Ustaz Darbi Lubis - Pejuang Penyebaran Agama Islam Di Daerah Tambunan

    Author: Kamarul Arnizam Genre: »
    Rating

    PENGENALAN
    Ustaz Darbi Lubis ialah seorang tokoh yang amat berjasa kepada masyarakat di Tambunan, khususnya dalam aspek penyebaran agama[1] Islam. Beliau dihantar ke daerah Tambunan bagi mengajar penduduk Tambunan tentang agama Islam serta menjalankan dakwah Islamiyyah. [2] Hal ini kerana, sebelum kedatangannya ke daerah Tambunan, kedudukan agama Islam di Tambunan masih lemah dan jumlah penduduk yang beragama Islam masih sedikit bilangannya. Justeru, beliau bersama-sama dengan rakan pendakwah yang lain ketika itu iaitu ustaz Hadiq Ismail dan berkerjasama dengan MUIS [3] bahagian Tambunan telah berusaha gigih bagi menyebarkan ajaran Islam di daerah Tambunan.
    Pelbagai usaha telah dilakukan oleh ustaz Darbi dalam menyebarkan ajaran Islam di daerah Tambunan seperti menubuhkan sekolah agama iaitu dengan memberi pengajaran ilmu fardu ain[4] dan fardu kifayah[5] kepada masyarakat tempatan. Namun begitu, usaha yang dilakukannya turut diselangi dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Namun begitu, beliau tabah menghadapi segala rintangan yang melanda dan akhirnya beliau berjaya menyebarkan ajaran Islam di daerah Tambunan.
            Jasa beliau amatlah besar terhadap perkembangan Islam di daerah Tambunan. Pengorbanan yang dilakukannya turut membuahkah hasil seperti semakin ramai penduduk Tambunan yang memeluk agama Islam. Tambahan lagi, beliau turut berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya dan seterusnya menyambung usaha dakwah Islamiyyah beliau.
        
    LATAR BELAKANG

    Ahmad Darbi Lubis
        Ahmad Darbi Lubis Bin Rosli Bin Ahmad yang lebih dikenali sebagai Ustaz Darbi dalam kalangan penduduk daerah Tambunan merupakan antara tokoh yang banyak menyumbang kepada penyebaran dan penggembangan Islam di daerah Tambunan. Beliau lahir pada tanggal 2 Jamadil-Akhir 1365 H bersamaan 4 Mei 1946 di Kampung Sipotinjak Batang Natal Kabupaten Tapanuli Selatan, Sumatera Utara Indonesia. Beliau adalah seorang yang berbangsa Jawa iaitu merupakan anak hasil perkongsian hidup antara Rosli Bin Ahmad dan Rawiyah Hussein Nasution. Di zaman kanak-kanaknya, beliau merupakan seorang yang bercita-cita tinggi di mana mula berminat dengan dakwah Islamiyyah. Beliau berkahwin dengan Hajah Syarifah Nadrah Ali Yafie dan hasil daripada perkongsian hidup, mereka tidak mempunyai anak.[6]
           Beliau mendapat pendidikan awal pada tahun 1959 di Sekolah Rendah (Sekolah Rakyat) Kampung Sipotinjak. Selepas menamatkan pengajiannya pada peringkat sekolah rendah,  beliau meneruskan pendidikan sekolah menengahnya di Thanawi iaitu Sekolah Pondok Pesantrain, Purba Baru Mandailing, Medan pada tahun 1963 hingga 1964. Seterusnya pada tahun 1966, beliau menyambung pengajiannya ke Qismul ‘Ali iaitu Sekolah Pondok Pesantrain, Purba Baru Medan. Beliau meneruskan pengajian tingginya di Institusi Agama Islam (IAIN) Sumatera Utara, Indonesia dan pada tahun 1973 beliau mendapat gelaran sarjana muda di institusi ini.
        Melalui pengalaman tugasnya, pada tahun 1969 beliau pernah menjadi guru Tuisyen di Madrasah Zaini Osman di Medan, Indonesia. Seterusnya pada tahun 1974, beliau mula bertugas di Ibu Pejabat MUIS Bangunan Aleh Subong selama dua bulan dan pernah mengajar di SUIS Likas serta pernah mengajar di SK. Pekan Tambunan selama satu tahun. Pada tahun 1975, beliau mula mengajar di SUIS Pekan Tambunan sehingga tahun 2009 dan pada tahun 1993 beliau pernah menjadi Pemangku Penyelia Pedalaman Atas iaitu dari 1 Mei hingga 30 Jun 1993. Beliau juga pernah menjadi ketua amil [7] zakat Tambunan pada tahun 1995 dan 1996.[8]
           Beliau merupakan seorang yang bersikap tegas dalam menjalankan tugasnya sebagai guru dan tokoh pendakwah. Namun begitu, di sebalik ketegasannya terselit perasaan kasih sayangnya terhadap anak-anak muridnya. Oleh kerana beliau tidak mempunyai anak sendiri, beliau mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada anak-anak muridnya. Beliau ingin melihat anak-anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna di masa hadapan.
           Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang mementingkan kelicinan dalam pentadbiran. Beliau yang menjadi pernah Guru Besar Sekolah Ugama Islam Pekan Tambunan sejak tahun 1975 hingga 2009 telah membawa perubahan yang besar dalam sekolah tersebut. Tambahan lagi, beliau sering mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hala tuju dan membuat penambahbaikkan dalam pentadbirannya.[9]
    Scan0001_5-cropn.jpg
    Ustaz Darbi ketika menerima anugerah Guru Cemerlang Seluruh Sabah pada 1989
           Hasil daripada usaha yang tidak mudah berputus asa dalam mengembangkan ajaran Islam di daerah Tambunan, beliau telah menerima pelbagai anugerah. Antara anugerah yang diterimanya ialah dinobatkan sebagai Guru Cemerlang Negeri Sabah pada tahun 1988.[10] Pada 1992, beliau dianugerahkan hadiah pentadbiran sekolah terbaik. Seterusnya pada tahun 1995, beliau dianugerahkan Bintang Kebesaran (BSK) dari Yang Di Pertua Negeri Sabah dan menjadi Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 2000.[11]
        Beliau meninggal dunia pada jam 7.30 pagi, 12 Jun 2009 di Hospital Keningau akibat sakit jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umat Islam Pekan Tambunan yang terletak 500 meter dari masjid daerah Tambunan di mana Ustaz Muchlish memimpin talqin[12].[13]

    SEJARAH KEDATANGANNYA KE TAMBUNAN
           Pada tahun 1972, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka telah melawat ke Sabah. Ketika itu, beliau adalah Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). Ketua Menteri pada masa itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah meminta bantuan beliau untuk menghantar guru-guru agama untuk berkhidmat di Sabah. Dengan diberi syarat mereka bermazhab Syafie.[14] Buya Hamka kemudian meminta bantuan Al Jam’iyatul Washliyah [15] untuk menghantar tenaga pengajar ke Sabah. Ekoran itu pada tahun 1972, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), ketika itu diketuai oleh Datuk Haji Abu Bakar Titingan telah melaksanakan satu majlis temuduga pengambilan guru agama di Medan, Indonesia. Tiga orang penemuduga dari Sabah datang ke Medan iaitu Mufti Negeri Sabah, Datuk Haji Muhammad Haji Ahmad, Datuk Haji Parman Hasan Raji dan Datuk Haji Salleh Ibrahim.
           Seramai empat puluh orang hadir dalam temuduga tersebut. Namun begitu, hanya lapan belas orang sahaja yang lulus dalam temuduga tersebut. Ustaz Ahmad Darbi adalah antara lapan belas orang yang lulus dalam temuduga tersebut. Mereka mula berangkat ke Sabah pada 29 Mac 1974 iaitu selepas transit[16] di Kuala Lumpur. Kedatangan mereka ke Sabah disambut oleh kakitangan Yayasan Sabah dan seterusnya mereka ditempatkan di sekolah-sekolah agama di seluruh Sabah.[17]
           Ustaz Darbi mula menjejakkan kaki di Pekan Tambunan pada 1 Julai 1974 atas arahan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Pada masa itu masyarakat Islam di Tambunan benar-benar memerlukan seorang yang faham tentang selok belok agama sebagai panduan. Kedatangan beliau amat bertepatan, kerana pada masa itu gerakan pengislaman yang dijalankan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bahagian Tambunan dengan kerjasama pusat sedang giat dijalankan.[18]
    USAHA DAN CABARAN YANG DIHADAPI DALAM MENGEMBANGKAN ISLAM DI DAERAH TAMBUNAN
    Usaha
           Setelah Ustaz Darbi menjejakkan kaki ke bumi Tambunan, didapati ketika itu Tambunan merupakan tugu kuat bagi agama Kristian di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri, Joseph Pairin Kitingan.[19] Tambahan lagi, kedudukan agama Islam di daerah Tambunan ketika itu masih belum stabil iaitu jumlah keluarga yang beragama Islam masih sedikit bilangannya. Dikatakan bahawa tidak ada seorang pun orang tempatan Daerah Tambunan yang memeluk agama Islam sebelum tahun 1940an. Namun begitu, selepas Perang Dunia ke-2 berakhir, semakin ramai penduduk Tambunan yang memeluk Islam. Walau bagaimanapun, hanya mereka yang tinggal di sekitar Kampung Sintuong-Tuong, Kampung Libang, dan Kampung Kiporing sahaja yang berbuat demikian. Diantara mereka yang mempeloporinya ialah Encik Sahalim Bin Yudok, Encik Rajadi Yadikan, Encik Maidin Abdullah, Encik Jalimin Jurimin dan Encik Majin Yangkaris.[20]
           Faktor utama ustaz Darbi dihantar ke daerah Tambunan ialah bagi menjadi guru agama iaitu memberikan keterangan serta mengembangkan ajaran Islam kepada penduduk daerah Tambunan. Dalam pada itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh ustaz Darbi dalam mengembangkan Islam di daerah ini. Namun dalam menjalankan usaha dakwahnya, beliau terpaksa menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan. Walau bagaimanapun beliau tidak menjalankan usaha dakwah berseorangan tetapi turut dibantu oleh Ustaz Hadiq Ismail yang juga tokoh yang mengembangkan ajaran Islam di daerah Tambunan ketika itu. [21]
           Antara usaha terawal Ustaz Darbi dalam mengembangkan Islam di Tambunan ialah dengan memberikan penerangan yang sebenar tentang ajaran Islam kepada penduduk Tambunan.  Hal ini kerana, ketika itu masih ramai penduduk Tambunan yang kurang faham tentang ajaran Islam yang sebenar termasuklah masyarakat Islam asal Tambunan. Mereka masih kurang memahami selok belok ajaran Islam yang sebenar. Tambahan lagi, Kekurangan orang yang pakar dalam agama Islam ketika itu menyebabkan penduduk Tambunan khususnya masyarakat asal Islam menjadikan Ustaz Darbi sebagai rujukan dan tempat mendalami lagi ajaran Islam.
           Seterusnya, setelah memberikan penerangan tentang ajaran Islam yang sebenar kepada penduduk Tambunan, ustaz Darbi mula menjalankan dakwah Islamiyyah dari kampung ke kampung sekitar daerah Tambunan seperti Kampung Libang, Kampung Kumawanan, Kampung Babagon dan Kampung Kirorot. Beliau juga memberikan pengajaran tentang ilmu fardu kifayah dan fardu ain kepada penduduk Tambunan. Sebagai contoh, beliau sering  mengadakan pengajian al-Quran dari kampung ke kampung. Usaha dakwah yang dijalankan oleh ustaz Darbi ini amat berkesan di mana penduduk kampung menerima baik agama Islam dan juga tertarik dengan keindahan agama Islam itu sendiri. Oleh itu, mereka mula memeluk serta mendalami lagi agama Islam.
           Ustaz Darbi turut menjadi keperluan masyarakat Islam di daerah Tambunan. Beliau sering menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kematian seperti menguruskan dan menyembahyangkan jenazah. Tambahan lagi, beliau juga sering menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan urusan akad nikah. Hal ini berikutan kurangnya orang yang pakar dalam agama di daerah Tambunan ketika itu. [22]
           Seterusnya, ustaz Darbi beranggapan bahawa dengan menubuhkan pendidikan secara formal ia akan melancarkan lagi proses penyebaran Islam di Daerah Tambunan . Oleh yang demikian, beliau telah mengasaskan Sekolah Ugama Islam (SUI) Pekan Tambunan pada Januari 1975. Pada awal penubuhannya, hanya dua buah bangunan digunakan sebagai kelas dan menumpang bangunan surau USIA yang kini masih kekal dan dijadikan pejabat USIA [23] bahagian Daerah Tambunan. Tambahan lagi, pada peringkat awal persekolahan hanya terdapat enam orang murid sahaja yang bersekolah di sekolah ini dan diajar oleh Ustaz Darbi seorang. Namun begitu, berlaku peningkatan pelajar dari tahun ke tahun seperti pada tahun 1976, pelajarnya bertambah seramai 56 orang. Pertambahan pelajar menyebabkan MUIS membina sebuah lagi bangunan baru yang mempunyai enam bilik darjah dan dua bilik asrama dengan kos RM 115,000.00.
    Scan0001_8-crop.jpg
    Ustaz Darbi bersama-sama beberapa pelajar yang dihantar menyambung pengajian ke Kelantan pada tahun 1985
           Selain itu usaha terbesar ustaz Darbi dalam mengembangkan Islam di daerah Tambunan ialah beliau telah menghantar pelajar-pelajarnya menyambung pengajian ke Semenanjung Malaysia dan juga luar negara. Antara lokasi yang menjadi tumpuan penyambungan pengajian ialah negeri Kelantan, Selangor, Kedah dan Perak. Statistik yang dilakukan oleh pengurusan SUIS Pekan Tambunan turut mendapati bahawa negeri Kelantan menjadi negeri terbanyak di mana pelajar dihantar bagi menyambung pengajian mereka iaitu seramai 112 orang. Selain itu, ustaz Darbi turut berjaya menghantar pelajarnya menuntut di luar negara seperti di Mesir, Marocco, Madinah, Indonesia dan Jordan. Kejayaan menghantar pelajar untuk menuntut di luar Sabah adalah bagi meluaskan lagi ilmu mereka dan seterusnya mampu membawa perubahan yang besar di negeri Sabah khususnya di Daerah Tambunan.[24]
    Cabaran
           Antara cabaran yang dihadapi oleh ustaz Darbi dalam mengembangkan Islam di daerah Tambunan ialah masalah geografi[25] dan kekurangan infrastruktur[26]. Masalah geografi iaitu keadaan daerah Tambunan yang berbukit bukau serta keadaan infrastruktur yang masih kurang seperti kekurangan jalan raya sedikit sebanyak merencatkan usaha dakwah beliau. Namun begitu, dengan usaha yang tidak mudah berputus asa, beliau dapat menghadapi masalah tersebut dan menjadikan ia sebagai cabaran dalam usaha dakwah. Sebagai contoh, kekurangan pengangkutan ketika itu menyebabkan beliau terpaksa berjalan kaki dari Pekan Tambunan menuju ke kampung-kampung sekitar Tambunan seperti Kampung Babagon, Kampung Libang dan Kampung Kirokot untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah. Di samping itu, beliau bersama rakan-rakan pendakwah yang lain ketika itu juga terpaksa menempuhi jalan raya yang berlumpur serta berbukit bukau dalam meneruskan usaha dakwah.
        Selain itu, cabaran yang dihadapi oleh ustaz Darbi ketika itu ialah masalah komunikasi. Hal ini kerana, masyarakat Tambunan ketika itu yang sebahagian besar berbangsa dusun kurang memahami bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan terdapat beberapa perkara yang disampaikan oleh ustaz Darbi kurang difahami oleh penduduk Tambunan. Namun begitu, lama kelamaan masyarakat Tambunan mula memahami apa yang disampaikan oleh ustaz Darbi. [27]

    SUMBANGAN USTAZ DARBI DARI ASPEK AGAMA DAN PENDIDIKAN DI DAERAH TAMBUNAN
    Aspek Agama
    Scan0001_9-crop2.jpg
                                Ustaz Darbi berjaya mengislamkan ramai sudara baru sekitar Daerah Tambunan
        Sumbangan terbesar ustaz Darbi di daerah Tambunan dari sudut agama ialah jumlah penganut agama Islam meningkat dari tahun ke tahun. Peningkatan penduduk Tambunan yang memeluk agama Islam adalah hasil daripada usaha dakwah yang berterusan dan tidak mudah berputus asa daripada beliau. Di samping itu, usaha pengislaman yang giat dilakukan oleh USIA Tambunan turut meningkatkan jumlah penganut agama Islam di daerah Tambunan. [28]
           Penubuhan SUI Pekan Tambunan pada Januari 1975 turut membawa impak yang positif terhadap perkembangan Islam di daerah Tambunan. Penubuhan sekolah ini telah menjadi penyumbang utama kepada kejayaan proses perkembangan Islam di Daerah Tambunan. Hal ini seterusnya menjadikan SUI Pekan Tambunan sebagai pusat pengislaman saudara baru di daerah Tambunan ketika itu.
           Seterusnya, masyarakat Islam di Tambunan sudah mula meninggalkan perkara yang dilarang dalam agama seperti meminum arak dan mengamalkan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti kepercayaan terhadap roh nenek moyang mereka. Mereka sudah memahami hukum-hakam dalam agama Islam dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, kedatangan ustaz Darbi ke Tambunan telah mengubah cara hidup masyarakat tempatan iaitu mereka mula meninggalkan perkara yang dilarang dalam agama dan mula melaksanakan apa yang dituntut dalam agama.[29]
    Aspek Pendidikan      
    Antara sumbangan terbesar Ustaz Darbi dalam aspek pendidikan ialah beliau telah menubuhkan sekolah iaitu bagi keperluan anak-anak muda bagi mempelajari serta mendalami lagi agama Islam. Penubuhan SUI Pekan Tambunan pada Januari 1975 telah membawa impak yang positif terhadap perkembangan Islam di daerah Tambunan.[30] Penubuhan sekolah menjadikan ia sebgai pusat rujukan masyarakat Islam setempat mengenai masalah agama. Hal ini dibuktikan apabila masyarakat Islam setempat sering merujuk guru-guru di sekolah ini mengenai unsur ibadah, hukum-hakam, pengurusan jenazah, nikah kahwin, berkhatan, dan kenduri kendara.[31]
        Di samping itu, beliau juga berperanan dalam menubuhkan Sekolah Menengah Ugama Islamiah Tambunan (SUMIT) pada tahun 1998. Penubuhan sekolah ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk menyambung pelajaran agama di peringkat menengah. Tambahan pula, penubuhan sekolah ini adalah berikutan hasil kecemerlangan SUIS Pekan Tambunan menjadi sekolah terbaik pada tahun 1992. [32]
           Oleh yang demikian, penubuhan sekolah ini telah mengumpulkan guru-guru agama yang mengajar ilmu fardu ain dan juga fardu kifayah. Dalam pada itu, guru-guru di sekolah ini sering diundang untuk menyampaikan kuliah, ceramah, pengajian al-Quran dan fardhu ain khususnya dalam kalangan umat Islam sekitar Pekan Tambunan. Hal ini seterusnya melancarkan lagi usaha dakwah Islamiyyah di Daerah Tambunan ketika itu.
           Seterusnya, ustaz Darbi turut melahirkan tokoh-tokoh terpelajar yang seterusnya menyambung usaha dakwah Islamiyyah. Penghantaran pelajar ke semenanjung dan luar negara telah membuahkan hasil iaitu melahirkan golongan yang mampu membawa perubahan yang besar terhadap kehidupan masyarakat setempat. Sebagai contoh, lahirnya pelajar yang telah menjadi Penolong Kanan Pengetua, Sekolah Menengah Agama  Inanam, Kota Kinabalu iaitu Ustaz Haji Naim Majin. Beliau merupakan salah seorang pelajar yang dihantar oleh ustaz Darbi ke luar negara bagi melanjutkan pelajarannya ke Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah, Mesir. [33]
           Kecemerlangan SUI Pekan Tambunan dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang telah menyebabkan sekolah ini menerima banyak anugerah dan pengiktirafan. Sebagai contoh, pada dianugerahkan sebagai Sekolah Terbaik Seluruh Sabah pada tahun 1992.[34]    

    PENUTUP                    
              Usaha yang dijalankan oleh Ustaz Darbi telah membawa perubahan yang besar terhadap kehidupan masyarakat Tambunan. Dalam konteks ini, kehidupan masyarakat Tambunan yang sebelum ini kurang teratur tanpa agama telah berubah setelah menerima dan memeluk agama Islam. Mereka mula meninggalkan amalan jahiliah seperti meminum arak dan sebagainya. Tambahan pula, kedatangan Ustaz Darbi ke Daerah Tambunan telah berjaya mengembangkan syiar Islam. Di samping itu, Ustaz Darbi turut berjaya melahirkan tokoh-tokoh terpelajar dan seterusnya dapat meneruskan dakwah Islamiyyah di Sabah khususnya di Daerah Tambunan. Beliau yang mempunyai ciri-ciri keperibadian yang mulia telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan berpelajaran. Beliau yang mempunyai daya kepimpinan yang mantap dalam  mengurus sesuatu organisasi juga haruslah dicontohi oleh generasi masa kini  agar dapat mengurus organisasi dengan lancar dan baik. Oleh yang demikian kedatangan Ustaz Darbi ke Daerah Tambunan telah membawa kesan positif dimana agama Islam dapat berkembang di daerah ini.
                                                                                                   


    NOTA HUJUNG
    [1] Rahmat Kamaruddin, “Pengertian Agama’’ http://penaraka.blogspot.com/2012/04/pengertian-agama.html (diakses pada 2 Mac 2014)
    [2] Dakwah islamiyyah ialah seruan dan panggilan kepada manusia agar mempercayai serta mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar.
    [3] Majlis Ugama Islam Sabah iaitu satu pertubuhan yang memelihara dan mengembangkan agama Islam di seluruh Sabah. Pertubuhan ini mempunyai cawangan di setiap daerah seluruh Sabah.
    [4] Ilmu fardu ain ialah ilmu yang wajib bagi tiap-tiap orang Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa.
    [5] Ilmu fardu kifayah ialah fardu bersama iaitu yang wajib bagi orang banyak sebagai contoh mengebumikan jenazah.
    [6] ustazah zubaidah, Guru Besar SUI Pekan Tambunan (2009-2014)
    [7] Amil ialah orang yang diberi kepercayaan oleh permerintah atau pemimpin sesuatu wilayah untuk mengutip zakat.
    [8]  Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, 76.
    [9] Opcit, ustazah zubaidah, Guru Besar SUI Pekan Tambunan (2009-2014)
    [10] Sautul Islam, Ustaz Ahmad Darbi Lunis Tokoh Guru Cemerlang 1988, 9 JUN 1989.
    [11] Opcit, Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, 77.
    [12] Talqin ialah menuntun orang untuk mengikuti kata-kata yang diucapkan. Hukum talqin adalah sunnah bagi umat Islam iaitu mentalqin orang yang akan meninggal dunia.
    [13] Abunuha.wordpress.com, Ustaz Haji Ahmad Darb Lubis Kembali ke Rahmatullah. http://abunuha.wordpress.com/2009/07/14/ustaz-hj-ahmad-darbi-lubis-kembali-ke-rahmatullah/ (diakses pada 3 Mac 2014)
    [14] Mazhab syafie adalah satu daripada empat mazhab terbesar dalam Islam. Mazhab ini dicetuskan oleh Muhammad bin Idris al-Syafie. Mazhab ini kebanyakkan diikuti oleh para penduduk Muslim di Selatan Mesir, Barat Arab Saudi, Syria, Indonesia dan Malaysia.
    [15] Al Jam’iyatul Washliyah merupakan organisasi Islam yang lahir pada 30 November 1930 dan bertepatan 9 Rajab 1349 H di kota Medan, Sumatera Utara. Ia lebih dikenali sebagai Al Washliyah. Organisasi ini lahir ketika zaman penjajahan Belanda dan ramai tokohnya ikut berperang melawan Belanda. Tujuan utama
    organisasi Al Washliyah didirikan adalah untuk mempersatukan umat.
    [16] Transit ialah tempat singgah atau persinggahan.
    [17] Abdnaddan.blogspot.com. Dr.muchlish Terus Berbakti Kepada Umat. http://abdnaddin.blogspot.com/2013/07/ustaz-ali-muchlish-terus-berbakti.html (diakses pada 4 Mac 2014)
    [18] Opcit, Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, halaman 24.
    [19] Ustaz hadiq, rakan seperjuangan Ustaz Darbi Dalam Mengembangkan Islam di Daerah Tambunan (1974-2014)
    [20] Opcit, Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, 23.
    [21] Opcit, ustazah zubaidah, Guru Besar SUI Pekan Tambunan (2009-2014)
    [22] Opcit, Ustaz hadiq, rakan seperjuangan Ustaz Darbi Dalam Mengembangkan Islam di Daerah Tambunan (1974-2014)
    [23] USIA adalah pertubuhan Islam Suluruh Sabah. Pertubuhan ini mempunyai cawangan di setiap daerah seluruh Sabah termasuklah di daerah Tambunan.
    [24] Opcit, Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, 36.
    [25] Geografi ialah sains tentang fitur-fitur semula jadi permukaan bumi. Termasuk topologi, iklim, tanah, tumbuh-tumbuhan dan gerak balas manusia terhadapnya, ilmu alam
    [26] Infrastruktur ialah kemudahan dan perkhidmatan asas seperti kemudahan pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan bekalan kuasa elektrik.
    [27] Opcit, Ustaz hadiq, rakan seperjuangan Ustaz Darbi Dalam Mengembangkan Islam di Daerah Tambunan (1974-2014)
    [28] Ibid
    [29] Ibid
    [30] Opcit, Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, 29.
    [31] Opcit, Ustaz hadiq, rakan seperjuangan Ustaz Darbi Dalam Mengembangkan Islam di Daerah Tambunan (1974-2014)
    [32] Opcit, Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, 29.
    [33] Ibid
    [34] Opcit, Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, 79.
    BIBLIOGRAFI
    Sumber Primer
    Gambar Ahmad Darbi Lubis, tokoh pendakwah di Tambunan, diambil daripada SUI Pekan Tambunan.
    Hadiq bin Ismail, ditemuramah oleh Camarul Arnizam. Mendapatkan maklumat tentang sejarah latar belakang, sejarah kedatangan dan sumbangan Ustaz Darbi dalam mengembangkan Islam di daerah Tambunan (February 2, 2014).
    Zubaidah Abdul Rahim, ditemuramah oleh Camarul Arnizam. Mendapatkan maklumat tentang usaha dan cabaran Ustaz Darbi dalam mengembangkan Islam di daerah Tambunan (February 2, 2014).
    Sumber Sekunder
    Abunuha.wordpress.com, “Ustaz Haji Ahmad Darb Lubis Kembali ke Rahmatullah”. http://abunuha.wordpress.com/2009/07/14/ustaz-hj-ahmad-darbi-lubis-kembali-ke-rahmatullah/
    Abdnaddan.blogspot.com. “Dr.muchlish Terus Berbakti Kepada Umat”. http://abdnaddin.blogspot.com/2013/07/ustaz-ali-muchlish-terus-berbakti.html
    Kamus Dewan.  Edisi Ketiga  , Kuala Lumpur,  Dewan Bahasa dan Pustaka. 2002
    Rahmat Kamaruddin. “Pengertian Agama’’. http://penaraka.blogspot.com/2012/04/pengertian-agama.html
    Sekolah Ugama Islam (Pekan Tambunan), Majalah Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun. (2000)
    Sharia Consulting Centre. “Definisi dan Hukum Talqin www.syariahonline.com/v2/aqidah/2485-definisi-dan-hukum-talqin.html (diakses pada 17 Mac 2014)
    Semanis Madu. “Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah http://budakserban.blogspot.com/2013/03/fardhu-ain-dan-fardhu-kifayah.html (diakses pada 16 Mac 2014)
    Sautul Islam, Ustaz Ahmad Darbi Lubis Tokoh Guru Cemerlang, Terbitan 1988, (Jun 9, 1989).
    Wikipedia.org. “Maksud Amil http://id.m.wikipedia.org/wiki/Amil
    Lampiran
    Scan0001.jpg
    Scan0001_7.jpg
    Scan0001_4.jpg
    Scan0001_3.jpg
    Scan0001_6.jpg

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
copyright by Kamarul Arnizam