Sejarah Perkembangan Majlis Daerah Tambunan Dan Sumbangannya Dalam Aspek Ekonomi

    Author: Kamarul Arnizam Genre: »
    Rating

    PENGENALAN
    Kerajaan tempatan di Malaysia merupakan kerajaan di peringkat paling rendah dalam sesuatu sistem kerajaan di Malaysia. Agensi kerajaan ini boleh menguatkuasakan undang-undang kecil (atau by-laws) kepada penduduk yang berada di dalam kawasan pentadbiran mereka. Lazimnya pegawai tertinggi di dalam kerajaan tempatan dipanggil Datuk bandar bagi bandar raya, manakala Yang di-Pertua Majlis atau Presiden bagi kawasan perbandaran dan juga Majlis-majlis daerah. Kawasan di luar bandar mana-mana negeri akan ditadbir oleh Kerajaan Tempatan iaitu majlis daerah.Salah satu majlis daerah yang terdapat di Sabah, ialah Majlis Daerah Tambunan. Majlis Daerah Tambunan ini telah ditubuhkan sejak lima puluh tiga tahun yang lalu. Majlis Daerah Tambunan sebagai kerajaan peringkat ketiga iaitu dibawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditubuhkan untuk mencapai beberapa objektif untuk mencapai visi dan misi organisasi. Penubuhan MDTBN menggariskan matlamatnya iaitu mentadbir di peringkat tempatan atau  gross root level supaya interaksi diantara rakyat dan kerajaan wujud, memberi pembangunan dan perkhidmatan kepada penduduk tempatan terutama sekali di kawasan Dewan Undangan negeri N.32 Tambunan. Selain itu, matlamat Majlis Daerah Tambunan adalah untuk menjadikan Majlis sebagai sebuah organisasi beridentiti tinggi yang lebih dikenali dan difahami serta disanjung oleh masyarakat awam dan membantu kerajaan negeri dalam bidang pentadbiran dan menggubal serta melaksanakan undang-undang kecil.
    Sebelum menjelaskan usaha dan sumbangan yang telah dilakukan oleh MDTBN kepada masyarakat Tambunan, akan disentuh terlebih dahulu sejarah perkembangan kerajaan tempatan dan sejarah penubuhan MDTBN, sebagai latar belakang kepada peranan dan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sejak penubuhannya itu.
    SEJARAH PERKEMBANGAN KERAJAAN TEMPATAN DI MALAYSIA
    Sistem kerajaan tempatan yang diamalkan di Malaysia telah diwarisi daripada British yang memerintah Tanah Melayu selama lebih 2 kurun sebelum kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957. Maka, kerajaan tempatan yang ditubuhkan pada permulaannya adalah bermodelkan sistem yang wujud di Britain. Malah dalam kaji selidik yang lebih mendalam telah mendapati bahawa kebanyakan undang-undang dan peraturan yang wujud ketika itu menyamai undang-undang Inggeris. Tetapi, dalam peredaran masa, ciri-ciri unik yang mencerminkan sosio-budaya tempatan mula mempengaruhi perjalanan kerajaan tempatan di Malaysia.
    Sebuah badan yang dipanggil Majlis Penilai (Council of Assessors) telah ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1801. Majlis ini diberi peranan merancang dan melaksanakan pembangunan bandar. Hal ini seterusnya membawa kepada penubuhan kerajaan tempatan di negara ini. Majlis-majlis tempatan kemudiannya dibentuk di Melaka, diikuti dengan negeri-negeri Melayu yang lainnya sehingga ke Sarawak dan Borneo Utara. Bagi melaksanakan penubuhan ini dan juga menganjurkan pilihan raya kerajaan tempatan, pihak British telah memperkenalkan pelbagai perundangan. Sebagai contoh, Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950 memberi kuasa kepada majlis-majlis tempatan untuk menganjurkan pilihan raya. Selain itu, Ordinan Kerajaan Tempatan 1952 pula memberi kuasa kepada penduduk-penduduk setempat membentuk majlis-majlis tempatan di mana perlu. Pada penghujung era penjajahan British, terdapat sejumlah 289 majlis tempatan di Tanah Melayu. Selepas kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, kuasa ke atas kerajaan tempatan diletakkan ke dalam senarai negeri.
    Dekad 60-an pasca-Merdeka merupakan zaman yang amat mencabar bagi majlis-majlis tempatan. Permasalahan dalaman berkaitan pentadbiran dan politik yang dihadapi oleh kerajaan tempatan dan konfrontasi Indonesia terhadap penubuhan Malaysia pada tahun 1963, telah memaksa penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan. Penggantungan ini dilakukan melaui dua peraturan, iaitu Peraturan Kecemasan (Penggantungan Pilihan raya Kerajaan Tempatan) 1965 dan pindaannya pada tahun yang sama. Sejak dari itu, kerajaan tempatan di Malaysia tidak lagi melangsungkan pilihan raya walaupun sistem ini telah berkembang di dalam keseluruhan sistem berkerajaan di Malaysia.
    Hierarki Kerajaan Tempatan
    Sebelum kerja-kerja penyusunan semula dan penguatkuasaan Akta Kerajaan Tempatan 1976, wujud 6 jenis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang keseluruhannya berjumlah 418 buah. Jenis-jenis itu ialah Dewan bandaraya, Majlis Perbandaran, Lembaga Bandaran, Majlis Daerah Luar Bandar, Majlis Daerah Luar Bandar dan Majlis Tempatan.
             Hasil penerapan Akta 171 itu, secara hakikinya wujud hanya dua jenis kerajaan tempatan iaitu untuk kawasan bandar (majlis perbandaran) dan desa (majlis daerah). Tetapi, Akta 171 itu membenarkan pembentukan kerajaan tempatan bertaraf bandar raya. Status ini dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan perkenan Majlis Raja-raja. Selain yang dinyatakan oleh Akta 171, beberapa badan khas telah ditubuhkan dengan peranan sebuah PBT. Badan-badan ini ditubuhkan samada melalui Akta Parlimen mahupun enakmen dan ordinan negeri. Hari ini, wujud empat jenis kerajaan tempatan di negara ini yang disusun mengikut hierarki seperti bandar raya yang dikenali sebagai Dewan Bandaraya atau Majlis Bandaraya, bandar sebagai majlis Perbandaran, luar bandar sebagai Majlis Daerah dan kawasan khas yang dikenali sebagai Perbadanan atau Pihak Berkuasa Tempatan.Majlis Daerah merupakan salah satu nama kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mentadbir kawasan luar bandar di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
    SEJARAH PENUBUHAN MAJLIS DAERAH TAMBUNAN
    Latar Belakang Majlis Daerah Tambunan, Sabah
    Majlis Daerah Tambunan terletak di Daerah Tambunan. Dari segi geografi ,Tambunan terletak di bahagian Pendalaman Sabah.80km dari kota kinabalu(ibu Negeri) di sebelah barat 48km, dari Ranau di sebelah utara ,dan 48km dari keningau di selatan .
     Majlis Daerah Tambunan telah di gazet penubuhannya pada 16hb Disember 1961 melalui Gazette GNS/172/1961.12  Majlis Daerah Tambunan pada mulanya dikenali sebagai Tambunan District Council [JRDC] diisytiharkan penubuhannya pada 1hb  Januari 1962.  Sejak penubuhan Majlis Daerah Tambunan ia telah berpindah pejabat sebanyak tiga kali.
               Pada tahun 1961 hingga tahun 1977,  kedudukan Majlis Daerah Tambunan terletak di Pejabat Tanah dan Ukur Tambunan pada masa kini. Selepas itu, kedudukan Majlis Daerah Tambunan telah berpindah tempat pada tahun 1978 hingga 1989 di Bangunan Dewan Majlis Daerah Tambunan dan pada 15 Februari 1987 sehinggalah ke hari ini lokasi Majlis Daerah Tambunan terletak di bangunan Kompleks MDT.
    Kawasan sempadan pentadbirannya ialah Daerah Tambunan yang mengandungi sebuah pekan iaitu Pekan Tambunan yang berkeluasan 700 ekar atau 283.279 hektar. Mulai pada 28hb November 1963, Kawasan Perkadaran Majlis adalah dalam kawasan Pekan Tambunan dengan keluasan 162 ekar dan boleh dirujuk melalui no gazet GNS.7/64.  Pada tahun penubuhannya Majlis Daerah Tambunan, MDTBN mempunyai 13 orang Ahli Majlis yang terdiri daripada ahli komponen parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ahli-ahli Majlis ini dilantik oleh Residen melalui undian daripada penduduk atau masyarakat untuk mewakili rakyat di kawasan atau mukim masing-masing. Pada masa tersebut MDTBN dipengerusi oleh Penolong Pegawai Daerah Tambunan iaitu Encik Fielding Esqr. Senarai nama ahli majlis ketika itu ditunjukkan seperti dalam Jadual 1.
    Jadual 1 : Senarai nama Ahli-Ahli Majlis Daerah Tambunan Pada Tahun 1962
    Nama Ahli Majlis
    Mukim
    Parti Politik
    1. KAN Abbie Bin Basinau
    Daar
    USNO
    2. Encik Abdullah Dilol
    Patau
    USNO
    3. Encik Anthony Gibun
    Mogong
    UNKO
    4.KAN Dalimas Bin Talibas
    Keranaan
    UNKO
    5. O.T Galot Bin Sirob
    Tondulu
    UNKO
    6. Ex.Sgt.Gandila Bin Singulun
    Sunsuron
    UNKO
    7. KAN Kundigi Bin Bandua
    Kirokot
    USNO
    8. Rev.Fr.Martin Conolly
    Toboh
    NGO
    9. O.T Sagaron Bin Limpag
    Pahu
    UNKO
    10. Encik Sarap Bin Bantason
    Kinabaan
    USNO
    11. Encik Utoh Bin Adou
    Nambayan
    USNO
    12. Encik Yong Pak Siong
    Pekan Tambunan
    UNKO
    13. Encik Yong Ping Choon
    Pekan Tambunan
    UNKO
    Sumber : Majlis Daerah Tambunan, 2014.
    Pada tahun 1966, Ordinan Kerajaan Tempatan sabah telah diubah. Perubahan dalam Ordinan Kerajaan Tempatan Sabah telah membolehkan Pegawai Daerah Tambunan dilantik sebagai Pengerusi Majlis (By Instrument), manakala pelantikan Ahli-ahli Majlis adalah melalui lantikan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan sabah atau cadangan daripada wakil rakyat kawasan Tambunan.
    Sejarah Ahli Majlis Daerah Tambunan
               Semenjak penubuhan Majlis, ahli-ahli yang dilantik telah bertukar ganti.  Pada tahun 1976 “Local Government Election Ordinance 1961”, dimansuhkan dan kesemua ahli adalah dilantik untuk tempoh setahun oleh YAB Datuk Wakil Rakyat Daerah Tambunan.17  Barisan Ahli-Ahli Majlis bagi tahun 1990 boleh dirujuk di Lampiran 4.
               Pada tahun 1966, Ordinan Kerajaan Tempatan, Sabah telah diubah untuk membolehkan ahli-ahli dilantik dan Pegawai Daerah Tambunan dilantik sebagai Pengerusi Majlis.  Senarai Pengerusi Majlis Daerah Tambunan dari tahun penubuhan sehingga kini boleh dirujuk di Lampiran 5. Majlis kini mempunyai (16) enam belas buah Jawatan kecil yang boleh dirujuk di Lampiran 6.
    Struktur Organisasi Majlis Daerah Tambunan
    Majlis Daerah Tambunan dipengerusikan oleh seorang Pegawai Daerah dan barisan Ahli-ahli Majlis Daerah seramai 18 orang yang dilantik oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sabah. Secara keseluruhan, Majlis Daerah Tambunan mempunyai lima unti atau bahagian iaitu bahagian Kejuruteraan, Bahagian Kewangan, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kesihatan, dan Bahagian Penguatkuasaan. Visi Majlis Daerah Tambunan ialah menjadikan MDTBN sebagai salah sebuah majlis perbandaran yang bersih dan indah menjelang tahun 2050. Misi MDTBN pula ialah bertekad untuk memperbaiki taraf hidup masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.
    FUNGSI DAN PERANAN MDTBN
    Majlis Daerah mempunyai bidang kerja yang luas seperti yang termaktub dalam surat cara (By Instrument). Majlis Daerah Tambunan telah diberi tanggungjawab untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang agar keamanan dan keadilan dapat diwujudkan. Fungsi-fungsi dan peranan Majlis Daerah Tambunan secara keseluruhannya termaktub dalam Ordinan Kerajaan Tempatan.
    Antara fungsi-fungsi Majlis Daerah Tambunan ialah menjaga kebersihan pekan Tambunan dan menyediakan tapak pembuangan sampah yang sempurna, mengindah dan mencantikkan kawasan pekan Tambunan, mengeluarkan lesen-lesen operasi dan mengutip cukai-cukai yang dikenakan dalam undang-undang kecil Majlis Daerah Tambunan. Selain itu, menyediakan Tamu iaitu tempat masyarakat menjual hasil-hasil pertanian dan membina serta menyelenggara jalan-jalan raya di luar dan dalam kawasan pekan dan banyak lagi. Secara amnya, tugas dan peranan Majlis Daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) ini boleh dikategorikan kepada alam sekitar,orang awam, sosial dan juga pembangunan.
    USAHA-USAHA MDTBN DALAM MEMAJUKAN MASYARAKAT TAMBUNAN
    Dalam usaha memajukan masyarakat Tambunan terutamanya dalam aspek ekonomi,
    Majlis Daerah Tambunan telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menjadikan masyarakat di daerah Tambunan menjadi lebih maju dan membantu masyarakat agar mempunyai kehidupan yang lebih baik dari masa ke semasa. Kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakat Tambunan sejak dahulu kala kini sudah dapat diatasi. Hal ini demikian, kehidupan masyarakat pada masa kini semakin bertambah baik seiring dengan arus permodenan yang berlaku dalam negara. Dalam konteks ini, pengkaji akan memerihalkan beberapa usaha  MDTBN dalam membantu masyarakat Tambunan dalam kehidupan mereka sehari-hari terutamanya dalam aspek ekonomi.
    Pembinaan Kedai-kedai


    http://www.glob.com.my/newweb/images/off_tbn.jpg
    Keadaan Kedai di Tambunan dahulu


    Salah satu usaha yang telah dilaksanakan oleh Majlis Daerah Tambunan dalam memajukan masyarakat Tambunan adalah dengan mewujudkan beberapa bangunan kedai khusus untuk penduduk yang ingin membuat perniagaan. Penduduk yang mahu memiliki bangunan untuk dijadikan kedai perlu menyewa dengan membayar harga sewa untuk bangunan tersebut dengan harga yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa. Bangunan itu akan sah menjadi milik seseorang apabila selesai urusan sewa dan bayaran. Namun pihak yang berkuasa boleh menarik balik kedai yang telah disewa sekiranya berlaku sebarang perkara yang di luar jangkaan.
    Bangunan yang telah disewa akan dijadikan sebagai sebuah kedai untuk menjual barang-barangan. Contohnya seperti pakaian, buku, dan barangan makanan. Selain daripada bangunan yang dibina untuk dijadikan kedai menjual barangan, bangunan yang disewa turut dijadikan sebagai restoran. Hal ini demikian menunjukkan terdapat banyak cara atau laluan yang boleh digunakan oleh para peniaga untuk mencari sumber rezeki sehari-hari.
    Kedai-kedai yang dahulunya hanya diperbuat daripada kayu dan papan akhirnya berubah menjadi bangunan konkrit yang utuh diperbuat daripada simen. Hal ini berlaku seiring dengan zaman yang semakin moden. Jika dahulu pada pertengahan tahun 1990 hingga 2005 bilangan kedai yang ada di Daerah Tambunan  boleh dikira dan dilihat terutamanya yang ada di pekan Tambunan. Kini, kita boleh melihat sendiri sudah terdapat banyak bangunan yang dibina untuk tujuan meningkatkan ekonomi masyarakat di daerah Tambunan. Gambar-gambar bangunan yang telah dibina di sekitar tahun 2010 boleh dirujuk di bahagian Lampiran.
    Pengujudan Tamu
    The Tamu - Tambunan, Sabah
    Keadaan Tamu Toboh pada 2006
    Selain itu, MDTBN juga turut menyediakan tapak untuk penjaja menjual hasil-hasil pertanian dan banyak lagi. Kawasan ini dipanggil sebagai sebuah tamu khusus untuk semua penduduk yang tinggal di daerah Tambunan. Terdapat dua tempat yang khas untuk para penjaja menjualkan hasil-hasil tani mereka iaitu di Tamu Ground dan Tamu Toboh.Keadaan pasar tamu Toboh pada tahun 2006 menunjukkan masyarakatnya yang berjaja belum kreatif sepenuhnya dalam menyediakan tempat berjaja yang strstegik dan selesa.
    Lazimnya, pasar tamu di Toboh hanya beroperasi pada setiap hujung minggu iaitu hari ahad sahaja. Manakala pasar tamu di Tamu Ground akan beroperasi setiap hari khamis sahaja. Namun pada masa kini, penjaja-penjaja sudah boleh mula menjual hasil-hasil tani mereka sejak dari hari rabu lagi. Hal ini disebabkan ada segelintir penjaja yang akan tidur di tamu bermula dari hari rabu lagi.

    Keadaan Tamu Ground, Tambunan
    Tamu Ground yang terletak di pekan Tambunan merupakan tamu besar bagi semua masyarakat di daerah Tambunan. Di samping meningkatkan pendapatan masyarakat, pasar tamu ini juga diwujudkan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penjaja. Menjelang pada tahun 2010, masyarakat semakin lama semakin kreatif dalam hal menyediakan kawasan masing-masing untuk menjaja dengan keadaan yang lebih teratur, strategik, dan selesa bagi penjual dan pembeli manjalankan urus niaga.
    Jelas sekali bahawa pengujudan pasar tamuini telah membantu masyarakat di daerah Tambunan dalam mencari sumber rezeki dan seterusnya meningkatkan taraf hidup masyarakat terutamanya bagi masyarakat yang berada di luar bandar. Majlis Daerah Tambunan telah bersungguh-sungguh dalam membantu masyarakat luar bandar agar kehidupan penduduknya menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.
    Pengujudan Pasar
    Pada sekitar tahun 1990 hingga 2000 di daerah Tambunan, masyarakatnya tidak mempunyai kawasan atau tempat yang sesuai untuk menjual hasil-hasil tani. Hal ini kerana Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Daerah) belum mempunyai idea yang bernas bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Namun, beberapa tahun selepas itu, iaitu awal 2005 hingga pada masa kini Majlis Daerah Tambunan telah menyediakan satu tapak khas untuk kemudahan para penjaja menjual hasil-hasil tani dan berbagai jenis barangan dan kawasan ini dinamakan Pasar Malam. Hal ini kerana pasar ini akan mula beroperasi pada awal jam 2 petang hingga ke waktu malam.
    Keadaan Pasar Malam di Tambunan


    Usaha Majlis Daerah dalam menyediakan pasar malam ini khas untuk penjaja-penjaja di daerah Tambunan adalah untuk meningkatkan taraf hidup mereka di samping mengelakkan daripada berlakunya masalah ekonomi dalam kehidupan mereka seharian. Hasil daripada usaha Majlis Daerah Tambunan dalam membantu memajukan penduduk dan daerah Tambunan, jelas menunjukkan bahawa usaha-usaha ini membawa impak yang baik kepada masyarakat dan daerah ini sendiri iaitu, taraf hidup yang semakin baik dan ekonomi di daerah Tambunan juga berkembang seiring dengan permodenan di negara kita.
    Pungutan Cukai Dalam kalangan Penjaja
    Dalam usaha pihak Majlis Daerah menggiatkan proses memajukan masyarakat di daerah Tambunan, tumpuan Majlis Daerah Tambunan ini tidak hanya terbatas kepada pengujudan pasar dan tamu semata-mata. Malahan, usaha pihak majlis untuk memajukan daerah Tambunan juga berlaku menerusi tindakan MDTBN memungut cukai dalam kalangan setiap penjaja yang menggunkan kemudahan atau tapak tamu dan pasar.
    Pungutan cukai dalam kalangan penjaja oleh Majlis Daerah ini bukan hanya untuk sesuka hati sahaja, tetapi Cukai yang dipungut itu dapat membantu kerajaan menjana ekonomi negara yang kemudiannya dikembalikan dalam bentuk pembangunan kepada rakyat sebagai timbal balik dalam usaha  menuju negara berpendapatan tinggi. Contohnya, wang itu digunakan untuk memperbaiki kemudahan-kemudahan yang ada di sekitar kawasan Pekan Tambunan seperti lampu jalan, tandas awam, parit dan segala kemudahan-kemudahan yang lain. Cukai yang dikenakan ialah cukai pintu dan cas tanah.
    Kursus/Ceramah/Bengkel Perniagaan
    Salah satu program MDTBN yang dirangka sesuai untuk memajukan daerah Tambunan bukan hanya luaran tetapi dalaman, dimana pihak majlis daerah mengadakan kursus perniagaan atau ceramah dalam kalangan penduduk Tambunan terutamanya kepada para penjaja di pasar dan tamu. Tujuannya adalah untuk memberi pengetahuan kepada mereka tentang peranan dan fungsi Majlis Daerah Tambunan dan memaklumkan penjaja tentang sewa yang akan dikenakan kepada mereka serta cara-cara untuk berniaga.  Kursus atau ceramah seperti ini hanya akan diadakan sekali atau dua kali dalam setahun sahaja.
    SUMBANGAN MAJLIS DAERAH TAMBUNAN
    Usaha-usaha yang telah dibuat oleh Majlis Daerah Tambunan kepada daerah Tambunan ini sendiri dan masyarakatnya secara tidak langsung MDTBN telah memberikan sumbangannya. Salah satunya adalah MDTBN telah memberi sumbangan kepada daerah dan masyarakat Tambunan dengan membina dan menyediakan pelbagai premis perniagaan yang boleh dijadikan sebagai tempat untuk mencari sumber rezeki dalam kalangan masyarakat di daerah Tambunan.
    Encik Jailis Kakun selaku Ketua Kerani di MDTBN mengatakan bahawa, MDTBN telah membina dan menyediakan kedai di beberapa kampung yang terpilih. Contohnya kedai yang dibina di Kampung Rompon, Kampung Kitou, Kampung Sunsuron, Kampung Patau, Kampung Nambayan, Kampung Tombotuon dan di Kampung Tondulu. Premis perniagaan ini dibina bagi memenuhi keperluan dan kehendak penduduk untuk tempat mereka menjalankan bisnes mereka dan sebagai sumber pendapatan untuk kehidupan mereka sehari-hari.
    Majlis Daerah Tambunan juga telah memberikan sumbangan dengan membantu daerah Tambunan untuk terus maju seiring dengan peredaran masa. Salah satunya adalah dengan memajukan kawasan di Pekan Tambunan, iaitu memperbaharui bangunan-bangunan seperti kedai-kedai dan restoran makanan. Bangunan yang telah diperbaharui ini memberikan manfaat kepada penduduk di daerah ini kerana mereka boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk tujuan perniagaan dan lain-lain. Tambahan lagi, bangunan-bangunan ini akan disewakan kepada mereka yang berkeinginan untuk memulakan perniagaan dengan harga sewa yang berpatutan.
    Selain itu, MDTBN juga turut memberi sumbangan kepada daerah Tambunan terutamanya kepada masyarakatnya. MDTBN telah membina pasar untuk kemudahan masyarakat yang ingin menjaja bagi meningkatkan taraf kehidupan masing-masing. Pasar ini digunakan oleh penjaja-penjaja untuk menjual hasil-hasil tani mereka seperti sayur-sayuran dan sebagainya. Sumbangan MDTBN ini sememangnya memberikan banyak manfaat kepada masyarakat di daerah Tambunan.
    Di samping itu, Majlis Daerah Tambunan juga telah memberikan sumbangan kepada daerah Tambunan dengan mewujudkan tamu untuk sehari dalam seminggu, iaitu Tamu Ground dan Tamu Toboh yang akan beroperasi pada hari khamis dan ahad. Tamu ini adalah tempat atau kawasan untuk semua masyarakat menjalankan urusan jual beli. Secara tidak langsung, hal ini telah memudahkan lagi kehidupan masyarakat sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka kerana di tempat inilah salah satu sumber rezeki bagi masyarakt di daerah Tambunan khususnya untuk mereka yang tidak mempunyai kerja tetap.
    KESIMPULAN
    Esei ini telah menegaskan bahawa sejak penubuhannya, Majlis Daerah Tambunan mempunyai tanggungjawab untuk memajukan daerah Tambunan dan penduduknya. Kemudian dijelaskan pula antara usaha-usaha yang telah dibuat oleh MDTBN dalam membangunkan masyarakat terutamanya dalam aspek ekonomi dalam tempoh lima puluh tiga tahun kewujudannya, yang jelas menunjukkan bahawa MDTBN sememangnya menjalankan dan mencapai objektifnya  bagi memenuhi keperluan setiap penduduk di daerah Tambunan.  Pekan Tambunan yang dahulunya hanyalah sebuah pekan kecil dengan beberapa deretan kedai kayu. Bagaimanapun, pandangan tersebut sudah berubah. Kini, kawasan itu dibangunkan dengan struktur konkrit rumah kedai, kemudahan awam dan infrastruktur yang menjadi mercu tanda atau pembangunan di pekan itu. Hal ini demikian usaha yang dibuat MDTBN sejak dari tahun 1990 sehingga ke hari ini. Atas sebab itu, usaha-usaha yang telah dibuat oleh MDTBN sememangnya amat penting dan bermakna untuk semua masyarakat di daerah Tambunan. Ia bahkan adalah suatu sumbangan besar dari MDTBN untuk membantu membangunkan daerah Tambunan dan masyarakatnya agar mempunyai taraf hidup yang lebih baik dan untuk membentuk sikap positif rakyat di Malaysia melalui sejarah, yang perlulah dihargai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya generasi muda pada hari ini.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
copyright by Kamarul Arnizam