sosial yang merangkumi perkembangan dari sudut keagamaan atau kepercayaan, pendidikan, infrastruktur, kebudayaan, dan adat resam yang mempengaruhi budaya-budaya dan gaya hidup masyarakat Kaum Dusun Liwan. 
    SEJARAH ASAL USUL PENDUDUK KAUM DUSUN LIWAN DI KAMPUNG MERAMPONG KENINGAU
    Pada pertengahan tahun 1954, serombongan lapan orang pemimpin masyarakat dari Daerah Tambunan telah datang ke daerah Keningau untuk meninjau kawasan tanah baru yang lebih baik untuk kegiatan pertanian. Rombongan itu telah diketuai oleh OT Girong bin Yalantau iaitu ketua kampung bagi Kampung Kumawanan Tambunan, dan OT Umporo bin Kaibai selaku ketua kampung Kampung Tohan. Turut bersama-sama mereka ialah Encik Bokondo bin Utau, Intang bin Bandial, Eting bin Andarau, dan Yadiloh bin Andiau.
    Sebelum datang ke kawasan tanah baru tersebut, mereka menumpang di rumah kenalan di Apin-apin keningau. Sebelum pergi meninjau keadaan tanah di kawasan baru itu, OT Girong bin Yalantau telah berjumpa dengan orang kaya kaya (OKK) Anthony @ Undan bin Andulag untuk mendapatkan kebenaran menerokai tanah dimana-mana yang difikirkan sesuai untuk kegiatan pertanian. OKK Anthony Undan telah menyuruh mereka menerokai tanah yang terletak di antara Kampung Sungoi dengan Kampung Liau Laut. Kebetulan pada masa tersebut kawasan tersebut belum lagi diduduki orang. Selepas itu, OT Girong dan OT Umporo serta anak-anak buahnya pergi membuat tinjauan bagi mengenal pasti kawasan baru itu sesuai untuk diusahakan sebagai sumber rezeki. Sebaik sahaja memastikan kawasan tersebut dalam keadaan yang agak baik untuk diusahakan, mereka pun terus memohon tanah itu dengan mengisi borang permohonan melalui Jabatan Tanah dan Ukur di Keningau. Tidak lama kemudian, mereka pun balik ke Tambunan.
    Setengah tahun kemudian iaitu pada bulan Mei 1955, sebaik sahaja selesai menuai padi di Kampung Kumawanan, OT Girong bin Yalantau dan OT Umporo bin Kaibai sekali lagi pergi ke Daerah Keningau dengan tujuan mahu memulakan kerja-kerja meneroka tanah-tanah baru tersebut. Antara yang turut serta dengan mereka ini ialah, termasuklah Yadiloh bin Andiau, Intang bin Bandial, Eting bin Andaron, Ansamal bin Yati, dan ramai lagi. OT Girong telah pergi ke Kampung baru itu bersama-sama dengan isterinya iaitu Leniwi dan anak tunggal mereka iaitu Yassin dengan meninggalkan Kampung Kumawanan Tambunan. Encik Bokondo bin Utou pula datang bersama-sama anak tirinya iaitu Yusup bin Lansuk. Sementara itu, penduduk yang lain-lainnya pula hanya datang ke kampung baru itu secara berseorangan.
    Semasa mereka menetap di sana pada awalnya, mereka tinggal dalam sebuah pondok atau sulap. Mereka bergotong-royong membina sebuah sulap dibawah sepohon pokok besar yang dipanggil pokok patau yang terletak di atas tapak tanah milik Encik Yadiloh bin Andiau. Mereka memilih tempat itu kerana terdapat serumpun buluh berdekataan yang merupakan sumber untuk membina atap dan lantai sulap tersebut. Mereka akan tinggal di sulap tersebut sementara membersihkan kawasan tanah milik masing-masing.
    Setelah siap membersihkan hutan belantara di kawasan tanah pilihan masing-masing, mereka mananam tanam-tanaman jenis ubi seperti ubi kayu, ubi manis, ubi keledek dan juga menanam padi huma. Beberapa bulan kemudian OT Girong dan OT Umporo telah berjalan menerokai hutan untuk mencari sayur berhampiran dengan tanah mereka. Apabila tiba di satu kawasan yang berpaya, mereka menjumpai sebatang sungai kecil yang berpunca dari mata air. Mata air itu menyebabkan tumbuh-tumbuhan jenis pokok paku-pakis di sepanjang anak sungai kecil itu kelihatan seolah-olah sentiasa terapung. Kedua-dua pemimpin tersebut kembali ke sulap dan menceritakan kepada rakan-rakan peneroka yang lain mengenai perkara tersebut. OT Bokondo Utou mencadangkan supaya tempat baru yang mereka tinggal itu dinamakan Mampung-ampung. Beberapa hari kemudian, semasa OT Girong dan OT Umporo berpeluang bertemu dengan OKK Anthony @ Undan di Apin-apin, mereka menceritakan hal yang berkaitan nama kampung bagi kawasan penempatan baru tersebut. OKK Anthony yang berperanan sebagai ketua masyarakat di Apin-apin pada ketika itu menyatakan bahawa kawasan penempatan baru itu sangat sesuai sekali diberi nama Merampong. Sejak dari peristiwa itu, para penduduk tanah baru tersebut menamakan kawasan penempatan baru mereka itu sebagai Kampung Merampong sehinggalah sekarang.
    Terdapat beberapa ciri-ciri yang menunjukkan bahawa penduduk di Kampung Merampong adalah berketurunan Kaum Dusun Liwan. Ciri-ciri ini dapat ditunjukkan dari aspek sosial yang diamalkan oleh penduduk Kampung Merampong yang masih mengamalkan beberapa budaya-budaya atau gaya hidup Kaum Dusun Liwan yang dibawa dari Kampung Kumawanan Tambunan. Antara ciri-ciri budaya yang diamalkan oleh penduduk Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong ialah, dari sudut perkahwinan, jika seseorang itu berkahwin dengan seseorang yang mempunyai pertalian darah atau bersaudara antara mereka, maka mereka akan dikenakan sogit atau denda. Dari segi bahasa pula, bahasa yang digunakan adalah sama seperti yang digunakan oleh keturunan Kaum Dusun Liwan. Cirri-ciri ini jelas membuktikan bahawa penduduk di Kampung Merampong adalah berketurunan Kaum Dusun Liwan.
    PERKEMBANGAN KAUM DUSUN LIWAN DI KAMPUNG MERAMPONG DARI ASPEK SOSIAL. (1960-2000)
    Keagamaan / Kepercayaan
    Pada ketika penghijrahan beberapa orang penduduk Kaum Dusun Liwan dari Kampung Kumawanan ke tanah baru yang dinamakan Kampung Merampong, penduduk di Kampung Merampong pada awalnya masih belum memegang atau menganuti mana-mana agama seperti agama Islam dan Kristian. Mereka masih lagi mengamalkan kepercayaan tradisional yang diamalkan oleh nenek moyang mereka yang berketurunan Kaum Dusun Liwan. Ramai pengkaji sebelum ini menggunakan istilah “pagan” ataupun “animisme” terhadap sistem kepercayaan tradisional komuniti Kaum Dusun ini. Sikap mereka dalam asas pegangan kepercayaan mereka lazimnya masih kukuh dengan kepercayaan bahawa terdapat tuhan atau dewa Kadazandusun yang bernama Kinoringan dan Suminundu. Mereka juga mengakalkan tradisi kepercayaan bahawa wujudnya alam-alam seperti dunia atas langit, dunia di bawah bumi dan kepercayaan terhadap semangat baik dan juga semangat jahat. Dalam mempraktikkan amalan kepercayaan tradisional ini, penduduk awal Kampung Merampong masih lagi bergantung kepada bomoh Kaum Dusun yang digelar sebagai Bobolian dalam menjalankan upacara-upacara tertentu. Komuniti Kaum Dusun yang masih mengamalkan kepercayaan tradisional ini biasanya mempunyai sikap rasa hormat yang tinggi terhadap golongan Bobolian ini.
    Penyebaran agama Islam dan Kristian yang bermula sejak zaman pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Bersatu (SBUB) sehinggalah zaman pra kemerdekaan Sabah telah memperlihatkan sebahagian daripada komuniti Kaum Dusun mula menganuti salah satu dari agama tersebut.
    Penyebaran agama Islam di Kampung Merampong pula bermula pada tahun 1960an. Penyebaran agama Islam ini telah dilakukan oleh seorang penduduk Kampung Keranaan Tambunan yang berpindah ke Kampung Merampong Keningau disebabkan telah berkahwin dengan salah seorang penduduk dari Kampung Merampong. Orang Islam yang bernama Haji Ibrahim bin Gambanau telah menyebarkan agama Islam kepada para penduduk Kampung Merampong yang masih mengamalkan kepercayaan tradisional Kadazan-Dusun. Beliau telah berjaya dalam menyebarkan agama Islam tersebut dan hampir kesemua penduduk Kampung Merampong yang mulanya mempercayai kepercayaan tradisional Kaum Dusun telah menganuti agama Islam menyebabkan kebanyakan budaya-budaya yang diamalkan oleh Kaum Dusun terdahulu ditinggalkan.
    Bagi agama Kristian di Kampung Merampong pula, tidak berlaku penyebaran agama Kristian. Kewujudan penduduk yang menganuti agama Kristian di Kampung Merampong adalah disebabkan berkahwin dengan penduduk asal Kampung Merampong dan berpindah rumah ke Kampung Merampong. Kedatangan penganut Agama Kristian di Kampung Merampong ini berlaku secara perseorangan atau individu.
    Adat Resam
    Perkahwinan
    Dalam budaya perkahwinan di Kampung Merampong yang diamalkan oleh penduduk Kaum Dusun Liwan pada awalnya, ibu bapa bertanggungjawab memilih bakal isteri anak lelakinya. Setelah peminangan diterima oleh pihak keluarga perempuan, majlis perkahwinan akan dilakukan pada masa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.  Kebiasaannya majlis tersebut dilakukan pada waktu malam di rumah pengantin perempuan. Sebelum pengantin dibenarkan masuk ke dalam rumah, pihak tuan rumah keluarga lelaki atau perempuan menyanyi atau “Selakohan Sinding dan dibalas oleh rombongan. Dalam kepercayaan tradisional Kadazan-Dusun adalah dilarang mengkahwini orang-orang yang mempunyai pertalian darah, seperti ahli keluarga dan saudara mara. Jika perkara tersebut berlaku, pihak yang bersalah akan dikenakan sogit.
    Setelah kedatangan ajaran agama Islam di Kampung Merampong pada tahun 1960an, cara perkahwinan Kaum Dusun Liwan di kampung tersebut sedikit sebanyak telah mengubah budaya perkahwinan yang diamalkan oleh penduduk Kaum Dusun Liwan di Kampung tersebut. Tata cara perkahwinan telah berubah mengikut kepada ajaran Islam iaitu Khitbah atau peminangan, aqad nikah dan seterusnya walimah. Dalam agama Islam adalah dilarang atau diharamkan mengahwini ibu, anak, adik-beradik, dan saudara mara.
    Kelahiran
    Dalam amalan budaya dari aspek kelahiran bagi Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong pula, pada awalnya masyarakat Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong mengamalkan kepercayaan tradisional Kadazan-Dusun yang menyebabkan mereka percaya pada kuasa Bobolian. Pada hari kelahiran seseorang bayi, Bobolian akan mengadakan upacara mendoakan agar bayi yang baru lahir itu agar diberi perlindungan berdasarkan kepercayaan tradisional Kadazan-Dusun.
    Setelah kedatangan agama Islam di Kampung Merampong yang dibawa oleh Haji Ibrahim, amalan yang diamalkan oleh penduduk awal di Kampung Merampong telah berubah. Cara tradisional Kadazan-Dusun tidak lagi digunakan ketika kelahiran bayi dan diganti dengan cara-cara yang berlandaskan ajaran Islam. Dalam ajaran Islam, terdapat beberapa amalan yang dilakukan selepas kelahiran bayi iaitu mencukur rambut bayi, memberikan nama anak, aqiqah, dan khatan atau sunat.
    Kematian
    Dari aspek kematian pula, masyarakat awal Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong mengamalkan upacara berdasarkan kepercayaan tradisional Kadazan-Dusun. Bila kematian berlaku, ahli keluarga si mati akan memukul gong yang bertujuan memberitahu ada kematian dalam ahli keluarga agar penduduk kampung akan datang menziarahi. Mereka juga melakukan menuhon. Pada malam hari perkuburan si mati, ahli keluarga akan mengadakan upacara memisah dengan menutup semua lampu dalam rumah dengan tujuan agar roh si mati akan balik ke rumah untuk membawa dan mengambil barang-barang milik si mati.
    Setelah kedatangan agama Islam di Kampung Merampong, amalan-amalan selepas kematian yang diamalkan oleh penduduk awal Kampung Merampong yang berdasarkan kepercayaan tradisional tidak lagi digunakan dan diganti oleh ajaran-ajaran yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Nabi. Dalam ajaran islam, si mati atau jenazah akan dimandikan terlebih dahulu sebelum disembahyangkan. Setelah selesai disembahyangkan, jenazah tersebut akan dikuburkan dan diikuti dengan doa-doa agar jenazah diberi perlindungan dalam alam akhirat dan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amalan ajaran Islam ini masih diamalkan oleh penduduk Kampung Merampong sehinggalah sekarang.
    Hari Keluarga
    Dalam masyarakat awal Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong, terdapat upacara perpaduan atau hari keluarga yang dipanggil meginakan. Semua ahli keluarga akan dijemput dan melaksanakan upacara menyembahyangkan arak yang diketuai oleh mereka yang mahir megendi dan dilakukan pada waktu malam. Hari keluarga ini dihadiri semua ahli keluarga dan masyarakat kampung selama tujuh hari.
    Selepas kedatangan agama Islam di Kampung Merampong, hari keluarga masih lagi diadakan dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara. Walaupun hari keluarga masih lagi diamalkan, namun upacara-upacara seperti menyembahyangkan arak yang diamalkan oleh masyarakat Kaum Dusun terdahulu tidak lagi diamalkan kerana amalan-amalan tersebut adalah bercanggah dengan ajaran-ajaran agama Islam mahupun agama Kristian.
    Kebudayaan
    Makanan
    Masyarakat awal Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong memiliki pelbagai makanan atau hidangan yang unik. Hidangan-hidangan ini biasanya banyak disediakan di musim perayaan seperti Pesta Kaamatan yang dirayakan setiap tahun. Ada segelintir penduduk Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong yang masih mengamalkan cara masakan atau hidangan secara tradisional ini secara harian. Masakan ini juga menjadi hidangan pada hari perkahwinan yang diadakan oleh suku Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong. Antara makanan tersebut ialah Bosou dan Sup Manuk Lihing.
    Selepas beberapa tahun berlalu, masyarakat Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong telah mengalami perkembangan dari segi cara memasak makanan tradisional itu contohnya, kayu api tidak lagi digunakan dan diganti dengan peralatan moden seperti gas dapur untuk memasak masakan tradisinal. Manakala bagi yang beragama Islam, ada beberapa masakan tradisional yang diharamkan contohnya Sup Manuk Lihing kerana dicampur dengan arak.
    Muzik
    Dalam budaya pemuzikan Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong, terdapat beberapa alat-alat muzik yang digunakan seperti Gong, Bungkau, Sompoton, Togunggak, Kulintangan, banyak  lagi. Kesemua alat-alat muzik ini sering digunakan dalam hampir kesemua upacara sosial Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong.
    Setelah memasuki era moden, beberapa lagi alat muzik telah tercipta hasil daripada inovasi masyarakat Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong. Antara alat-alat muzik yang tercipta ialah seperti Gitar dan Drum yang diperbuat daripada buluh atau bamboo. Alat-alat muzik ini digunakan dalam upacara perkahwinan dan juga majlis-majlis yang diadakan di Kampung Merampong
    Pendidikan
    Sekolah rendah
    Penduduk awal Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong pada awalnya tidak mempunyai kemudahan pembelajaran atau persekolahan. Jika seseorang yang berkemampuan mahu bersekolah, mereka akan bersekolah di sekolah-sekolah berdekatan seperti SK. Liau, ST. James di Apin-apin, dan juga SK. Apin-apin.
    Pada tahun 1965, sebuah sekolah telah dibina di Kampung Merampong disebabkan penduduk tempatan inginkan kemudahan bersekolah. Nama sekolah tersebut ialah Sekolah NVS (Native Voluntary School)  Merampong pada awalnya. Pada masa itu, cuma ada sebuah bangunan sekolah yg diperbuat daripada bamboo. Pada tahun 1970an, dua buah bangunan kayu telah dibina disebabkan oleh bilangan pelajar yang semakin ramai. Pada tahun 1972, nama sekolah tersebut telah diganti kepada Sekolah Kebangsaan Merampong dan berkekalan sehinggalah sekarang. Kini sekolah tersebut yang mempunyai tiga buah bangunan mampu menampung sehingga 400 orang pelajar sekolah
    Sekolah Agama Rakyat
    C:\Users\Samsung\Desktop\2014-03-16 09.11.38.jpg
    Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kampung Merampong
    Sebelum kedatangan ajaran agama Islam di Kampung Merampong, tidak wujud mana-mana sekolah
    agama. Setelah kedatangan ajaran Islam di Kampung Merampong pada tahun1965, ajaran Islam disebarkan dan diajar oleh mubaligh kepada penduduk yang ingin memeluk agama islam. Setelah beberapa tahun, Surau telah dibina bukan sahaja tempat untuk menunaikan solat, ia juga digunakan sebagai tempat untuk mengajar penduduk mengenai ajaran Islam.
    Pada tahun 1980, disebabkan semakin ramai penduduk yang ingin belajar tentang ajaran Islam, maka sebuah sekolah agama telah dibina bersebelahan dengan Masjid. Nama sekolah agama itu ialah Sekolah Agama Rakyat (SAR). Beberapa tahun selepas itu, sekolah tersebut telah diperbaharui dan dinaiktaraf agar para pelajar lebih selesa.
    Infrastruktur
    Balai Raya
    C:\Users\Samsung\Desktop\2014-03-16 09.15.28.jpg
    Balai Raya di Kampung Merampong Keningau
    Bagi kemudahan Balai Raya pula, masyarakat awal Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong tidak mempunyai Balai Raya. Mereka melakukan mesyuarat, pertemuan atau majlis di rumah-rumah penduduk yang dipilih kerana bilangan penduduk yang masih sedikit. Pada 1977, sebuah Balai Raya telah dibina dengan bantuan kerajaan bagi memudahkan mesyuarat atau perjumpaan dilakukan yang disebabkan oleh pertambahan bilangan penduduk.
    Masjid
    Masjid di Kampung Merampong Keningau
    Setelah kedatangan agama Islam di Kampung Merampong, semakin ramai penduduk yang menganuti ajaran agama Islam. Pada tahun 1970an, pertambahan penganut agama Islam di Kampung Merampong ini menyebabkan mereka membina Surau bagi melaksanakan suruhan-suruhan agama. Pada tahun 1990, pertambahan bilangan penganut agama Islam telah bertambah menyebabkan Surau tersebut telah dinaiktaraf menjadi Masjid. Masjid itu mampu menampung seramai 250 orang jemaah.
    Jalan Raya
    Terdapat beberapa perkembangan yang dialami oleh penduduk Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong dari aspek infrastruktur atau kemudahan. Pada awal 1970an, jalan raya bertar belum lagi wujud. Kereta hanya boleh bergerak di Kampung Merampong melalui jalan graval. Namun pada tahun 1982, kereta yang semakin banyak melalui di Kampung Merampong menyebabkan Majlis Daerah Kenigau memperuntukan jalan raya bertar di Kampung tersebut. Jalan raya tersebut telah ditar sejauh 1.5KM.
    Elektrik dan Telekomunikasi
    Sebelum awal tahun 1970an, tiada bekalan elektrik yang disediakan di Kampung Merampong disebabkan jumlah penduduk yang sedikit. Penduduk kampung Cuma menggunakan lampu pam, lampu berkuasa bateri kereta, dan penjana kuasa elektrik berenjin. Apabila bilangan penduduk semakin ramai, pada tahun 1983 kemudahan bekalan elektrik telah dibina di Kampung Merampong dan 98% penduduk rumah dapat menikmati kemudahan tersebut. Selepas beberapa tahun iaitu pada 1994, kemudahan telekomunikasi seperti telefon telah diperuntukan di Kampung Merampong.
    Rumah
    Masyarakat awal Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong iaitu pada tahun 1970an, mereka membina rumah yang bersumberkan alam sekeliling seperti bamboo dan papan yang dihasilkan sendiri. Pada tahun 1980, ada segelintir penduduk kampung yang mula membina rumah mengunakan batu-batuan atau bata. Perkembangan ini berlaku kerana rumah akan menjadi lebih selesa dan selamat.
    PENUTUP
    Pada keseluruhannya, kajian terhadap sejarah asal usul dan perkembangan penduduk Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong di Keningau memperlihatkan beberapa perkembangan dari aspek sosial. Berdasarkan perkembangan-perkembangan yang berlaku, menunjukkan bahawa Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong tidaklah jauh ketinggalan dimakan zaman. Kehidupan di Kampung Merampong semakin maju dan para penduduk Kaum Dusun Liwan dapat menikmati kemudahan-kemudahan awam yang disediakan. Dari aspek pendidikan, pada masa kini seramai 1005 penduduk Kampung Merampong yang berkelulusan sekurang-kurangnya SPM, 30% berkelulusan Universiti, dan satu orang yang berkelulusan PHD. Kenyataan ini jauh lebih baik daripada sebelum sekolah dibina di kawasan Kampung Merampong. Perkara ini membuktikan bahawa berlaku perkembangan penduduk Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong. Para penduduk Kaum Dusun Liwan di Kampung Merampong ini berharap agar kampung akan mengalami lebih banyak pembangunan di masa depan.

    2 Responses so far.

    1. Unknown says:

      Thank you share izam. hehe. Hampir mengena dengan tajuk kerja kursus sejarah sy :3 Cuma ini di kampung merampong. Thank you share!

    2. Unknown says:

      you welcome alean, harap membantu :)

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam