Joseph Pairin Kitingan - Sumbangannya Terhadap Pembangunan Daerah Tambunan Dari Tahun 1980 Hingga 2006

    Author: Unknown Genre: »
    Rating

    PENGENALAN
    Joseph Pairin Kitingan
    Joseph Pairin Kitingan dilahirkan pada 17 Ogos 1940 di Papar, Sabah. Beliau mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Adelaide, Australia. Joseph Pairin Kitingan merupakan wakil rakyat Tambunan yang kedua selepas Anthony Gibun. Dia juga pernah menjadi Ketua Menteri Sabah yang ke-7.
    Joseph Pairin Kitingan telah memberi banyak sumbangan terhadap pembangunan di daerah Tambunan. Dia telah sedaya upaya memberi sumbangan tenaga, buah fikiran dan sumber yang seterusnya telah memberi sumbangan kepada kesejahteraan rakyat khasnya di Sabah dan Tambunan. Sumbangannya ini boleh dilihat dalam pelbagai aspek seperti sosial, politik dan ekonomi.
    Sebelum menjelaskan cabaran dan sumbangannya, akan disentuh terlebih dahulu latar belakang Joseph Pairin Kitingan, sebagai latar belakang kepada cabaran dan sumbangannya di daerah Tambunan. Supaya esei ini terarah kepada permasalahan pokok, maka perbincangan tentang cabaran  hanya ditumpukan kepada cabaran yang dihadapi Joseph Pairin sendiri dalam membawa perubahanTambunan. Bagi menjelaskan cabaran tersebut kajian ini akan meneliti pelbagai sumber primer dan sekunder bagi memperolehi maklumat yang berkaitan. Selain itu, esei ini juga akan menjelaskan sumbangan Joseph Pairin Kitingan terhadap pembangunan di daerah Tambunan melalui penelitian kepada pelbagai sumber primer dan sekunder.
    Kajian ini secara tidak langsung akan mengkaji mengenai sejarah latar belakang Joseph Pairin Kitingan. Selain itu, kajian mengenai cabaran yang dihadapi Joseph Pairin Kitingan dalam membawa perubahan Tambunan turut difokuskan. Di samping itu, sumbangannya terhadap pembangunan di daerah Tambunan turut akan dikaji dengan merujuk kepada pelbagai sumber primer dan sekunder.


    SEJARAH LATAR BELAKANG
    Latar Belakang
    Joseph Pairin Kitingan berasal dari daerah Tambunan. Nama bapanya ialah Kitingan Sabanau dan ibunya ialah Laimah Imbayan. Dia merupakan anak yang pertama daripada 14 orang adik-beradik. Joseph Pairin Kitingan telahmendirikan rumahtangga dengan Genevivie Lee yang berketurunan Cina dan  seorang bekas guru. Mereka telah dikurniakan dengan dua orang anak lelaki,  iaitu Alexander dan Daniel yang mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang berkelayakan peguam.
    Joseph Pairin Kitingan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle iaitu sebuah sekolah lelaki di Kota Kinabalu.Selepas itu, Joseph Pairin Kitingan telah ditawarkan biasiswa Rancangan Colombo dan telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide, Australia dalam bidang perundangan. Joseph Pairin Kitingan juga merupakan seorang peguam yang menuntut di Australia.Dia juga merupakan anak Kadazandusun yang  pertama menjadi peguam.
    Setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang di Universiti Adelaide, Australia,Joseph Pairin Kitingan telah bekerja sebagai Peguam Negeri di Jabatan Perundangan Negeri Sabah. Beliau kemudian menerima tugas sebagai Penolong Pendakwaraya (DPP). Sebelum terlibat secara aktif dalam politik, dia pernah berkhidmat sebagai peguam di sebuah firma guaman di Sabah.
    Latar Belakang dalam Politik
    Joseph Pairin Kitingan telah menyertai politik secara aktif pada tahun 1975. Dia telah mula berkecimpung dalam arena politik semasa Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) ditubuhkan pada tahun 1975.Dia telah dipilih sebagai Ahli Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tambunan di atas tiket kejayaan Parti BERJAYA.Dia telah berkhidmat sebagai Ahli Undangan Negeri (ADUN) Tambunan sejak tahun 1976 dan Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Keningau sejak tahun 1986.
    Parti BERJAYA telah ditubuhkan pada 15 Julai 1975. Parti ini telah memenangi pilihan raya pada tahun 1976 dan mengambil pucuk pimpinan kerajaan Sabah. Beberapa pemimpin Kadazan dan Dusun turut dilantik menganggotai kabinet dan memegang jawatan penting dalam Parti BERJAYA seperti Peter Mojuntin, Clarence Mansul, Darius Binion dan Fred Sindol daripada suku kaum Kadazan dan James Ongkili dan Joseph Pairin Kitingan daripada suku kaum Dusun. Joseph Pairin Kitingan telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha dalam Parti BERJAYA.
    Pada 17 Ogos 1984, Joseph Pairin Kitingan telah keluar dari Parti BERJAYA apabila merasakan tidak lagi sehaluan dengan Presiden BERJAYA iaitu Datuk Harris Salleh. Pada November 1984, Joseph Pairin Kitingan dipecat sebagai wakil rakyat secara paksa, maka berlakulah kekosongan Dewan Undangan Negeri yang telah menyebabkan Pilihan raya Kecil DUN Tambunan diadakan pada Disember 1984. Joseph Pairin Kitingan telah bertanding sebagai Calon Bebas dan telah memenanginya dengan majoriti yang sangat besar hasil sokongan masyarakat Tambunan.
    Pada tahun 1985, Joseph Pairin Kitingan telah dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah. Dia menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga 17 Mac 1994. Jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah terhenti secara tiba-tiba  pada 17 Mac 1994 apabila 26 daripada ADUN-ADUN PBS telah melompat menyertai Barisan Nasional yang telah menyebabkan PBS kehilangan kuasa majoriti di Dewan Undangan Negeri.
    Pada 13 Disember 1987, Joseph Pairin Kitingan telah dilantik sebagai ‘Huguan Siou’ kepada bangsa Kadazandusun di Sabah. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), iaitu persatuan utama masyarakat Kadazandusun.
    Ahli Kadazandusun Cultural Association (KCA) telah menganjurkan Pesta Menuai secara persendirian di Tambunan  tanpa bantuan alih kerajaan. Perayaan itu telah mendapat sambutan dan kejayaan besar di luar dugaan kerana dihadiri ribuan rakyat dari seluruh pelosok Sabah iaitu orang-orang Kadazan, Dusun dan Murut yang berketurunanNunuk Ragang. Kejayaan ini telah menjadikan Joseph Pairin Kitingan sebagai wira baharu dalam memperjuangkan identiti masyarakat Kadazandusun sehingga diberi gelaran Huguan Siou’.Huguan Siou’bermakna “pemimpin yang terbilang atau pemimpin Agung.
    Istilah ‘Huguan Siou’ berasal daripada bahasa Kadazandusun yang bermakna pemimpin agung atau lebih tepat dalam bahasa Inggerisnya, ‘Paramount Leader’. Gelaran Huguan Siou biasanya dianugerahkan kepada pejuang-pejuang kaum Kadazandusun atau dalam konteks hari ini pemimpin politik dari suku kaum itu. Pemimpin Kadazandusun yang telah dianugerahkan gelaran ini di Sabah  ialah Donald Stephens (Tun Mohd Fuad Stephens) dan Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan. Gelaran ‘Huguan Siou’  adalah gelaran yang istimewa kerana ia melambangkan perjuangan tokoh itu membela kaum Kadazandusun.
    Pada bulan Mac 2004, Joseph Pairin Kitingan telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Luar bandar Negeri Sabah.
    CABARAN YANG DIHADAPI JOSEPH PAIRIN KITINGAN DALAM MEMBAWA PERUBAHAN DI DAERAH TAMBUNAN
    Liku-liku perjalanan kepimpinan Joseph Pairin Kitingan dalam membawa perubahan  Tambunan
    Bermula dengan teguran Joseph Pairin Kitingan berkenaan dengan cara pengislaman di daerah Tambunan dan karenah mereka yang terlibat dalam pengislaman ini pada tahun1983, menyebabkan dia telah mula menghadapi cabaran yang besar dalam karier politiknya. Dia telah dituduh sebagai anti Islam apabila perkara tersebut dibawa perhatian Datuk Harris Salleh iaitu Ketua Menteri Sabah pada ketika itu kepada kegiatan pengislaman yang tidak betul di Tambunan.Joseph Pairin juga telah meminta kerajaan untuk turut serta menghentikan cara pengislaman seperti itu untuk mengelakkan berlakunya huru-hara dalam kalangan penduduk Tambunan dengan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mahathir Mohammad berkaitan dengan perkara tersebut. Teguran ini telah menyebabkan pemecatannya sebagai ahli BERJAYA selepas Joseph Pairin Kitingan dan semua perwakilan dari Tambunan diusir keluar dari Dewan persidangan Parti BERJAYA pada Oktober 1983.
    Joseph Pairin Kitingan juga telah dipecat dari Kabinet sebagai Menteri Pelancongan Dan Alam Sekitar Sabah. Kemenangan Joseph Pairin Kitingan dalam pilihan raya kecil DUN Tambunan sebagai Calon Bebas disusuli pula dengan pelucutan  tarafkedaerahan Tambunan sebagai daerah penuh dan diletakkan di  bawah pentadbiran daerah Keningau sebagai daerah kecil pada 1 Januari 1985.Pelucutan taraf kedaerahan ini menyebabkan semua urusan masyarakat Tambunan terpaksa dilakukan di Keningau hanya untuk membayar cukai tanah dan semua urusan pentadbiran. Bantuan-bantuan kerajaan kepada masyarakat Tambunan juga telah ditarik balik.
    SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN DARI ASPEK SOSIAL
    Pejabat Daerah Tambunan
    Di bawah pimpinan Joseph Pairin Kitingan sebagai wakil rakyat Tambunanpejabat baru telah dibina disebabkan pejabat memerlukan ruang yang lebih selesa. Pada mulanya, Pejabat Daerah Tambunan hanyalah sebuah pejabat kecil yang hanya dapat memuatkan beberapa orang pekerja sahaja. Namun dengan pengaruh Joseph Pairin Kitingan, pejabat daerah yang bermula dengan pejabat papannya kini dapat dilihat sebuah pejabat urus setia Pejabat Daerah yang lebih baik dan besar yang menempatkan kakitangan-kakitangan yang berwibawa mengendali pembangunan daerah Tambunan yang semakin mencabar.
    Majlis Daerah Tambunan
    Majlis Daerah Tambunan pada mulanya hanya beroperasi di sebuah bilik di Dewan Masyarakat. Namun hasil keupayaan kepimpinan Daerah Tambunan di bawah kepimpinan Joseph Pairin Kitingan, bangunan Majlis Daerah yang lebih besar telah dibina dan dapat memuatkan banyak bilik pejabat dan agensi seperti yang dapat dilihat pada masa kini. Bangunan ini bukan sahaja memuatkan Urusetia Majlis Daerah Tambunan, ia juga memuatkan pejabat-pejabat kerajaan dan badan berkanun di Tambunan seperti Jabatan Kebajikan, Jabatan Pendaftaran, Perpustakaan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Air, Jabatan Pembangunan Agama Islam dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
    Pendidikan
    Pada mulanya daerah Tambunan hanya mempunyai dua buah sekolah menengah iaitu sekolah ST. Martin dan SMK Tambunan. Semasa kepimpinan Joseph Pairin Kitingan telah wujud beberapa sekolah menengah yang baru seperti SMK Nambayan dan sekolah menengah Desa Wawasan.
    Bangunan-bangunan sekolah yang ada di daerah Tambunan juga telah dinaik taraf semula dengan memberi peruntukan untuk penambahbaikan semula sekolah-sekolah di daerah Tambunan. Antara sekolah-sekolah yang telah dinaik taraf ialah bangunan Sk.St Theresa, sekolah Ugama Islam(SUI) Tambunan, Sk Pekan, Sk Yuk Min, bangunan SMK Tambunan dan SMK Nambayan. Peningkatan prasarana ini secara tidak langsung meningkatkan  kualiti pendidikan rakyat Tambunan pada masa tersebut.
    Sepanjang Joseph Pairin Kitingan menjadi Ketua Menteri, masyarakat daerah Tambunan tidak diabaikan. Buktinya ialah ramai masyarakat Tambunan telah berpeluang melanjutkan pelajaran mereka di luar negeri sehingga pada tahap yang lebih tinggi. Selain itu juga, lepasan SPM juga turut mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Sememangnya, Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sosial rakyatnya khususnya dalam bidang pendidikan.
    Dia juga telah mengumumkan sumbangan peribadinya berupa dua buah computer kegunaan pengajaran dan pembelajaran para pelajar sekolah di sekolah Menengah St. Martin Tambunan. Dia berkata dalam Majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG Sm. St. Martin Tambunan, berharap para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut untuk menimba ilmu.
    Kebajikan
    Selain pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan melalui usaha Joseph Pairin Kitingan, dia juga terlibat dengan sumbangan-sumbangan kebajikan membantu masyarakat dan badan-badan kebajikan di Tambunan. Joseph Pairinmemberi sumbangan peribadinya kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan seperti Asrama Kanak-Kanak Bondulu di Toboh.
    Kesihatan
    Selain itu, kesihatan masyarakat Tambunan amat penting bagi kesejahteraan masyarakat Tambunan, maka bangunan kemudahan kesihatan telah dinaik taraf semula bagi memenuhi keperluan kemudahan kesihatan kepada masyarakat Tambunan. Pada tahun 1977, hospital Tambunan telah dinaik taraf semula ketika berada di bawah pengaruh Joseph Pairin Kitingan sebagai wakil rakyat.
    Klinik Ibu dan Anak juga telah dinaik taraf seperti Klinik desa Patau dan sebuah lagi Klinik telah dibina di Kampung Lotong.  Pembangunan  ini secara tidak langsung telah memberi kemudahan yang sangat besar kepada masyarakat Tambunan dalam aspek kesihatan. Semua ini merupakan antara sumbangan Joseph Pairin Kitingan sebagai wakil rakyat.
    Semenjak merdeka 27 tahun yang lalu, banyak kemudahan infrastruktur dan kemudahan perubatan telah diberikan kepada rakyat Sabah. Usaha kerajaan ini telah memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat khasnya penduduk luar Bandar.
    Keagamaan
    Joseph Pairin Kitingan juga banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan keagamaan di daerah Tambunan. Penduduk Tambunan yang terdiri dari kira-kira 90% suku kaum Kadazandusun menganut agama Kristian dan agama Islam. Pairin Kitingan telah memberikan peruntukan kepada gereja-gereja Katolik untuk membina sebuah gereja baru yang lebih besar yang dapat memuatkan penduduk Tambunan yang majoritinya menganuti agama Kristian  Katolik. Antara gereja-gereja yang dinaik taraf ialah gereja St. Theresa, gereja Salib Tobitua Toboh dan gereja St. Francis Cabrini Nambayan.
    Kerajaan memberi bantuan dengan sejumlah peruntukan kewangan untuk membina rumah ibadat sama ada penganut agama Kristian mahupun Islam. Dengan pembangunan yang pesat sudah pastilah penganut agama Kristian menerima keselesaan berhubungan dengan bantuan kerajaan yang mementingkan pembangunan-pembangunan agama.
    Selain itu, Pairin Kitingan turut sedar bahawa daerah Tambunan juga mempunyai penduduk yang beragama Islam. Oleh itu, Pairin Kitingan juga telah menyediakan sejumlah  peruntukan bagi pembinaan Masjid besar Tambunan,  rumah anak yatim dan surau-surau di kampung bagi kemudahan masyarakat yang beragama Islam. Semua ini merupakan hasil usaha Joseph Pairin melalui kerajaan.
    Dalam memperkembangkan agama Islam kerajaan Negeri melalui Majlis Ugama Islam Sabah membina masjid dan surau di merata kampung dan daerah di negeri Sabah untuk kemudahan orang Islam menunaikan ibadat sembahyang dan kemudahan perhimpunan Islam.
    Infrastruktur
    Jalan perhubungan daerah Tambunan turut menjadi satu keperluan masyarakat Tambunan. Ketika Joseph Pairin Kitingan menjadi wakil rakyat dan Ketua Menteri, jalan-jalan raya telah dinaiktaraf dan diaspal. Antara  jalan raya yang telah dinaik taraf ialah jalan raya Tambunan-Keningau, Tambunan-Kota Kinabalu dan Tambunan-Ranau. Jalan raya ke kampung-kampung juga telah dinaiktaraf di semua daerah Tambunan seperti jalan raya kampung Nandal, Rompon, Sintuong-tuong, Tiung dan Lotong yang telah diaspal bagi memudahkan perjalanan masyarakat Tambunan dalam menggunakan pengangkutan. Semua kemudahan jalan raya ini telah dibina selama Joseph Pairin Kitingan mewakili Tambunan.
    Menurut petikan dalam berita Sabah, seorang usahawan dari Kampung Kirokot, Vincent Sarado, 54, berpandangan kira-kira 3500 penduduk di kampung itu telah menikmati pembangunan prasarana di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 1985 berbanding sebelumnya. “Pembangunan ketara dapat kita lihat di mana dulu kampung ini bergelap kerana tiada kemudahan tersedia termasuklah elektrik, tetapi kini semua kemudahan telah tersedia termasuklah  jalan raya yang berturap,” katanya. Ketua kampung Pahu, Udol Undou, 47, berkata kampungnya terletak kira-kira 30 km dari pekan Tambunan kini mengecapi kenikmatan yang berganda di mana tumpuan diberikan kearah membangunkan sistem jalan raya yang baik. Pemimpin kemajuan Rakyat Tambunan Laiwon Dalus berkata, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur, menyediakan pelbagai kemudahan dan kemudahan asas bagi  keseluruhan 89 kampung yang didiami oleh kira-kira 36000 penduduk daerah ini. Laiwon memberitahu bahawa tumpuan diberikan ke arah membangunkan sistem jalan raya yang baik bagi memudahkan perhubungan termasuk kampung ke kampung. Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi pelbagai projek menaik taraf semula jalan raya di seluruh daerah Tambunan dari tahun 2006 hingga 2012. Projek lain ialah menaiktaraf  jalan Pahu-Sintuong-Tuong sejauh 11 km yang  melibatkan kos sebanyak RM32 juta dan Jalan Mahua sejauh 6.5 km dengan kos RM5.4 juta. “Pada masa dahulu, jalan raya amat daif di mana kalau hujan laluannya  licin dan berlumpur. Selain itu, kenderaan kecil menghadapi kesukaran untuk melaluinya. Zaman dulu kita juga terpaksa menggunakan lampu pelita dan generator untuk mendapat bekalan elektrik,” katanya. Secara umumnya, jalan raya digunakan untuk mengangkut barang-barang seperti hasil pertanian, pembalakan dan barang-barang keluaran industri dan barang-barang keperluan dari kawasan pedalaman dan Bandar. Namun dalam usaha dan pengaruh Joseph Pairin, masyarakat Tambunan kini telah mengecapi kemudahan jalan raya yang lebih baik seperti yang dapat dilihat pada masa kini.
    Bekalan Elektrik
    Selain itu, bekalan elektrik juga telah dinaik taraf di daerah Tambunan ketika berada di bawah pimpinan Joseph Pairin Kitingan sebagai wakil rakyat Tambunan. Sumber mengatakan bahawa hampir kesemua rumah di Tambunan telah dibekalkan bekalan elektrik dengan pendawaian elektrik di rumah-rumah yang ditanggung oleh kerajaan di bawah peruntukan ADUN melalui Joseph Pairin Kitingan sebagai wakil rakyat Tambunan. Dengan usaha Joseph Pairin sebagai wakil rakyat, penyambungan elektrik ini telah berterusan sehingga semua rumah di Tambunan mendapat kemudahan bekalan elektrik.
    Bekalan Air
    Joseph Pairin Kitingan juga telah memberi peruntukan melalui kos tanggungan kerajaan dengan penyambungan bekalan air ke rumah-rumah di daerah Tambunan. Bekalan air bersih dinaik taraf untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air bersih di seluruh Tambunan.
    Di negara-negara yang sedang  membangun seperti Malaysia, proses pembekalan air untuk pelbagai keperluan perlu dipertingkatkan di terutamanya kawasan-kawasan luar Bandar di mana kebanyakann penduduknya  mempunyai kemudahan asas yang mencukupi. Di Negara, kerajaan dari masa ke semasa berusaha untuk memberi bekalan air yang bersih dan mencukupi kepada pendudukmelalui rancangan-rancangan pembangunan seperti Rancangan Lima Tahun Malaysia.
    Riadah dan kemudahan sukan
    Kompleks sukan Tambunan turut dibangunkan bagi memberi peluang kepada masyarakat Tambunan iaitu ahli sukan tempatan berlatih di kompleks sukan ini. Selain itu, dewan masyarakat juga telah dinaiktaraf bagi kegunaan semua masyarakat Tambunan. Dewan-dewan serbaguna turut dibina di beberapa mukim seperti Patau, Sunsuron, Toboh dan Nambayan. Pembinaan dewan-dewan ini memberi peluang kepada masyarakat Tambunan untuk bersukan seperti permainan badminton.
    SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN DARI ASPEK EKONOMI
    Pertanian
    Selain itu, semasa di bawah pimpinan Joseph Pairin sebagai wakil rakyat, masyarakat Tambunan telah diberi bantuan seperti Skim Getah berkelompok dan bantuan  penanaman padi. Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan ekonomi penduduk Tambunan dengan penanaman getah yang begitu luas. Selain itu, bantuan penanaman padi yang diberikan kepada masyarakat Tambunan digunakan untuk menjalankan pertanian sawah padi.
    Skim bantuan baja padi dan skim bantuan membajak disalurkan melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Ladang. Hal ini telah banyak membantu golongan petani di Tambunan meningkatkan hasil padi mereka.
    Premis-premis perniagaan
    Pertambahan penduduk di daerah Tambunan menyebabkan keperluan masyarakat semakin meningkat seperti barangan keperluan harian. Blok kedai di daerah Tambunan pada mulanya hanya terdapat dua deret kedai papan. Namun, dengan peruntukan melalui kerajaan di bawah ADUN Tambunan iaitu  Joseph  Pairin Kitingan, bangunan kedai-kedai iaitu SEDCO yang baru telah dibina yang telah diganti dengan beberapa blok kedai yang lebih baik iaitu menawarkan pelbagai kemudahan beli belah dan peluang perniagaan kepada masyarakat Tambunan.
    Dalam projek pembinaan rumah di beberapa SEDCO, SEDCO merancang membangunkan 10 projek rumah kedai di beberapa kawasan di seluruh Sabah. Pembinaan ini telah dijalankan di Apin-Apin, Apas Balung, Kuala Penyu, Membakut, Penampang, Semporna dan Telupid.
    Tamu Mingguan
    Selain menaik taraf bangunan kedai, tamu mingguan juga turut dinaik taraf dan dibaik pulih bagi menyediakan tempat perniagaan yang lebih teratur untuk keselesaan masyarakat Tambunan bagi melakukan urusan jual beli. Pada mulanya tamu daerah Tambunan bertapak di kawasan Kompleks. Selepas era pemerintahan Parti Bersatu Sabah di bawah pimpinan Joseph Pairin Kitingan pada tahun 1988, tamu telah dibina dan dipasang dengan bumbung sebagai kemudahan masyarakat Tambunan.
    Hal ini membolehkan penduduk Tambunan berurus niaga di samping menambah pendapatan mereka. Perbezaan pembangunan dari dulu dan sekarang sememangnya dapat dilihat oleh masyarakat Tambunan.
    Sehingga awal 1980-an pekan Tambunan, yang terletak di pinggiran Banjaran Croker tersergam indah dan permai, hanyalah sebuah pekan kecil dengan beberapa deretan kayu. Kini kelihatan struktur konkrit rumah kedai, kemudahan awam, dan infrastruktur di merata-rata tempat yang menjadi mercu tanda kejayaan atau pembangunan yang dicapai penduduk pekan dan seluruh daerah Tambunan yang majoritinya kaum kadazandusun. Ribuan penduduk Tambunan yang menikmati limpahan pembangunan sekarang ini bersyukur kerana meskipun tidak melihat bangunan pencakar langit, namun segala kemudahan yang tersedia mampu memberi keselesaan kehidupan. Jelas sekali, perubahan landskap pembangunan Tambunan datang daripada hasil dan pengaruh dan sentuhan  wakil rakyatnya Tan Sri Joseph Pairin kitingan.
    SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN DARI ASPEK POLITIK
    Parti Bersatu Sabah (PBS)
    Joseph Pairin Kitingan merupakan pengasas dan Presiden Bersatu Sabah (PBS). Penubuhan PBS ini juga merupakan aspirasi daripada rakyat yang mahukan satu parti tempatan ditubuhkan.Parti Bersatu Sabah ini telah berjaya didaftarkan pada 5 Mac 1985. Joseph Pairin Kitingan telah memimpin kemenangan PBS empat kali berturut-turut pada tahun 1985, 1986, 1990 dan 1994. Semasa kemenangan Parti Bersatu Sabah pada tahun 1986, pembangunan di daerah Tambunan mula ditumpukan. Tumpuan pembangunan ini bukan sahaja ditumpukan di Tambunan tetapi beliau juga harus memberi penumpuan kepada pembangunan seluruh Sabah dan kesemua penduduk berbilang kaum yang menghuni bumi Sabah atas jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah.
    PENUTUP         
    Esei ini akan menegaskan bahawa sumbangan Joseph Pairin Kitingan sangat besar kepada pembangunan di daerah Tambunan. Meskipun tidak kelihatan bangunan pencakar langit di Tambunan namun segala kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat telah disediakan semasa dalam pengaruh  dan kepimpinan  Joseph Pairin Kitingan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran namun semangat  Joseph Pairin kitingan dalam memajukan Tambunan tidak terhenti begitu sahaja. Sememangnya peranan sebagai seorang pemimpin tidaklah begitu mudah dalam menyelaraskan segala pembangunan kepada rakyat. Kemudahan infrastruktur yang disediakan seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan bangunan-bangunan lain yang telah dinaik taraf  sememangnya telah meningkatkan taraf  hidup masyarakat Tambunan berbanding pada masa dulu. Melalui pembangunan yang ada pada masa kini, masyarakat dapat menilai sumbangan Joseph Pairin Kitingan dalam pembangunan di daerah Tambunan. Peranan sebagai seorang pemimipin bukanlah sesuatu yang mudah tetapi haruslah dihadapi dengan penuh kesabaran. Pembangunan Tambunan diharapkan berterusan mengikut perkembangan semasa sesuai dengan keperluan zaman.
    credit





    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam