Perkembangan Dan Sumbangan Parti UMNO di Dearah Tambunan

    Author: Unknown Genre: »
    Rating

    PENGENALAN

    Parti United Malayas National Organisation (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946.Parti ini ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafarsebagai alternatif untuk menghalang penguasaan British di Tanah Melayu. Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh pihak British ditentang habis-habisan oleh orang Melayu dimana “Pemimpin Melayu Dato’ Onn bin Ja’afar telah mengesa orang Melayu menyertai Kongres Melayu dan menubuhkan UMNO. Kemasukan UMNO di Sabah pula kerana dibawa oleh Tun  Datu Harun Mustapha setelah parti USNO tidak berjaya membentuk kerajaan yang akan berada di bawah pemerintahan USNO. Penubuhan parti ini ternyatatelah memberi impak yang besar kepada pembangunan masyarakat  negeri Sabah, tidak ketinggalan juga masyarakat daerah Tambunan yang merupakan sebuah daerah di negeri Sabah dimana parti UMNO bertapak di Tambunan kerana dipengaruhi oleh pembawaan masuk parti UMNO di Sabah. Penubuhan parti UMNO di daerah Tambunan membawa banyak sumbangan kepada masyarakat daerah Tambunan. Sumbangan parti UMNO terhadap pembangunan masyarakat daerah Tambunan dalam aspek sosial amat ketara pada tahun 1990  hingga 2013.
    SEJARAH PERKEMBANGAN PARTI UMNO DAN SUMBANGANNYA KEPADA PEMBANGUNAN MASYARAKAT DAERAH TAMBUNAN DALAM ASPEK SOSIAL.
    Sejarah perkembangan parti UMNO di Semenanjung Malaysia dan kemasukannya di negeri Sabah.
    Lahirnya UMNO di Tanah Melayu adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk mempertahankan bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka. Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato’ Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak dari orang-orang Melayu di Tanah Melayu tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju iaitu pihak British. Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum. “Dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah diperolehi.
    Di Sabah pula, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu,atau dalam bahasa Inggeris: United Sabah National Organization (USNO) adalah parti politik yang berpusat di Sabah dan parti yang terawal di Sabah Parti ini diasaskan oleh Tun Datu Haji Mustapha bin Dato Harun. Parti ini berjaya memerintah selepas memenangi pilihanraya negeri 1967. USNO kekal berkuasa sehingga 1975 di bawah kepimpinan Tun Mustapha, dan sehingga 1976 di bawah Mohamed Said Bin Keruak. Sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September, 1963, USNO memainkan peranan penting dalam kerjasama dengan UPKO (United Pasokmomogun Kadazandusun Organization), yang dipimpin oleh Tun Fuad Stephens, dan dalam Persekutuan Tanah Melayu, dalam mendapat kemerdekaan daripada Great Britain. Pada tahun 1975, setiausaha agung USNO Harris Salleh meninggalkan parti tersebut dan bergabung dengan UPKO untuk membentuk sebuah parti baru yang dinamakan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA). Parti baru ini berjaya mengalahkan USNO pada pilihanraya negeri 1976 untuk membentuk kerajaan sehingga 1985. Selepas kekalahan itu, USNO cuba untuk menyertai pilihanraya negeri 1981, 1985, 1986, dan 1990, memenangi beberapa buah kerusi, tetapi tidak pernah cukup untuk membentuk kerajaan semula. Pada tahun 1990, USNO bergabung dengan BERJAYA untuk membawa UMNO melebarkan sayap ke Sabah Tun Mustapha menjadi pengerusi pertama UMNO Sabah setelah USNO dibubarkan.
    Sejarah perkembangan parti UMNO di daerah Tambunan.
    Menurut Encik Shiddeq Kuntagil “kemasukan parti UMNO di daerah Tambunan berkait rapat dengan kemasukan parti UMNO di Sabah”. PBS dan parti USNO  berpakat untuk membentuk kerajaan campuran tetapi tidak berhasil. Oleh itu, Tun Mustapha mengambil keputusan meninggalkan UMNO dan membawa masuk parti UMNO.
    Pada tahun 1992 semua pemimpin USNO di seluruh daerah di negeri Sabah juga secara langsung  meninggalkan USNO dan menjadi ahli parti UMNO”,pemimpin USNO di daerah Tambunan juga tidak terkecuali kerana daerah Tambunan juga salah satu daerah di negeri Sabah.
    UMNO  di Tambunan diketuai oleh Bernard Wong pada tahun 1992 dan parti ini ditaja oleh 22 orang penaja iaitu Shiddeq Kuntagil, Dr. Juanis Yajun, Jenis Abdullah, Bernard Wong, Zubaidah Abdullah, Wajimin Judin, Jika Dongir, Yusof Ahmad, Kiki Miun, Primus Ontigil, Dulamit Undahal, Archad Hj. Diassin,Yasdin Amin, Adun Mantigi, Sarjan Gokutur, Abel Gabauk, Sylvister Yubong, Vitus Dami, Joumin Ambuh, Micheal Yuling, Haji Kiran Haji Ismail, dan Benedict Kontung.
    Penerimaan penduduk daerah Tambunan pada masa itu adalah “rata-rata penduduktidak setuju dengan kedatangan parti UMNO kerana menganggap parti ini untuk adalah parti untuk Islam sahaja”. Namun begitu, apabila banyak sumbangan kepada masyarakat dan terdapat penaja yang beragama Kristian maka banyak yang mula tertarik dengan parti ini.
    Pada awalnya, terdapat hanya satu cawangan sahaja di daerah Tambunan iaitu di pekan Tambunan sahaja. Oleh itu sebagai usaha menyebarkan parti UMNO, para penaja mengambil peranaan itu menyebarkan parti ini ke mukim masing-masing iaitu di Mukim Kirokot dipegang oleh Shiddeq Kuntagil, Mukim Sunsuron oleh Sylvister Yubong, Mukim Nambayan oleh Joumin Ombu, Mukim Patau oleh Dr. Juanis Yajun, manakalah Mukim Toboh oleh Vitus Dani, Mukim Monsorulung oleh  Primus Antigil dan Mukim Lintuhun oleh Bernard Wong.
    Pembahagian mukim ini berlaku pada tahun 1992, dan bermula dari peristiwa ini parti Umno semakin dikenali serta memberi sumbangan yang banyak terhadap kemajuan masayarakat daerah Tambunan.
    SUMBANGAN PARTI UMNO DALAM MEMBANTU PERKEMBANGAN MASYARAKAT DAERAH TAMBUNAN DALAM ASPEK SOSIAL.
    Menurut Encik Hadimin Jumburi Barisan Nasional “adalah parti komponen yang diketuai oleh  UMNO, Parti UMNOlah yang membuat dasar-dasar dan BN hanya menjadi pelaksana sahaja”. Oleh itu, disebabkan pusat pentadbiran utama parti UMNOadalah dari Semenanjung Malaysia, maka sumbangan parti UMNO yang berlaku di Semenanjung Malaysia juga adalah sumbangan Parti UMNO di daerah Tambunan kerana daerah Tambunan hanyalah cawangan kecil sahaja.
    Pendidikan
    Dalam bidang pendidikan Parti UMNO telah memberi sumbangan yang paling ketara melalui pengagihan KWAMP. Tabung KWAMP “ yang telah ditubuhkan di bawah seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 berdasarkan Surat Ikatan Amanah yang telah diluluskan pada 10 April 2003”. Ia bertujuan untuk memberi bantuan kepada murid miskin supaya tidak tercicir dalam meneruskan persekolahan selaras dengan perlaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuatkuasa pada Januari 2003. Lampiran 1 menunjukkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang meggesa pengagihan KWAMP addalah mengikut kriteria seperti pelajar haruslah berada dalam Sekolah Bantuan Kerajaan atau Sekolah Kerajaan dan murid tidak menerima bantuan kewangan yang lain seperti Biasiswa Persekutuan Kecil (BKP), Biasiswa Sukan (BS), dan biasiswa kerajaan negeri. Antara jenis bantuan yang akan diperolehi ialah Bantuan Am Persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah dan Bantuan Bulanan pula seperti wang saku dan perbelanjaan seharian.
    Parti ini juga telah memberi peruntukan membuat kolej komuniti yang sedang dalam pembinaan iaitu Kolej Komuniti KadazanDusun Murut (KDM) yang mana tapak projek ini akan terletak di sebahagian dari tapak tanah kerajaan seluas 600 ekar di mukim Kaingaran. KDCA dilihat  begitu komited untuk melaksanakan pelaburan besar  untuk meningkatkan tahap pendidikan kaum KadazanDusun Murut secara khususnya. Memetik daripada ucapan alu-aluan Perdana Menteri yang ke-6, juga merangkap pengerusi UMNO iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan majlis pelancaran kolej komuniti KDM pada 17 Jun 2012 “Saya begitu terharu melihat kesedaran tentang pendidikan telah menembusi minda pelajar lepasan  sekolah untuk memperolehi kemahiran di Kolej Komuniti dalam bidang teknikal dan vokasional. Kita semua maklum bahawa tanpa kemahiran ini adalah sukar bagi belia lepasan SPM untuk mencari peluang pekerjaan. Dengan itu, kewujudan Kolej Komuniti adalah bukti keprihatinan kerajaan  kerana wujudnya institusi ini boleh menjana aktiviti-aktiviti sosio-ekonomi di kawasan daerah Tambunan”. Lampiran 2 menunjukkan reka bentuk Kolej KDM yang akan dibina.
    Seterusnya, pada 24 Disember 2010 Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling (SPK) iaitu di Lampiran (Gambar 3) yang menyatakan tatacara  pemberian Bantuan Baju Seragam Pasukan Badan Beruniform (BPS) di sekolah mulai 2011 kepada semua Pejabat Pelajaran Daerah dan Semua Pengetua dan Guru Besar di sekolah.Pemberian BPS kepada murid telah dilaksanakan pada tahun 2008 berdasarkan ucapan pembentangan Bajet 2008 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri pada 7 September 2007 namun pada tahun 2012 dasar pemberian BPS dipinda dan antara kriteria kelayakan adalah, pelajar yang berada di Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan. berhak menerima bantuan ini.Ketua Isi Rumah (KIR) juga harus berdaftar dengan sistem e-Kasih dan telah dikategorikan sebagai Miskin atau Miskin Tegar. Antara pasukan badan beruniform yang terlibat ialah Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pandu Puteri, Kadet Polis, Bulan Sabit Merah Malaysia dan lain-lain .
    Pada 15 julai 2010, surat pekeliling Lampiran 4  juga diagihkan yang bertujuan untuk menggariskan peraturan dan tatacara peentadbiran, pengurusan kewangan dan perakaunan dalam melaksanakan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) , walaupun Surat Pekeliling Kewangan (SPK)  Bil.2 Tahun 2008 telah menggariskan tatacara pengurusan kewangan dan perakaunan yang berkaitan dengan RMT namun pengurusan pemilihan pembekal RMT dan menu tidak dinyatakan jelas. Bagi kriteria  kelayakan  baru ialah murid haruslah seorang warganegara dan dari Darjah 1 hingga Darjah 6 yang bersekolah di semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.
    Infrastruktur
    Dari segi sumbangan infrastruktur, sumbangan utama yang paling ketara ialah pembinaan dan penurapan jalan raya. Melalui Program Jalan Luar Bandar (JALB) yang bertujuan “untuk memperbaiki dan memperluaskan sistem pengangkutan luar bandar di samping usaha yang berterusan kearah mempertingkatkan  liputan dan memperbaiki rangkaian sistem jalan raya di kawasan luar bandar.Program ini juga melibatkan hampir keseluruhan jalan-jalan di daerah Tambunan dimana jalan-jalan ke kampung dan sekolah  telah dibina dan diturapi seperti jalan raya yang menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Wawasan yang telah siap sepenuhnya dan menyenangkan para guru-guru yang mengajar di sana berulang alik dari pekan Tambunan ke sekolah itu.
    Selain itu, pemberian bekalan elektrik iaitu melalui Program Bekalan elektrik Luar Bandar (BELB). Program BELB bertujuan “untuk menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke rumah-rumah di kampung- kampung tradisional di luar kawasan operasi PihakBerkuasaTempatan”. Program ini telah melibatkan kampung yang berada jauh dari pekan Tambunan seperti Kampung Tontolob Liwan, Kampung Kumawanan, Kampung Tinompok Liwan, Kampung Nukakatan, Kampung Sintuong-tuong telah menikmati bekalan elektrik yang telah dibekalkan sejak tahun 2011. Menurut Puan Luhina @ Juaina Dakun yang merupakan penduduk Kampung Tinompok Liwan bekalan “ kami  telah lama menunggu bekalan elektrik ini kerana sebelum ini kos membeli minyak petrol yang kami tanggung adalah sangat tinggi  dan selepas adanya bekalan elektrik pada tahun 2011  ia sedikit sebanyak membantu kami”.
    Di awal penubuhan parti UMNO pula, parti ini telah membantu pembangunan Kampung Babagon dan Kampung Kumawanan sehingga telah dinobatkan sebagai Kampung Gerakan Desa Wawasaan dimana kampung ini lengkap dengan prasarana seperti mini dewan, pejabat Gerakan Desa Wawasan, bangunan tempat membina kraft tangan.
    Seperti yang ditunjukkan gambar di bawah tugu peringatan bahawa Kampung Babagon pernah diiktiraf sebagai Kampung Gerakan Daya Wawasan:
    E:\2014-03-17 17.09.09.jpg
    Gambar 1 menunjukkan tugu pengiktirafan Kampung Babagon sebagai Kampung   Gerakan Daya Wawasan.
    Menurut Encik Rahim Yasin parti ini telah “memainkan  peranaan dalam pembangunan daerah Tambunan” iaitu dengan mewujudkan sebuah pasar baru yang juga dikenali sebagai Tamu Ground yang berperanaan sebagai tempat para petani memperdagangkan dan memasarkan hasil pertanian mereka. Pasar ini beroperasi setiap hari khamis setiap minggu,  namun terdapat juga peniaga yang sudah berada di pasar pada petang hari Rabu dan pasar pada masa ini dikenali sebagai pasar malam. Pembinaan pasar malam ini sedikit sebanyak membantu dalam pembangunan ekonomi  dan menyenangkan penduduk tempatan. Lampiran 5  menunjukkan tapak Tamu Ground.
    Sumbangan yang seterusnya ialah Program Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) dimana program ini membantu rakyat yang miskin dan tegar serta daif. Kebanyakan rumah mereka terlalu uzur yang dibina pada 1960-an, rumah papan, tidak ada bekalan air dan elektrik. Kebanyakannya pula hanya  didiami oleh ibu bapa atau datuk nenek yang sudah tua dan tidak berdaya. Projek Perumahan Rakyat Termiskin telah diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Di Tambunan hampir kesemua kampung diberi bantuan PPRT ini contohnya pada tahun 2012 pemberian PPRT di Kampung Mangi- Pangi, Kampung Pahu, Kampung Tangaban, Kampung Maras-karas,dan Kampung Tinompok telah dilaksanakan”.Lampiran 6 menunjukkan PPRT di Kampung Mangi-Pangi.
    Tambahan daripada itu, bagi memastikan masyarakat mendapat bekalan air yang bersih maka  sistem perpaipan yang baik telah dibina kepada rakyat yang memerlukan. Sebagai contoh, sistem perpaipan yang telah disalurkan di setiap rumah serta setiap rumah diberikan satu tangki seperti yang dialami oleh penduduk kampung Pahu. Seperti Gambar di bawah penduduk di Kampung Pahu, Tambunan menerima tangki seperti  Gambar di bawah pada tahun 2012, setelah sistem perpaipan yang mula dibina (Gambar di bawah) pada awal tahun 2012. Menurut Encik Dausip Makajil “sistem perpaipangraviti yang diberikan kepada kampung kami sangat membantu mendapat bekalan air yang bersih berbanding tahun sebelum ini”.
    DSC0000181.jpg
    DSC0000180.jpg
    Gambar di atas menunjukkan sistem perpaipan di Kampung Pahu,Tambunan.
    Seterusnya, parti UMNO telah memberi kemudahan Kampung Tanpa Wayar (KTW) kepada semua kampung di seluruh daerah Tambunan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pemberian kemudahan ini adalah kerana ingin memudahkan rakyat di luar bandar mendapat akses kepada internet jalur lebar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi penyediaan  perkhidmatan  talian telefon tetap, perkhidmatan jalur lebar komuniti dan  perluasan liputan telefon selular  awam di bawah Pelan Inisiatif (NBI). Menurut  Datuk Jailani Johari berkata “sebanyak 4,210 Kampung Tanpa Wayar 1 Malaysia telah diwujudkan setakat ini”penduduk di daerah Tambunan juga menikmati perkhidmatan ini dimana liputan telefon selular semakin meluas dan  kampung mereka juga telah diwujudkan KTW1M.
    Kebajikan
    Sumbangan parti UMNO dari segi kebajikan ialah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dimana seperti yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Disember 2013 “ kerajaan merasai denyut nadi kesusahan rakyat sekarang, semoga BR1M mampu menyelesaikan beban kos sara hidup anda” , kerajaan telah membantu rakyat dengan mengagihkan BR1M yang berjumlah RM500.00 bermula pada tahun 2012 hingga tahun 2013. Pemberian BR1M sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan kos sara hidup rakyat. Lampiran 7  merupakan contoh BR1M  yang telah diagihkan oleh kerajaan kepada rakyat.
    Selain itu, pada setiap tahun awal persekolahan kerajaan akan memberikan sebanyak RM100.00 kepada pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di setiap sekolah kerajaan. Menurut Encik Hadimin Jumburi “setiap pelajar akan mendapat bantuan awal persekolahan ini dimana setiap isi keluarga yang berumuran dalam lingkungan umur 7 hingga 18 tahun menerima duit RM100.00 secara tunai bagi membeli barangan keperluan seperti kasut sekolah, buku latihan, peralatan menulis dan baju seragam sekolah”. Sumbangan ini akan diberikan setiap tahun di awal persekolahan dan diagihkan di sekolah.
    Bagi pelajar Universiti, kolej dan pelajar Pra Universiti mereka telah diberikan baucer buku sebanyak RM250. Bantuan ini diberikan  bagi membantu pelajar yang bersekolah di bantuan kerajaan untuk membeli buku rujukan. Seperti di Lampiran 8 baucer ini merupakan contoh baucer yang diberikan kepada pelajar Pra Universiti iaitu setiap keping  baucer bernilai RM50.00 dan setiap pelajar mendapat 5 keping baucer. Baucer ini hanya boleh dituntut di kedai buku yang mendapat mandat daripada kerajaan dan baucer tidak boleh ditukar kepada bentuk wang tunai. Cik Diana Fredolin mendakwa bahawa “saya sangat gembira dengan pemberian baucer ini kerana setiap tahun ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan kewangan saya dan diharapkan pemberian ini terus diteruskan
    Sukan
    Dari segi sukan, sumbangan yang telah diberikan kepada masyarakat daerah Tambunan ialah pembinaan gelangang Badminton yang dibina pada tahun 2012. Gelangang ini terletak dalam dewan mini serbaguna Kampung Pahu iaitu seperti di Lampiran 9 Bangunan ini lengkap denganperkhidmatan seperti dapur  dan tandas. Selain tempat ini boleh dijadikan sebagai gelangang Badminton, majlis seperti Pesta Kaamatan peringkat mukim dan Perayaan Krismas pernah diraikan di sini pada tahun 2011.
    Seterusnya, gelangang Futsal juga adalah antara sumbangan parti UMNO. Boleh dilihat kebanyakan kampung di daerah Tambunan  mempunyai gelangang futsal. Gelangang ini sangat banyak kemudahan dimana sekeliling gelangang dipagari, tandas, dan lampu neon yang membolehkan pelawanan pada waktu malalm boleh dijalankan. Seperti Gelangang serbaguna Mukim Kirokot di Kampung Kirokot yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Pairin pada 16.04.2010. Lampiran 10 menunjukkan  perasmian sedang dijalankan.  
    KESIMPULAN
    Esei ini telah menegaskan sejak mula tertubuhnya parti UMNOdi Tanah Melayu  pada tahun 1946 dan kemudian dibawa ke Sabah dan seterusnya masuk di daerah Tambunan pada tahun 1992 oleh Tun Mustpha, terdapat banyak sumbangan yang telah dibuat oleh parti ini sehinggalah sekarang. Parti ini juga jelas telah membantu perkembangan masyarakat daerah Tambunan dalam aspek sosial iaitu melalui pendidikan, keadaan infrastruktur dan kebajikan serta dalam sukan. Sumbangan yang diberikan juga telah  berterusan hinggalah hari ini dimana sumbangan yang diberikan akan sentiasa dikaji semula mengikut peredaran masa. Sumbangan yang berterusan ini amatlah dihargai oleh masyarakat daerah Tambunan. Oleh itu, para generasi pada zaman ini haruslah mengetahui sumbangan-sumbangan parti ini kerana pembangunan masyarakat daerah Tambunan adalah dibantu oleh Parti UMNO yang menjadi tulang belakang dalam proses memajukan masyarakat.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

copyright by Kamarul Arnizam